Bagaimana Anda Mendapat Inspirasi?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Apa jawapan anda apabila saya tanyakan persoalan ini? Inspirasi adalah ilham yang mencetuskan keinginan untuk melakukan sesuatu. Inspirasi sangat penting untuk menjadi dorongan terhadap apa yang anda lakukan. Tetapi bagaimana cara untuk mendapat inspirasi? Banyak cara untuk mendapat inspirasi, cuma kadang-kadang anda tidak menyedarinya.
Pagi tadi saya lihat isteri saya memegang, mencium dan membelek-belek baju baby yang baru kami beli. Saya lihat dalam tempoh kebelakangan ini emosinya sangat stabil, wajahnya ceria setiap hari. Maka saya terlintas bahawa baby yang sedang dikandungnya menjadi inspirasi hidup untuk lebih ceria dan lebih menghargai kehidupan hari demi hari. Saya juga tumpang gembira melihat situasinya.
Begitulah juga dengan diri anda dan orang lain. Inspirasi boleh hadir dalam pelbagai cara. Mungkin berada di ambang 2009 ini menjadi inspirasi kepada anda untuk memperbaiki pencapaian anda pada tahun hadapan. Seorang pelajar yang susah hidupnya menjadikan kesusahan itu sebagai inspirasi untuk berjaya dalam pelajarannya. Seorang ayah mendapat inspirasi untuk terus berusaha apabila mengingatkan kasih dan sayang kepada anak-anaknya.
Inspirasi boleh mencetuskan kuasa hebat yang tidak dapat disukat dan diukur. Anda perlu mendapat inspirasi baru untuk berusaha dengan cara baru dan berdampingan dengan situasi baru. Sedar kedudukan diri juga adalah sebahagian cara untuk mendapat inspirasi yang terbaik dalam hidup anda.
Mengenali Potensi Diri (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Satu topik yang sangat menarik untuk saya kongsikan bersama anda. Setiap insan yang dijadikan Allah Subhanahu Wataala mempunyai anugerah potensi dan bakat yang sangat bererti pada dirinya. Itu menunjukkan bahawa Allah Maha Adil kerana menjadikan manusia mempunyai kelebihan dan dalam masa yang sama ada juga kelemahan pada dirinya. Persoalannya mengapa anda tidak dapat membongkar potensi anda? Sedangkan anda tahu Allah menganugerahkan bakat kelebihan pada setiap manusia.
Saya ingin mengubah sedikit corak pemikiran kita semua tentang potensi. Selalunya bila menyebut tentang potensi anda akan bertanya pada diri anda, apa dia potensi saya? Dan dalam minda anda berlegar bahawa potensi adalah kemahiran fizikal yang ada pada seseorang individu.
Sebenarnya potensi bukan hanya sekadar kemahiran fizikal. Itulaha sebahagian daripada cabang potensi diri anda. Potensi adalah sesuatu yang positif dalam diri anda. Sama ada dalaman atau luaran itu semua dikira sebagai potensi diri. Jika anda berkemahiran dalam bidang tertentu seperti bersukan, kraftangan, memasak, menyulam dan sebagainya itu sememangnya adalah potensi fizikal anda. Tetapi perlu diingat juga bahawa jika anda seorang yang rasional, penyayang, penyabar, gigih, kreatif, bersemangat, tahu cara menghargai orang lain itu juga dikira potensi diri anda yang perlu anda serlahkan.
Seorang yang berjaya tidak hanya bergantung pada kemahiran fizikalnya semata-mata. Tanpa bantuan potensi dalaman kejayaan yang anda impikan tidak akan ke mana. Seorang motivator tidak akan berjaya jika hanya mempunyai kepakaran dalam ‘public speaking’. Motivator yang berjaya memerlukan kreativiti, semangat, menghargai orang lain, komunikasi yang baik serta beberapa lagi potensi dalaman yang perlu dikuasai. Barulah boleh digelar seorang motivator yang berjaya.
Begitulah juga dengan seorang pekerja seperti anda. Kedudukan anda sekarang tidak dinilai dari kepandaian anda mengendalikan kerja anda sahaja. Untuk lebih berjaya anda perlu mencari lagi potensi-potensi dalaman anda untuk anda serlahkan dan menyokong kemahiran fizikal yang anda ada sekarang. Anda seorang pakar IT yang hebat, tetapi percayalah anda tidak akan dapat naik setingkat lebih tinggi jika anda hanya menguasai kemahiran itu. Anda perlu menyokongnya dengan potensi komunikasi yang baik, sedikit kreativiti, dan jika perlu adunkannya dengan kemahiran-kemahiran yang lain barulah anda boleh berjaya.
