Posts tagged "Aspirasi Diri"

Belajarlah Dari Wonder Pets

Siri kartun yang sangat digemari dan berpengaruh selepas animasi Upin dan Ipin adalah Wonder Pets. Boleh saya katakan setiap kanak-kanak mengenali setiap watak dalam siri kartun ini. Watak hamster sebagai Linny, kura-kura sebagai Tuck dan anak itik sebagai Ming Ming sangat mencuitkan hati anak-anak bila menontonnya. Walaupun penceritaannya ringkas dan berulang-ulang namun saya melihat ianya adalah satu kartun yang banyak memberi nilai dalam kehidupan kita seharian. Dan tidak ada dalam siri kartun yang lain begitu banyak elemen positif yang ditonjolkan. Jangan melihat ianya sekadar kartun tetapi mesej dan nilai seumpamanya amat perlu diterapkan dari kecil lagi.

Nilai-Nilai Positif

  • Mengajarkan kita tentang bekerjasama dalam apa jua perkara sama ada kecil atau besar.
  • Kalau ingin melakukan kebaikan jangan bertangguh.
  • Apabila niat baik untuk membantu orang lain pasti akan dipermudahkan.
  • Kecil dan lemah jika bersatu akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang besar.
  • Berbeza rupa bukan ukuran, tetapi nilai kemanusiaan adalah membantu ketika mereka memerlukan bantuan dan pertolongan.
  • Sentiasa menerima pendapat orang lain.
  • Menyokong jika pendapat itu benar dan logik tetapi tidak memperlekehkan jika pendapat yang diberikan tidak tepat.
  • Tidak pentingkan diri sendiri.
  • Kreativiti wujud bila semua orang cuba memberikan idea dan pendapat.
  • Kesatuan bermula sekurang-kurang dari 3 orang.
  • Jangan cepat putus asa. Sentiasa berusaha yang termampu untuk menyelesaikan masalah.

Be the first to comment - What do you think?

Beban Profesion Guru

Salam sejahtera untuk anda semua.

Baru beberapa hari yang lepas kita menyambut Hari Guru dengan tema tahun ni Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara. Melihat kepada tema ini saya berpendapat guru mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk acuan pendidikan negara yang cemerlang untuk generasi sekarang dan akan datang.

Beban yang saya maksudkan ialah tanggungjawab dan peranan guru yang perlu diperkemaskan sebaik mungkin memandang realiti yang berlaku hari ini, pelajar tidak matang dalam berdepan hakikat kehidupan lebih-lebih lagi dalam dunia kerjaya. Pelajar hari ini bukan tidak pandai bahkan mereka cemerlang dalam akademik tetapi mereka kekurangan nilai diri yang menjadi tunjang untuk kematangan berhadapan masalah.

Kekurangan nilai meletakkan mereka gagal menyerlah dalam bidang yang diceburi. Tak dinafikan mungkin guru yang di sekolah menengah dan rendah hanya mampu memberikan pelajaran kerana mereka baru di peringkat awal, namun jangan biarkan pelajar terus haus dengan nilai diri kerana ilmu dan pendidikan adalah sesuai yang perlu bergerak selari.

Bagi guru yang berstatus pensyarah, andalah yang menjadi tonggak dalam membina penjelajahan terhadap siswa-siswa untuk lebih bersedia berdepan masalah globalisasi. Jika masyarakat mempertikaikan kualiti siswa maka pensyarah dan universiti perlu bertanggungjawab tetapi jika pelajar sekolah yang bermasalah pastinya guru, pengetua dan sekolah yang perlu bertindak.

7 comments - What do you think?

Pengalaman Adalah Ilmu Baru Dalam Hidup

Salam sejahtera buat anda semua.

Sepanjang kehidupan anda agak-agaknya berapa tahun pengalaman hidup yang anda perolehi? Seorang pekerja kilang mungkin berkata “Saya dah 20 tahun kerja kilang.” Agak-agak adakah 20 tahun benar-benar pengalaman yang diperolehinya? Pada saya tidak semestinya. Pengalaman adalah sesuatu perkara baru yang anda pelajari. Semakin banyak perkara baru yang anda alami dalam hidup bermakna pengalaman juga turut bertambah.

