Posts tagged "Aspirasi Diri"

Berapa Nilai Kerja Yang Anda Lakukan Hari Ini?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa khabar anda hari ini? Agak lama saya membiarkan laman kesayangan ini tanpa pengisian untuk diri dan anda. Ketika saya menulis posting ini saya sedang berada dalam satu program bersama anak-anak kakitangan Bernas di Sarawak. Semasa menaiki flight ke sini saya melihat begitu banyak tanah yang diusahakan, begitu tekun pesawah membanting tulang, begitu gigih juga nelayan menangkap ikan di bawah teriknya mentari. Dan begitu juga anda dan kerja yang anda lakukan seharian? Tahukah anda berapa nilai kerja yang anda lakukan? Dan tahukah anda bagaimana mengira nilai kerja yang anda lakukan?

Jika anda dapat menghitung nilai ini anda akan tahu betapa perlunya anda bekerja. Jika anda menilai RM pada kerja yang anda lakukan hari ini nilainya mungkin RM50, RM100, RM1500 atau mungkin lebih tinggi dari itu. Jika anda bekerja sebagai pengurus bank saya percaya nilainya lebih tinggi dari seorang pekerja kontrak. Tetapi adakah nilai kerja anda hanya setakat itu? Saya pula tidak melihatnya begitu.

Kerja seorang petani yang saya sebutkan tadi mungkin nilainya lebih tinggi dari kerja anda yang memegang jawatan sebagai pengurus bank. Kerana seorang petani telah berbakti pada tanah, menghidupkan banyak tanaman untuk orang lain, tekun membaja dan menjaga tanaman, kemudian menuainya untuk diri sendiri dan orang lain. Jika dihitung nilai ini, kerjanya tidak lagi bernilai dengan RM tetapi sudah menjadi tidak ternilai kerana memberikan kehidupan kepada orang lain.

Begitulah juga dengan kerja anda? Jika duit yang anda hitung nilainya mungkin tinggi tapi masih dapat dihitung dalam kiraan. Namun jika dilihat pada aspek kehidupan nilainya menjadi tinggi dan tidak ternilai. Adakah anda masih bekerja untuk RM atau untuk memberikan harapan atau kehidupan kepada orang lain?

7 comments - What do you think?

Dah Nak Pencen?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sesetengah mereka yang bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta meletakkan target berakhirnya tanggungjawab sebagai pekerja berakhir di usia pencen. Bahkan ramai yang merasakan bahawa waktu pencen adalah waktu untuk istirehat dan mengambil ruang untuk beribadat.

Pencen atau waktu bersara tidak bermakna anda boleh berehat dan menghabiskan sisa kehidupan dengan santai. Anda mungkin telah melepaskan jawatan di peringkat kerjaya tetapi pengalaman anda amat diperlukan untuk membantu orang lain. Sekali difikirkan wang persaraan yang anda terima bukan sekadar mengingati jasa dan pengorbanan sepanjang tempoh perkhidmatan anda,bahkan sebenarnya ia jua menunjukkan bahawa anda memang diperlukan lagi walaupun telah pencen.

Senario di negara kita dalam perkhidmatan, masih ramai pemimpin muda yang tidak mendapat latihan dan kemahiran yang sewajarnya dalam mengendalikan organisasi. Ilmu dalam bentuk teori mungkin boleh dipelajari dengan cara sambung belajar dalam bidang berkaitan tugasan tetapi pengalaman golongan senior adalah paling mahal untuk diterima sebagai ilmu dan ilham dalam memimpin organisasi.

Lihat sahaja berapa ramai senior yang telah pencen tetapi mereka masih menyumbangkan perkhidmatan dalam bentuk kontrak. Jelas menunjukkan aset penting dalam diri mereka adalah pengalaman dan kredibiliti. Lebih mahal pengalaman tersebut bila ianya dikongsikan untuk golongan junior supaya terus memimpin dan mengurus perubahan organisasi.

2 comments - What do you think?

Bermulanya Azam Hari Ini..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tahun baru 2011 yang ditunggu akhirnya tiba juga. Mendengar bedilan bunga api pada malam tadi sedikit sebanyak menghapuskan kesunyian malam. Sehinggakan di Kuala Lumpur pengangkutan awam juga dilanjutkan sehingga ke jam 3.00 pagi sebagai sokongan kepada rakyat Malaysia yang menyambutnya dengan penuh meriah. Tetapi hari ini adakah anda masih dalam mood tahun baru?

Semalam saya pasti ramai yang mencongak masa depan yang bakal ditempuhi. Yang bujang sudah mula mengira jari berapakah jumlah simpanan untuk menamatkan zaman bujang. Yang bekerja pula mula memasang impian untuk naik pangkat dan naik gaji untuk tahun ini. Dan yang berkeluarga juga berfikir apakah perancangan terbaik untuk keluarga pada tahun baru ini.

Jangan biarkan impian anda berakhir semalam! Hari ini adalah hari yang baik untuk melakar pelan tindakan seterusnya agar impian dapat dilaksanakan dengan terancang. Ambil sehelai kertas dan mulakan catatan atau senarai semak yang perlu anda lakukan agar segalanya teratur dan mampu dicapai. Semoga azam anda pada tahun ini akan lebih sukses.

2 comments - What do you think?

