Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 03-06-2010
4
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bersedekahlah walaupun sedikit
Antara amalan yang mengalirkan kebaikan tanpa henti ketika anda berada di akhirat nanti ialah sedekah yang anda berikan dengan ikhlas kepada orang lain. Bila cerita tentang sedekah ramai di antara kita memandang remeh perkara ini. Sekalipun duit banyak, terasa saya untuk hulurkan 20 sen kepada mereka yang memerlukan. Terasa 20 sen itu tidak akan mencukupkan perbelanjaannya jika diberikan kepada orang lain.
Yakinlah bahawa sedekah adalah satu keajaiban. Sebenarnya duit yang anda berikan pada orang dengan niat membantu Allah SWT tidak akan biarkan duit hilang begitu sahaja. Tetapi Allah SWT akan tambah tanpa anda sedari. Allah SWT memberikan jaminan dengan menggantikannya.
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh )orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa
dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia Kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Al Baqarah: 261)
Jom mulakan sedekah pada hari ini dengan jumlah yang anda mampu!
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 10-05-2010
0
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Belajar memaafkan orang lain sebelum tidur
Meminta maaf kepada orang yang melakukan kesilapan bukan perkara mudah kerana ia melibatkan memecahkan rasa ego dalam diri. Sebab itu tidak ramai orang bersalah tetapi mampu meminta maaf di atas kesilapan dirinya. Hanya kerana ego maaf tidak dituturkan di bibir. Kesalahan diri dianggap perkara kecil yang boleh disembunyikan.
Namun perkara lebih besar dari meminta maaf kepada orang lain, memberi maaf juga melibatkan keegoan dalam diri. Kita yang tidak bersalah belum tentu mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain yang telah dilakukan kepada kita. Oleh kerana itulah ada seorang sahabat Rasulullah s.a.w, baginda telah menyebut-nyebut namanya di hadapan sahabat-sahabat yang lain sebagai ahli syurga.
Hairan para sahabat kerana Rasulullah menyebut namanya sebagai ahli syurga sebanyak tiga kali di hadapan mereka. Maka para sahabat mula menyiasat dan bertanya kepada sahabat tersebut. “Wahai sahabat apakah rahsia yang menyebabkan Rasulullah s.a.w menyebut namamu sebagai ahli syurga?” Maka sahabat tersebut menjawab, “Tiada apa yang istimewa yang saya lakukan dalam hidup saya melainkan saya selalu memaafkan kesalahan orang lain terhadap saya sebelum tidur.”
Meminta maaf atas kesilapan kerana sebagai pengakuan kita bersalah, tetapi orang yang memberi maaf benar-benar menunjukkan anda seorang yang berjiwa besar.
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 25-04-2010
4
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ucaplah terima kasih!

Satu lafaz mudah, ringkas dan bermakna tetapi tidak ramai sudi melafazkannya. Ketika anda berjalan menuju ke pejabat pos, sampai di pintu kebetulan ada orang lain bukakan pintu untuk anda. Anda terus sahaja masuk tanpa ucap terima kasih. Sudah lama anda juga tidak menghubungi sahabat karib anda. Akhirnya pada suatu hari sahabat anda menelefon bertanya khabar dan bersembang panjang. Tetapi anda tidak pula mengucapkan terima kasih di atas ingatan sahabat tersebut pada anda.
Lori sampah datang ke rumah anda untuk mengutip sampah seperti selalunya, tetapi anda langsung tidak berminat untuk melihat kepadanya apatah lagi mengucap terima kasih kepadanya. Aneh! Besar pahala jika lafaz terima kasih ini dapat kita ucapkan kepada mereka. Sekalipun itu sekadar kebetulan, ataupun mungkin memang sudah tugasnya tiada salah anda lebih menghargainya dengan dua patah kalimah bermakna ini.
Terima kasih adalah lambang syukur jika dinisbahkan manusia kepada Allah SWT. Namun kalimah ini adalah simbol mahabah antara sesama insan. Kunci untuk mengeratkan ukhuwah antara manusia dengan manusia.
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 16-04-2010
8
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Pupuk minat membaca
Ramai warganegara Malaysia tidak suka membaca. Mengapa? Adakah buku-buku di negara kita tidak berkualiti? Mudah-mudahan tip-tip ini dapat membantu menarik minat membaca.
- Perkara pertama cuba pergi ke kedai buku terlebih dahulu, anda akan lihat bahawa banyak buku yang menarik minat membaca. Sebelum ini anda hanya pergi ke kedai majalah. Jauh bezanya.
- Mulakan berjinak-jinak dengan buku-buku yang nipis dahulu. Bila dah rasa seronok barulah baca buku-buku yang tebal.
- Jangan letakkan target nak habiskan sebuah buku dalam masa yang singkat, kerana itu akan memberikan tekanan pada anda. Jadi akan mengganggu mood anda untuk minat membaca.
- Letakkan target 1 buku untuk 1 bulan. Setahun anda dah habis 12 buah buku. Hebat!
- Beli satu rak buku, susun cantik-cantik kerana itu semua akan memberikan mood untuk membaca.
- Jika berkesempatan bertemu penulis buku, ambil autograf mereka. Percayalah anda akan semangat membaca.
- Cuba ambil 15 minit sahaja sehari atau mungkin 10 helai untuk setiap kali pembacaan.
Selamat mencuba!
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 27-03-2010
3
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Pimpin orang buta melintas jalan
Sering kali anda berjalan menuju mana-mana destinasi, anda akan bertemu situasi orang buta ingin melintas jalan. Si buta selalunya menunggu lama di lampu isyarat untuk lampu hijau untuk melintas ke seberang jalan. Walaupun merah sudah bertukar hijau, tetapi si buta tetap tidak berganjak kerana tidak tahu bilakah pertukaran warna lampu tersebut. Lantas begitu ramai yang lalu lalang di laluan melintas tiada seorang pun yang memegang tangan si buta untuk membawanya ke seberang. Seakan tidak perasan bahawa ada manusia yang berdiri di situ.
Namun si buta tidak meminta sesiapa untuk membawanya ke sana. Hanya menunggu dengan sabar agar terbuka hati mana-mana insan yang lalu di situ membawanya ke seberang. Begitulah realiti kehidupan yang pahit ditelan si buta. Apalah salahnya kita sama membantu si buta tersebut melintas jalan. Bukankah ianya satu tindakan yang mulia. Ramai yang tahu tentang itu. Tetapi kenapa hanya melihat sahaja?
Melihat tongkat di tangan si buta, hati kita mengatakan mereka boleh melakukannya. Sedarkah bahawa di hati mereka begitu takut untuk melintas dalam keadaan begitu. Ini bukan silap mata tetapi takdir Allah jadikannya begitu. Janganlah kita yang celik ini menjadi lebih teruk dari mereka kerana buta hati. Mudah-mudahan kita dapat sama-sama mengamalkan dan cuba mengubah diri kita lebih sensitif terhadap orang lain.
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 14-03-2010
10
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bersihkan surau dan masjid
Hari ini saya lihat surau di kampung ibu mertua saya sudah usang. Namun bila dicat baru wajahnya nampak ceria kembali. Tetapi sewaktu menunaikan solat di situ saya melihat kebersihannya agak tidak terjaga. Saya mula teringatkan kerja yang kita panggil sebagai tok siak masjid. Nampak tugas seorang siak mudah sahaja kerana membersihkan masjid. Membiarkan karpet dalam keadaan bersih dan terjaga.
Dalam hati saya mula mengagumi tugas sebagai siak. Mungkin kerjanya mudah tetapi mengapa tidak ramai yang melakukannya. Adakalanya kita nampak najis cicak di atas karpet masjid tetapi kita membiarkan sahaja walaupun ada keinginan untuk membuangnya.
Pahala bagi mereka yang melakukannya sangat besar di sisi Allah. Kerja tak glamour tapi pahala tetap berjalan selama mana orang lain menggunakan karpet tersebut sebagai tempat solat. Senangnya nak dapat pahala dalam kerja kan? Namun semuanya terpulang pada diri juga. Jika kesedaran tiada, hati tidak akan menyuruh untuk melakukannya sekalipun peluang tersebut di depan mata. Sama-samalah kita cuba beramal untuk bersihkan masjid dan surau.
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 22-01-2010
10
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berpakaian putih lebih menginsafkan
Berapa pasangkah pakaian yang anda beli setahun? Saya pasti bagi anda yang bekerja membeli paling kurang dalam 20 pasang setahun bagi perempuan berbanding lelaki yang mungkin lebih kurang kuantitinya. Bagaimana pula fesyennya? Sukar nak saya terangkan tentang ini memandangkan saya bukan peragawati dan model. Namun selalunya kita membeli pakaian suka pada fesyen terbaru, corak yang cantik dan juga kena sedondong antara kain, baju, tudung, kasut dan juga beg tangan bukan?
Sebenarnya kerana pakaian beginilah kita banyak terpesong dari landasan akhlak yang baik. Kerana pakaian cantik kita lupa bahawa masih ada yang tidak mampu membeli pakaian. Kerana pakaian kita kadang-kadang menunjuk-nunjuk di hadapan orang lain tentang fesyen baju kita. Perbanyakkanlah menggunakan warna putih dalam kehidupan anda selepas ini. Warna putih adalah warna tema seluruh umat Islam di dunia ini.
Warna pakaian ketika kita diusung nanti hanya warna putih kosong. Warna putih adalah warna fitrah manusia yang dilahirkan suci dan dikebumikan juga dalam keadaan suci. Mudah-mudahan hati kita sedikit berbekas dengan cara kita memilih pakaian pada hari ini. Konsep warna putih akan sentiasa mengingatkan diri kita tentang kematian yang tidak tahu bilakah akan menjemput kita.