Dalam bidang pekerjaan juga dinilai seumpama itu. Apapun jua kerjaya anda, asalkan anda tidak melakukan perkara statik dalam kerja anda pastinya anda mampu pengalaman demi pengalaman dalam kerjaya tersebut. Setiap perkara baru yang anda pelajari akan membantu anda dalam menyelesaikan pelbagai masalah kerja dan juga konflik yang melibatkan persahabatan, rakan sekerja, hubungan dengan majikan atau mungkin juga ahli keluarga.

2 comments - What do you think?

From Nothing To Beginning

Salam sejahtera buat anda semua.

Nampak seronok melihat kejayaan yang dicapai orang lain. Hati termotivasi dan minda mula mendapat inspirasi untuk membina kejayaan juga. Tetapi bila baru sahaja ingin bermula, segalanya dilihat mempunyai kekurangan. Diri mula melihat kelemahan dan berfikiran negatif. Akhirnya wawasan bertukar menjadi alasan. Nak dah mula jadi tak nak. Ketika baru sahaja ingin bermula akhirnya tiada lagi titik permulaan.

Anda faham maksud saya? Selalunya inilah yang berlaku dalam diri kita ketika mana melihatkan kejayaan orang lain yang begitu mengasyikkan di hadapan mata kita. Kejayaan itu sedikit sebanyak memberikan nilai diri dan motivasi untuk sama-sama berusaha menjadi berjaya. Sayangnya kebanyakan dari kita apabila ingin memulakan sesuatu, apabila tiada sokongan yang mendorong mereka mula tawar hati dan keyakinan mula goyah. Segalanya mengharapkan bantuan dan sokongan tanpa bermula.

Contohnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Sudah ramai orang Melayu berjaya dan mengetuk pintu dunia dalam perniagaan tetapi jumlah masih sangat sedikit. Dan kita terangsang bila melihat anak Melayu yang berjaya dalam perniagaan seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Azizi Ali dan sebilangan yang lain. Percayalah mereka juga bermula dengan nothing. Namun mereka tetap memulakan langkah dengan keputusan, komitmen, keyakinan dan ketabahan. Akhirnya berjaya dan mengubah persepsi bahawa orang Melayu tidak boleh berjaya.

1 comment - What do you think?

Apa Paling Penting Dalam Bisnes?

Salam sejahtera buat anda semua.

Hari ini saya berkongsi bersama anda tentang satu perkara. Bisnes. Apa halangannya? Sewaktu setahun yang lepas saya melihat untuk memulakan bisnes, perkara paling penting adalah modal. Tanpa modal bagaimana bisnes dapat dijalankan. Dan hari ini saya akui modal bukanlah perkara pertama yang perlu dititikberatkan sekalipun ia perlu.

Idea

Tahukah anda hanya dengan idea anda boleh memulakan bisnes tanpa modal. Idea yang anda ada adalah peluang yang mungkin orang lain tiada. Jadi dari segi nilai idea anda mungkin sudah bernilai beribu-ribu ringgit jika berjaya dilaksanakan. Mudah bukan. Tidak semua orang menggunakan akalnya untuk berfikir dan mengintai peluang di luar sana. Cuma bantu idea anda bagaimana mekanisme untuk melaksanakannya.

Network

Pada saya selepas idea, anda perlu ada jaringan yang luas untuk perniagaan berkembang dengan cepat dan pesat. Jaringan yang besar dan berkualiti akan menambah baik idea anda yang sedia ada dan memberikan peluang lebih besar untuk dikenali. Gunakan jaringan yang anda ada.

Modal

Jadi saya meletakkan modal sebagai elemen ketiga dalam perniagaan kerana dengan idea dan jaringan telah memberikan anda ruang untuk memulakan perniagaan. Bagaimanapun modal juga diperlukan kerana ada sebahagian besar dalam bisnes melibatkan modal sebagai nilai komitmen. Gunakan modal dengan cara yang betul kerana ramai tidak sedar modal perniagaan bukan untuk beli aksesori diri, lebih-lebih lagi jika anda mendapat modal tersebut dari pinjaman.

4 comments - What do you think?

Apabila Anda Terjun Dalam Dunia Bisnes…

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tahukah anda seronok melihat orang lain berjaya dalam perniagaan. Wangnya nilai jutaan. Benarlah rezeki dalam berniaga disebutkan oleh Rasulullah 9/10 rezeki adalah dari bidang perniagaan. Tetapi adakah anda tahu bahawa risiko untuk gagal juga adalah 9/10. Jadi mereka yang berjaya tentunya mereka yang telah memiliki prinsip yang hebat.

