Amalan Perubahan Diri (6)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 18-02-2010

8

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sebutlah Insya Allah apabila berjanji

Satu tip mudah untuk anda lakukan pada hari ini. Saya tahu dan amat yakin anda sendiri telah tahu mengenai tip ini. Tapi berapa kali anda lakukannya setiap kali anda berjanji kepada seseorang? Biasalah sebagai manusia pasti ada masanya kita terlupa jua untuk melakukannya sekalipun kita maklum tentang perkara itu.

Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 23-24:

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.

Mengapa kita perlu menyebut Insya Allah?

  • Supaya anda tidak menyandarkan bahawa setiap perkara itu anda mampu lakukan. Setiap hari kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku dalam kehidupan kita. Malang tidak berbau. Berjanji bermakna anda memberikan komitmen tetapi jika tidak mampu ditunaikan pastinya berdosa.
  • Ketahuilah bahawa setiap perkara adalah di bawah kekuasaan Allah. Tanpa iradat dan kudratNya anda tidak akan mampu melakukan sebarang pekerjaan pun.
  • Supaya kita menyedari bahawa hanyalah hamba Allah. Jangan terlalu yakin untuk segala-galanya. Sandaran kepada Allah akan mendekatkan diri kita kepada Allah.

Mengenali Potensi Diri (6)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 13-02-2010

2

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda mungkin masih ingat tentang artikel pertama saya tentang potensi diri. Anda mungkin masih ingat beberapa kategori manusia yang tidak memanfaatkan potensi. Di sini saya nyatakan beberapa kategori manusia

  • Manusia yang tidak tahu potensi diri
  • Manusia yang tahu potensi diri tetapi salah guna
  • Manusia yang tahu potensi tetapi tidak mahu menggunakannya
  • Manusia yang tahu potensi dan menggunakannya

Begitulah antara kategori manusia yang ada di dunia. Jadi anda di kategori yang mana? Bukan mudah untuk termasuk dalam kategori yang tahu potensi diri dan tahu bilakah masa untuk menggunakannya. Ramai yang tidak mampu menyenaraikan potensi diri mereka. Sebenarnya jika potensi diri ini anda lihat dari satu aspek sahaja maka memang tidak banyak yang boleh anda senaraikan. Allah SWT menjadikan manusia bukan hanya satu atau dua kemahiran sahaja. Pastinya Allah memberikan banyak kelebihan kepada kita kerana kita ditugaskan menjadi khalifah untuk mentadbir alam.

Namun kefahaman yang cetek terhadap potensi menyebabkan anda rasa sukar untuk menyenaraikannya. Fahamilah anda semua bahawa apa sahaja yang positif pada diri anda sebenarnya adalah potensi yang boleh anda bangkitkan menjadi manusia yang hebat di mata orang lain. Jadi apabila anda analisa sesuatu yang positif pada diri anda, saya dapat buat kesimpulan ringkas paling kurang anda boleh menulis sekurang-kurangnya 20 potensi dalam diri anda. Lihatlah 20 aspek positif tersebut dan adakah anda berdiri sebagai seorang pekerja sekarang anda mempunyai kelebihan-kelebihan ini? Anda ada jawapannya!

Memiliki Kualiti Diri (1)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 01-02-2010

8

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah hari ini saya berpeluang untuk menulis sekalipun sedikit kesibukan. Anda pernah membaca tentang kualiti diri? Selalunya jika anda pengunjung setia blog ini, saya sering sekali menulis tentang potensi diri. Saya percaya sehingga ke hari ini walaupun tidak banyak anda pasti sedang mengexplorasi diri di manakah potensi anda?

Bagusnya potensi ada kaitan dengan kualiti diri. Begitu ramai insan yang berpotensi namun gagal menggunakan potensi dalam meningkatkan kualiti diri. Diri anda semakin berkualiti jika anda tahu bagaimana menggunakan potensi anda dengan tepat. Sebenarnya ada beberapa aspek untuk melihat kualiti diri anda. Insya Allah entri sebagai mukadimah untuk anda lebih memahami potensi dan hubungkaitnya dengan kualiti diri.

Jadi apa salahnya saya ingin berbicara dua hala secara maya dengan anda, apakah yang anda rasa dapat menunjukkan diri anda seorang yang berkualiti? Tinggalkan respon anda dengan menjawab persoalan ini :)

Mengenali Potensi Diri (5)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 29-01-2010

9

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Membentuk potensi yang luar biasa

Potensi diri adalah sesuatu yang luar biasa bagi anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa bakat dan kelebihan yang dianugerahkan Allah adalah menunjukkan perbezaan dan keunikan anda berbanding orang lain. Sayangnya apabila Allah SWT sudah memberi peluang kepada anda untuk menyerlah tetapi anda pula tidak mengambil peluang itu.

Saya mengambil satu contoh mudah. Cuba anda saksikan klip video ini.

Saya pasti ramai yang dapat menimbang bola. Tetapi tidak ramai yang mampu melakukan sebagaimana aksi dalam klip video ini. Kemahiran menimbang bola ini boleh dilatih, namun apa yang perlu anda pelajari ialah bagaimana anda mula membentuk sesuatu yang luar biasa dari potensi anda. Gaya menimbang bola yang anda lihat ini jika anda sedari telah dibentuk gaya yang luar biasa.

Kemahiran asas hanyalah menimbang bola. Tetapi setelah potensi ini diluarbiasakan (istilah saya sendiri) maka anda lihatlah hasilnya. Saya pasti anda menyebut, “Wow! Memang menakjubkan!”

Amalan Perubahan Diri (2)

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 16-01-2010

21

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pamerkan senyuman yang ikhlas

Setiap hari anda pergi ke tempat kerja. Apa yang anda lakukan apabila anda terserempak dengan orang lain di pejabat anda? Jangan lokek untuk mempamerkan senyuman yang ikhlas kepada sahabat-sahabat anda atau kepada pelanggan anda. Senyuman adalah cerminan pertama siapa anda di pandangan orang lain. Senyuman akan menimbulkan kemesraan anda dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada pelanggan anda.

Ramai orang yang bekerja tidak menunjukkan mereka menghargai pelanggan. Jangan memberikan salam, senyuman pun mereka tidak memberikannya. Sudah pasti sedikit sebanyak pelanggan anda merasakan organisasi anda adalah organisasi yang menakutkan kerana tidak mesra pelanggan. Tetapi perlu diingat juga, senyuman perlu diiringi dengan kata-kata yang baik. Jika sebaliknya tiada gunanya anda senyum kerana senyuman anda hanyalah kepura-puraan.

Tidak sukar untuk senyum. Jangan tunggu esok untuk senyum kepada orang lain kerana senyuman yang ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah. Jika senyuman anda dapat menyenangkan hati orang lain maka anda akan lebih mudah didampingi ketika di tempat kerja anda.

Ayuh! Kita Sama Membantu

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Umum | Posted on 15-01-2010

4

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana membuka hati ini untuk sama berkongsi kisah realiti kehidupan. Saya terbaca kisah ini dari Kongsi Blog. Sangat menyayat hati saya. Rasa terpanggil untuk sama mengajak sahabat-sahabat semua membantu insan yang memerlukan bantuan kita semua. Saya tidak dapat memaparkan kisahnya di sini memandangkan tidak boleh disalin dari blognya. Seorang blogger yang seperti anda semua sangat memerlukan bantuan.

Inilah masanya Allah menginginkan kita membantu dan melihat sejauh mana anda semua sanggup membantu mereka. Kehidupan mereka semakin terdesak. Adakah harapan mereka untuk hidup akan berakhir? Saya rasa tidak. Anda perlu bantu mereka. Membantu mengikut kemampuan anda. Jika anda inginkan pertolongan dan kasih sayang dari Allah ayuh kita sama-sama membantu.

Dengan ketundukan dan kejernihan hati kepada Allah, anda boleh baca kisahnya di Megat.Net. Jangan bertangguh untuk lakukan kebaikan!

Hebatnya Kemaafan

Posted by Motivasi Kerja | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 14-01-2010

2

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 133-134:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Alangkah indahnya susunan ayat-ayat Allah. Memaafkan kesalahan orang lain bukan sesuatu yang senang mereka sebahagian daripada kita. Memberi maaf menunjukkan seseorang individu itu berjiwa besar di sisi Allah, bahkan jua di sisi manusia sendiri. Bukan mudah memaafkan orang lain terutama ketika anda sedang marah pada individu tersebut. Memohon maaf ketika mereka sedang marah bukanlah cara terbaik untuk dimaafkan. Ramai di antara kita tidak menyedari situasi ini.

Namun nilai kemaafan ini makin tinggi nilainya apabila anda mampu melakukannya demikian. Mengapa begitu sukar memaafkan orang lain? Adakah anda sedar bahawa Rasulullah sendiri memaafkan kesalahan umatnya, apakah anda lebih hebat dari nabi. Satu yang menjadi persoalan kita, seandainya orang yang memohon maaf itu melakukan kezaliman yang hebat kepada anda, adakah setelah anda memaafkan mereka anda mampu membina persaudaraan seperti sedia kala?

Sukar untuk dijelaskan kerana ianya melibatkan hati masing-masing. Tetapi apa yang paling utama, kemaafan akan perlahan-perlahan menjernihkan suasana yang keruh. Sekalipun kejernihan perhubungan itu tidak sejernih sebelumnya, sekurang-kurang anda telah membina hati yang besar di dalam diri anda.

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.