Al-Quran Skill Yang Perlu Dilatih Setiap Hari
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah baru semalam saya selesai mengendalikan Kursus Tahsin Doa anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. Kursus satu hari waktu 8.00 pagi – 4.30 petang adalah kursus pertama yang sepenuhnya saya kendalikan. Antara objektif utama kursus ini adalah untuk memberikan kemahiran dan penguasaan tentang bacaan doa dengan cara yang profesional dan betul.
Antara penekanan utama adalah untuk memahirkan diri dengan bacaan-bacaan doa. Sasarannya pun adalah peserta yang sukarela menjadi pembaca-pembaca doa di majlis rasmi kerajaan. Doa mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan Al-Quran. Sebahagian besar doa perlu dibaca dalam Bahasa Arab. Jadi bukan mudah menjadi pembaca doa di majlis rasmi jika anda tidak mahir dengan ilmu Al-Quran.
Sebahagian besar peserta yang hadir memerlukan latihan yang lebih intensif bagi melancarkan sebutan dan makhraj huruf Al-Quran. Sebenarnya ilmu Al-Quran bukan boleh dikuasai dengan latihan sehari atau seminggu.Al-Quran perlu dibaca setiap hari. Itu pun selepas anda sudah berguru dengan mana-mana guru Al-Quran. Al-Quran adalah ilmu praktikal. Anda tidak akan mampu menguasainya jika hanya belajar melalui buku-buku dan CD-CD Al-Quran.
You Are G.R.E.A.T
Anda berhak jadi H.E.B.A.T! Mungkin itulah kata-kata terbaik dari hati saya. Sekalipun video ini ringkas tetapi kata-katanya sangat memberikan makna pada saya yang sedang mencari kehebatan dalam diri. Anda juga mungkin sama seperti saya.
Impian
Untuk menjadi hebat perlukan impian, tanpa impian anda hilang titik awal menuju masa depan anda. Impian akan melahirkan keazaman yang tinggi dalam diri anda.
Pengorbanan
Untuk berjaya bukan sedikit pengorbanan yang perlu dicurahkan. Tetapi pengorbanan itu akan mengubah kesukaran yang sekian lama menyelimuti diri anda. Bukalah selimut itu. Gantilah dengan pengorbanan yang akan memberikan kesenangan dan kejayaan.
Usaha
Usaha adalah 99% yang akan membantu anda ke destinasi anda. Jangan biar impian tanpa usaha. Air setitis tidak akan mampu melekukkan batu yang keras. Itulah usaha.
Harapan
Jika impian menjadi titik mula kepada kejayaan, harapan pula akan menjadi titik penyambung kepada usaha dan pengorbanan anda. Harapan akan menjadi titik sambungan yang tidak akan putus untuk ke hadapan selama mana harapan itu masih kuat dan tegar.
Solat Adalah Proses Mengingati Matlamat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sering kali dalam kehidupan, kita terleka dan alpa apakah matlamat hidup kita. Pada siapa kita perlu menyandarkan matlamat hidup kita. Bagi yang sentiasa menyedari perkara ini bersyukurlah kerana anda diberi peluang itu oleh Allah Subhanahu Wataala. Tetapi bagaimana bagi yang lupa? Kesibukan kepada kepalsuan dunia menutup hati kita untuk mengingati di matlamat hidup manusia sebenarnya.
Allah mensyariatkan solat kepada kita dengan seribu hikmah. Bahkan mungkin lebih dari seribu. Itu semua tertakluk kepada ilmu Allah. Antara hikmah besar yang Allah Subhanahu Wataala tunjukkan kepada kita ialah setiap hari kita sebenarnya diingatkan oleh Allah tentang apakah matlamat hidup kita.

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.”
Matlamat hidup yang simple, jelas dan padat. Rasanya cukuplah dengan membacanya sahaja. Tidak perlu kepada penghuraian yang lebih terperinci. Itulah hebatnya solat yang disyariatkan olehNya. Memadailah memahami doa iftitah ini. Bayangkan solat kita, bayangkan juga ibadah kita sebelum ini, bagaimana pula kehidupan kita, dan bagaimana pula pengakhiran kematian kita? Adakah kita meletakkan semua ini kerana Allah?
Saya tinggalkan persoalan ini untuk sama-sama kita renungkan!
Motivasi Kepimpinan Muhammad Al-Fateh
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alangkah baiknya jika pemuda-pemuda muslim di dunia ini seperti Muhammad Al-Fateh. Beliau bukan sekadar pemuda. Di usia mudanya beliau merupakan Sultan. Bayangkan di usia 12 tahun Muhammad Al-Fateh dilantik menjadi pemangku khalifah oleh ayahandanya Sultan Murad II. Bahkan beliau
Pembuka Kota Costantinople ini begitu bersemangat peribadinya. Beliau mendapat pendidikan agama yang sangat baik dari Syeikh Shamsuddin Al-Wali yang merupakan keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Tentang ilmu perang pula tidak perlu dipersoalkan lagi kerana sejak dari kecil beliau telah mahir tentang strategi peperangan, memanah dan menunggang kuda. Beliau juga fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.
Strategi kepimpinan Muhammad Al-Fateh
- Dua tahun mengkaji pelan Kota Costantinople pada setiap malam bagi mengenal pasti kelemahan lokasinya.
- Mengarahkan dibina meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300kg sejauh 1 batu.
- Membina benteng Rumelli Hissari sebagai kawalan untuk kapal-kapal yang keluar masuk melintasi Selat Bosphorus.
- Membuat perjanjian damai dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Contantinople.
- Mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera.
- Mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan keudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai taktik peperangan yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat.
Memerintah Hanya 852 Hari
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz begitu masyhur kerana cara kepimpinan beliau yang begitu memberikan kesan dan telah berjaya membina anjakan paradigma baru. Memerintah hanya selama 852 hari sebagai Khalifah ke6 Bani Umayyah sudah pasti menjadi lagenda dalam dunia Islam. Cucu kepada Umar Bin Al-Khattab ini mewarisi sedikit sebanyak sifat-sifat keperibadian dan kepimpinan Umar. Yang paling nampak ialah cara beliau yang begitu berhati-hati dalam penjagaan harta yang melibatkan harta rakyat.
Ketelitian Umar Abdul Aziz dalam menjaga harta negara begitu disanjung tinggi oleh masyarakat ketika beliau menjadi Gabenor Madinah. Segala barang kemas isterinya dimasukkan ke Baitulmal. Perbelanjaan negara juga diuruskan dengan jimat cermat. Beliau sendiri memecatpegawai-pegawai yang boros. Perbelanjaan untuk jamuan-jamuan negara juga tidak dibenarkan menggunakan duit kerajaan.
Umar dilantik menjadi khalifah apabila sepupunya Khalifah Sulaiman meninggal dunia. Atas wasiat Sulaiman, Umar memegang tampuk pemerintahan Bani Umayyah. Antara perubahan yang dilakukan oleh beliau sewaktu memerintah Bani Umayyah:
- Menghapuskan cacian dan penghinaan kepada Saidina Ali Bin Abi Talib di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan potongan-potongan ayat Al-Quran.
- Merampas dan mengembalikan harta-harta khalifah yang disalahguna ke Baitulmal.
- Memecat pegawai-pegawai yang tidak bertanggungjawab, penyalahgunaan kuasa dan pegawai yang dilantik atas nama kroni keluarga khalifah.
- Menghapuskan sistem pegawai-pegawai peribadi khalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Sulaiman untuk lebih memudahkan beliau berurusan dan mendengar aduan daripada rakyat.
Antara pendekatan-pendekatan lain yang dilakukan oleh Umar kepada rakyat dalam pemerintahannya:
- Memberikan penghayatan agama kepada rakyat yang lalai dengan kemewahan.
- Memerintahkan rakyat supaya solat berjemaah dan menjadikan masjid-masjid sebagai kuliah untuk mempelajari ilmu-ilmu dan hukum-hukum Allah.
- Menterjemahkan buku-buku kedoktoran dari Bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab.
- Menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai
- Menghapuskan bayaran jizyah (bayaran yang dikenakan kepada orang kafir yang hidup di negara Islam) dengan harapan mereka mula mencintai Islam.
- Menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara untuk menyampaikan dakwah.