Try And Error

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda pasti pernah mendengar perkataan ini bukan? Sejak saya bekerja sendiri, saya merasakan istilah ini amat dekat dengan diri saya. Bekerja dengan syarikat sendiri sememangnya memberikan saya waktu penuh untuk mempelajari selok belok dalam perniagaan sama ada membina sistem pengurusan sendiri, kaedah memasarkan produk, membentuk jaringan perniagaan dan juga perkara-perkara yang lain.

Apabila menempuh dunia baru pastinya anda akan berdepan dengan masalah baru dan juga persekitaran kerja yang baru. Anda akan mencuba untuk menyelesaikannya dengan kemampuan anda sendiri. Seronoknya anda mula mendapat pengalaman baru sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak tepat atau tersasar jauh. Namun dari kesilapan akan membentuk pengalaman berharga dalam diri.

Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang anda rasakan betul kerana di situ anda akan menggunakan sepenuhnya kreativiti dan inovasi yang anda ada. Tetapi sekiranya anda tidak berjaya dalam percubaan tersebut anda bersedia menerima risiko dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Sebenarnya jika anda teliti mereka yang berjaya dalam dunia perniagaan semuanya menggunakan kaedah try and error, walaupun gagal untuk banyak kali akhirnya mereka akan menemui cara untuk membina jalan yang berjaya dan unik.

1 comment - What do you think?

Memahami Emosi (4)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bila berbicara tentang emosi diri saya masih ingin menyambung tentang bagaimana perlu mengawal kemarahan agar tidak melakukan perkara-perkara yang lebih merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Imam Syafie berpesan, “Marah adalah salah satu di antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun, oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”

Bahayanya sifat pemarah sebagaimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, marah tanpa kawalan boleh membawa kepada tergelincirnya akidah kepada Allah SWT. Sifat pemarah melambangkan keegoaan seseorang. Semakin tinggi pangkatnya, maka semakin tinggilah egonya dan makin menjadi-jadilah marahnya.

Apabila seseorang itu marah, maka secara spiritualnya syaitan dan bala tenteranya akan terus berusaha agar anda melampau-lampau dalam kemarahan. Jika anda mampu mencetuskan pergaduhan dalam kemarahan, maka syaitan akan lebih suka kerana anda telah hilang kawalan diri dan tidak lagi dapat berfikir tentang takdir yang Allah telah tentukan.

Akibat kemarahan yang berterusan akan membakar kebaikan sebagaimana api yang membakar kayu, tidak akan tersisa melainkan bara dan debu.

1 comment - What do you think?

Mengapa Pilih Kerja Sendiri?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Persoalan ini bukan terniat untuk membandingkan kerja apa yang bagus, tetapi ingin berkongsi bahawa sebenarnya Rasulullah s.a.w amat menggalakkan orang mukmin berusaha di atas daya usaha sendiri sebagaimana hadis baginda, “Tidaklah seseorang itu makan makanan melainkan lebih baik ia makan dari hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud ‘Alaihissalam menikmati makan hanya dari hasil usahanya sendiri” [Sahih Bukhari, Hadith No 1930]

Bahkan para sahabat baginda sendiri kebanyakkannya membina kehidupan daripada hasil usaha sendiri. Maka sudah pasti banyak kelebihan sekalipun bekerja sendiri pastinya mempunyai cabaran dan ujian yang berat terhadap diri sendiri.

Motivasi yang anda boleh rasakan bila anda bekerja sendiri ialah:

  • Tiada istilah zon selesa kerana anda malas anda tidak akan mendapat apa-apa hasil.
  • Anda menghidupkan sunnah Rasulullah kerana baginda dari kecil sehingga dewasa bekerja sendiri.
  • Mengasah visi kepimpinan ke manakah matlamat pekerjaan yang anda ingin laksanakan.
  • Membuka ruang pekerjaan kepada orang lain
  • Peluang untuk melakukan kebajikan untuk kakitangan
  • Membina karisma semaksimum mungkin
  • Berusaha untuk menjadi mukmin yang kaya agar dapat membantu orang lain.

4 comments - What do you think?

Musuh Dalam Organisasi (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berhati-hati di tempat kerja anda pasti ada musuh yang akan memporak-porandakan keharmonian sesebuah organisasi. Paling bahaya apabila musuh berwatak di luar lain, di dalam lain. Mudah-mudah anda bersedia menghadapi watak-watak ini di organisasi.

Langau

Perhatikan di organisasi anda ada atau tidak watak pekerja yang bersifat langau ini? Mereka sangat suka membawa cerita-cerita buruk tentang orang lain di dalam organisasi. Berita palsu boleh menjadi benar, bahkan berita benar boleh dipalsukan. Hebatnya pekerja seperti ini mereka dapat menyebarkan berita dengan cepat tetapi kurang tepat. Mereka sangat suka menyebarkan fitnah kepada orang lain.

Anda boleh benci membenci dengan rakan baik anda hanya kerana sifat hasad oleh pekerja seumpama ini. Tanpa anda sedari anda mula percaya pada setiap kata-kata mereka yang akhirnya menjadi perangkap kepada hubungan baik anda dengan rakan sekerja yang lain.

Pekerja seumpama ini selalunya mempunyai rakan-rakan yang juga mempunyai sifat yang sama seperti mereka. Kerja sedikit tetapi banyak bercakap tentang orang lain di pejabat. Berhati-hatilah kerana agenda mereka sangat bahaya.

4 comments - What do you think?

« Previous PageNext Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline