Ayuh! Kita Sama Membantu
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana membuka hati ini untuk sama berkongsi kisah realiti kehidupan. Saya terbaca kisah ini dari Kongsi Blog. Sangat menyayat hati saya. Rasa terpanggil untuk sama mengajak sahabat-sahabat semua membantu insan yang memerlukan bantuan kita semua. Saya tidak dapat memaparkan kisahnya di sini memandangkan tidak boleh disalin dari blognya. Seorang blogger yang seperti anda semua sangat memerlukan bantuan.
Inilah masanya Allah menginginkan kita membantu dan melihat sejauh mana anda semua sanggup membantu mereka. Kehidupan mereka semakin terdesak. Adakah harapan mereka untuk hidup akan berakhir? Saya rasa tidak. Anda perlu bantu mereka. Membantu mengikut kemampuan anda. Jika anda inginkan pertolongan dan kasih sayang dari Allah ayuh kita sama-sama membantu.
Dengan ketundukan dan kejernihan hati kepada Allah, anda boleh baca kisahnya di Megat.Net. Jangan bertangguh untuk lakukan kebaikan!
Hebatnya Kemaafan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 133-134:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Alangkah indahnya susunan ayat-ayat Allah. Memaafkan kesalahan orang lain bukan sesuatu yang senang mereka sebahagian daripada kita. Memberi maaf menunjukkan seseorang individu itu berjiwa besar di sisi Allah, bahkan jua di sisi manusia sendiri. Bukan mudah memaafkan orang lain terutama ketika anda sedang marah pada individu tersebut. Memohon maaf ketika mereka sedang marah bukanlah cara terbaik untuk dimaafkan. Ramai di antara kita tidak menyedari situasi ini.
Namun nilai kemaafan ini makin tinggi nilainya apabila anda mampu melakukannya demikian. Mengapa begitu sukar memaafkan orang lain? Adakah anda sedar bahawa Rasulullah sendiri memaafkan kesalahan umatnya, apakah anda lebih hebat dari nabi. Satu yang menjadi persoalan kita, seandainya orang yang memohon maaf itu melakukan kezaliman yang hebat kepada anda, adakah setelah anda memaafkan mereka anda mampu membina persaudaraan seperti sedia kala?
Sukar untuk dijelaskan kerana ianya melibatkan hati masing-masing. Tetapi apa yang paling utama, kemaafan akan perlahan-perlahan menjernihkan suasana yang keruh. Sekalipun kejernihan perhubungan itu tidak sejernih sebelumnya, sekurang-kurang anda telah membina hati yang besar di dalam diri anda.
Anda Adalah Apa Yang Anda Fikirkan
“Semua yang dicapai manusia dan yang gagal dicapai olehnya adalah kesan langsung pemikirannya.” – James Allen

Tugas utama minda kita setiap hari adalah berfikir dan berfikir tanpa henti. Dari pemikiranlah akan membentuk bagaimana seseorang itu bertindak dan membuat keputusan. Manusia mencapai sesuatu yang hebat dalam hidupnya kerana caranya berfikir. Cara berfikir yang hebat sudah pasti akan membentuk insan yang hebat. Hukum akalnya memang begitu. Berfikiran positif akan memberikan kesan positif pada diri. Begitulah juga sebaliknya.
Setiap perkara yang difikirkan boleh sudah pasti akan akan dapat dilakukan. Sekalipun ada halangan yang mungkin menjadi penghalang kepada apa yang anda fikirkan. Banyak perkara tidak logik tetapi mampu dilakukan dengan cara berfikir yang hebat. Walt Disney tidak pernah pun bermimpi bahawa taman yang dibinanya menjadi sebutan sehingga kini walaupun sudah sampai keturunan cicitnya sekarang. Cucunya berumur 79 tahun baru sahaja meninggal dunia beberapa hari yang lepas. Tetapi kerana berfikir Walt Disney berjaya melakukannya.
Tun Dr. Mathir Mohamad juga adalah tokoh pemikir. Suatu masa dulu ramai orang tidak menyokong KLIA, Putrajaya, Menara KLCC namun setelah berjaya dibina baru semuanya mempercayainya. Ramai yang mula mengenali Malaysia di waktu beliau memegang Perdana Menteri Malaysia keempat. Semuanya bermula dengan pemikiran.
Motivasi Dari Doa (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Doa dari Surah Ali Imran, ayat 8:
“Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberiannya.”
Begitulah lemahnya hati yang berada di dalam jasad manusia. Hati yang kecil yang menjadi penggerak pada setiap amal baik dan buruk yang kita lakukan setiap masa. Sebuku darah yang berfungsi mengawal segala perbuatan yang dilakukan oleh anggota. Antara sifat hati yang dijadikan oleh Allah ini ialah berbolak balik. Mungkin pada waktu ini kita ikhlas melakukan sesuatu, namun dalam tempoh seminit dua lagi kita sudah tidak tahu adakah hati ini masih iklhas atau sebaliknya.
Oleh kerana itu juga kita sering berdoa selepas solat “Ya Allah Ya Tuhan kami, tetapkan hati dalam ketaatan dan agamaMu.”
Allah Subhanu Wataala berkuasa ke atas setiap perkara mengikut kehendakNya dan kekuasaaNya yang mutlak. Allah memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah memesongkan hati mereka kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sebab itu kita perlu sering berdoa kepada Allah agar kita ditetapkan hati untuk terus berada di landasan sebagai mukmin yang taat kepadaNya.
Sebenarnya apa yang kita lakukan di dunia ini adalah kerana rahmat dan kasih sayang Allah. Bukan kerana amalan baik kita secara mutlak. Adakah anda mampu memberi jaminan bahawa amalan-amalan baik yang anda lakukan, meyakinkan Allah untuk memperkenankan segala permohonan kita? Tanpa rahmat dan kasih sayangNya nilai kehidupan kita hanyalah kosong. Bahkan masuknya kita syurga adalah juga atas rahmat ini.
Timbangan dan hitungan amalan kita hanyalah prosedur yang akan Allah lakukan untuk membuktikan ketaatan dan keengkaran kita kepadaNya. Prosedur ini adalah untuk menunjukkan kekuasaan Allah terhadap kita yang hanya hamba di sisiNya.
Mengenali Potensi Diri (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sesuatu yang perlu kita fahami bahawa Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan bakat dan potensi kepada kita. Salah satu caranya potensi yang diberikan secara anugerah.
Ini adalah sesuatu yang merupakan kuasa Allah Yang Maha Berkuasa. Potensi ini tidak memerlukan anda untuk melatihnya setiap hari. Kecenderungan ini telah wujud dalam diri anda sejak anda dilahirkan. Dan anda tahu kecenderungan ini berada di dalam diri anda. Pernah anda lihat seorang yang buta tetapi dapat melukis dengan menggunakan mulut? Atau mungkin seorang kanak-kanak kecil berusia 5 tahun tetapi sudah pandai berceramah sehinggakan orang lain mula memujanya? Inilah yang saya maksudkan sebagai potensi yang tidak perlu anda latih lagi. Bersyukurlah bahawa Allah menganugerahkannya kepada anda. Potensi diri yang hanya diperolehi oleh anda.
Cuba anda lihat video ini dan anda akan lebih memahami,
Lihat sendiri bagaimana setiap kata-kata motivasi dan kekurangan dirinya. Tetapi potensi dirinya ini adalah anugerah. Tidak ramai orang biasa mampu melakukan seperti itu.
Posting Ke-100 Motivasi-Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Pertamanya saya merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana Dia memberikan saya ruang untuk saya menulis di blog Motivasi Kerja ini. Saya menulis hari adalah untuk menggambarkan perasaan gembira saya kerana ini adalah satu pencapaian pada diri saya. Tetapi bukan saya nak menunjuk-nunjuk kepada anda semua.
Perjalanan sebagai penulis blog bukan sesuatu yang mudah pada saya. Mudah jika hanya ingin menulis tanpa berfikir. Mudah jika kita menulis sesuatu hanya kita boleh berbicara tentang itu. Namun jika anda menulis untuk memenuhi sesuatu yang diingini orang lain pasti anda juga perlu berfikir dan berfikir. Blog ini menjadi inspirasi hati saya. Biarlah hari ini saya berkongsi sedikit sebanyak tentang pengalaman saya menulis di sini.
Sahabat, setiap hari saya berfikir untuk menulis di sini. Berfikir untuk suatu kelainan yang dapat saya kongsikan pada sahabat semua. Saya suka berdakwah dan memberikan motivasi diri melalui cara ini. Saya menulis dan sahabat membacanya. Suatu perasaan yang sukar saya gambarkan apabila anda membaca dan berkongsi idea di sini. Teruslah menyokong saya jika ada sesuatu yang baik saya kongsikan. Tegurlah saya jika ada kesalahan dalam penulisan saya. Itu adalah lumrah sebagai manusia.
Menulis memerlukan perasaan. Satu konsep yang saya percaya jika sahabat memberi dengan penuh penghayatan dan perasaan maka dengan izin Allah jua anda dapat merasai apa yang saya tulis ini bukan hanya sekadar tulisan. Terima kasih saya buat sahabat semua yang sudi ziarah ke sini, terima kasih juga kepada sahabat yang menyumbangkan kritikan membina dan idea berharga untuk saya menulis sesuatu yang sahabat inginkan.
Mungkin ramai ingin tahu mengapa saya menulis dan menggunakan niche motivasi kerja? Banyak sebab sebenarnya.
- Saya bekerja sebagai motivator yang banyak terlibat dalam memberikan program-program motivasi Islam untuk staf di kementerian, syarikat, swasta dan organisasi-organisasi yang lain. Niche ini lebih dekat dengan diri saya dan saya mula memahami situasi ini.
- Ramai di luar sana akan mencari pekerjaan dan akan bekerja. Jadi alam pekerjaan adalah baru bagi mereka yang bekerja. Banyak info yang mereka perlukan untuk membantu mereka.
- Masa yang paling banyak anda habiskan di hidup ini adalah kerja. Kalau sekarang pencen di usia 58 tahun. Tempoh bekerja telah mengambil sebahagian dari tempoh hidup anda. Sudah tentu kerja perlukan motivasi.
- Alam pekerjaan mempengaruhi kehidupan kita semua, makan minum, ibadah dalam kerja, motivasi diri dan juga kepimpinan dan kemahiran adalah sebahagiaan elemen yang memberikan impak kepada diri anda.
Akhir sekali dari saya, bagi anda yang ingin menjadi blogger satu disiplin yang perlu anda sematkan dalam diri anda ialah istiqamah dalam menulis. Ramai blogger di alam maya ini tetapi tidak ramai yang istiqamah menulis setiap hari. Dan paling sedikit ialah blogger yang menulis sesuatu yang baik untuk dikongsikan pada orang lain setiap hari. Bagi yang mengenali saya jutaan terima kasih kerana selalu menyokong saya. Bagi yang selalu memberikan komen, teruskan kerana komen anda sebenarnya adalah emas kepada saya. Akhir sekali bagi yang ingin mengenali saya selalulah ziarah saya di sini. Lama-lama nanti kenal la..:)
Rahsia Dari Kegagalan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Rupanya-rupanya kegagalan juga membawa erti yang besar ke dalam kehidupan kita. Bahkan mungkin kegagalan pula akan menjadi guru dan pembimbing kepada kejayaan akan datang. Tidak semua perkara positif menjadi rangsangan terbaik untuk kita semua. Adakalanya sesuatu yang negatif seperti kisah kegagalan, kesusahan akan menjadi pendorong yang lebih baik untuk mengubah corak kehidupan kini aga lebih baik dari semalam.
- Hebatnya kegagalan kerana gagal dapat melumpuhkan rasa ego dan takbur dalam diri. Sejauh mana hebat perancangan manusia, satu yang perlu diketahui bahawa kita tidak akan dapat melawan perancangan yang Allah tentukan. Kadang-kadang keyakinan yang melampau menyebabkan kita rasa ego bahawa kita akan berjaya sedangkan sekelip mata sahaja Allah boleh tukarkan kepada kegagalan jika Dia mahu.
- Kegagalan memberikan ruang agar anda lebih teliti dalam melakukan sesuatu perkara sebenarnya. Biasalah sebagai manusia pasti ada juga yang terlepas pandang dalam perancangan yang kita lakukan. Gagal merancang akan menjadi subjek terbaik untuk anda.
- Gagal bererti anda berdepan dengan cabaran. Maknanya jika anda mampu melepasi ujian ini maka anda bakal menempah sebuah kejayaan. Cabaran adalah ibarat duri-duri yang anda pijak ketika berusaha mencapai apa yang anda kehendaki.
- Rasa gagal selalunya akan menjatuhkan semangat anda. Namun ada orang apabila gagal semangat untuk mencuba kali kedua adalah dua kali ganda lebih hebat momentumnya dari yang pertama. Jadi memang benar jika Allah berikan kegagalan kepada kita, pasti Allah mahu kita meneliti di mana kekurangan yang perlu diperbaik dan percayalah kepada hikmah Allah Subhanahu Wataala.
Dan satu yang sangat mengujakan saya apabila saya terbaca satu kata-kata hikmah “Gagal adalah kejayaan yang tertunda.” Bermakna kegagalan itu akan memberikan kuasa untuk anda mencapai kejayaan.
