Motivasi Kepimpinan Iskandar Zulkarnain
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 21-10-2009
8
Siapa Iskandar Zulkarnain? Mungkin anda akan menjawab, Alexander The Great adalah Iskandar Zulkarnain. Tetapi jika anda membaca buku Alexander Bukan Zulkarnain, dua insan ini adalah insan yang sangat berbeza. Alexander bukanlah pemimpin dunia yang mampu menguasai dunia. Alexander bukan muslim. Berbeza dengan Iskandar Zulkarnain sebagaimana yang disebut di dalam surah Al-Kahfi yang mempunyai kerajaan atau empayar yang luas meliputi Timur dan Barat. Hebat bukan?
Kepimpinan Iskandar Zulkarnain menjadi sejarah ulung dalam Islam. Beliau adalah merupakan seorang Raja Persia yang beragama Islam. Beliau adalah merupakan seorang yang berpengaruh di dalam masyarakatnya dan dikurniakan Allah dengan kepintaran akal fikiran serta mahir di dalam ilmu pengetahuan antaranya ilmu peperangan, ilmu kimia, politik dan sebagainya lagi.
Jika diteliti, apakah yang menjadikan kepimpinan Iskandar Zulkarnain hebat hanya kerana beliau menjadikan Allah SWT sebagai matlamat kepimpinannya. Beliau memimpin bukan kerana ingin berkuasa. Tetapi memimpin manusia untuk kembali kepada agama Allah SWT. Apabila kepimpinan yang dilaksanakan tidak kerana tujuan tertentu, bahkan atas tujuan agama Allah, sudah pasti akan beroleh kejayaan. Tidak hairanlah mengapa Iskandar Zulkarnain mempunyai empayar yang besar.
Kisah Iskandar Zulkarnain dari Surah Al-Kahfi (83-98)
“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). ”
“Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.”
“Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.”
“Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.”
“Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.”
“Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
“Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. ”
“Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.
“Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.