Seorang kawan pernah berkata kepada saya bahawa apabila ingin terjun dalam dunia bisnes anda perlu ada empat perkara. Saya terfikir juga dan saya bersetuju kerana ianya berdasarkan pengalaman bukan teori. Jatuh bangun seorang ahli perniagaan adalah asam garam yang menjadi permainan dan ibarat satu perjudian.

Keputusan

Perkara paling penting ialah adakah anda sudah bersedia untuk meletakkan satu tanda aras baru dalam diri anda. Dulu kerja makan gaji anda tidak perlu fikirkan sangat apa inisiatif untuk kehidupan anda kerana cukup bulan akan dapat gaji. Tetapi apabila anda telah membuat keputusan untuk mulakan dunia perniagaan anda pastinya berubah sama sekali. Tidak boleh meletakkan pergantungan pada orang lain. Segalanya anda yang usahakan. Apabila anda nekad dengan keputusan ini bersedialah untuk hadapi ujian dan cabarannya.

Komitmen

Keputusan sahaja belum cukup untuk pastikan anda berjaya. Nekad untuk jadi ahli perniagaan tetapi komitmen anda umpama orang yang kerja makan gaji, hasilnya tidak akan ke mana. Anda perlu usaha 120% setiap masa. Dalam perniagaan segalanya perlu cepat dan pantas. Peluang tidak boleh ditangguh kerana esok pasti akan jadi milik orang lain. Jika tidak mampu ayuh lupakan keputusan anda. Kembalilah kepada kerjaya anda untuk berkhidmat dengan orang lain.

Keyakinan

Komitmen adalah usaha. Keyakinan terhadap usaha akan membuahkan hasil yang baik. Keyakinan juga menjadikan anda mampu bangun sekalipun gagal. Tidak semua ahli perniagaan mempunyai kecenderungan menjadi seorang yang berjaya. Tetapi mereka meletakkan keyakinan pada usaha mereka. Itulah yang tidak mampu dilihat oleh mata orang lain. Apabila anda melihat sesuatu peluang di hadapan mata, sekalipun orang lain melihatnya dengan keadaan berbeza, lakukanlah dengan yakin.

dan Ketabahan..

Akhir sekali yang sangat saya rasa mampu membakar jiwa saya bila disebut tentang ketabahan. Keputusan, komitmen dan keyakinan akan hilang jika tiada ketabahan. Nilai ketabahan sangat besar untuk diertikan di sini. Tapi saya percaya kunci utama mereka yang berjaya adalah kerana K yang keempat ini.

2 comments - What do you think?

Bekerja Ibarat Membuat Rumah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

sekadar gambar hiasan

Sejak saya bekerja sendiri sekarang saya sering berjumpa dengan orang-orang di luar sana yang dapat merangsang jiwa dan minda saya. Sebab itu nilai kerja tidak boleh dinilai hanya pada wang ringgit. “Bekerja ibarat anda sedang membina sebuah rumah, kerana itulah kerja menjadi satu kemuliaan kepada diri anda.” Saya begitu termotivasi apabila ada seorang sahabat yang mengatakannya kepada saya.

Setiap hari anda perlu siapkan rumah anda walaupun sedikit demi sedikit. Bagi anda yang bekerja di bawah orang lain pasti tidak merasakan perasaan seumpama ini. Setiap hari perlu ada usaha yang kental dan gigih untuk menyiapkan rumah untuk anda. Jika anda tidak fokus pasti rumah anda tidak siap dan bagaimana pula anda ingin memberi perlindungan kepada keluarga khususnya.

Bagaimana rumah yang anda kehendaki pasti anda akan berusaha ke arah itu. Rekaannya, binaanya, lokasinya, saiznya, atau aksesorinya adalah anda yang tentukan sepenuhnya. Tetapi bila ditanya pada diri pastinya kita ingin menyiapkan rumah yang terbaik untuk keluarga dan diri sendiri kerana selain dari nilai duit di dalamnya paling penting adalah nilai usaha dan kepercayaan kepada diri sendiri.

Be the first to comment - What do you think?

Next Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline