Produk Dari MK
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ramai yang masih tidak tahu bahawa tahun 2011 ini merupakan titik perubahan besar bagi saya. Saya telah mengasaskan produk Al-Quran yang begitu menarik untuk dikongsikan dengan anda semua di ruang ini. Setelah sekian lama menginginkan satu produk untuk diri sendiri akhirnya inilah untuk anda jika anda berminat.
Bagi anda atau anak-anak anda yang ingin terus mendalami ilmu-ilmu Al-quran, kini tidak perlu bimbang kerana anak-anak anda boleh terus mempelajari ilmu ini pada tahap yang lebih tinggi. Saya namakan sebagai Muqaddam Amanina Juz Amma Makna Perkata dan juga metode pengajaran yang saya lakukan mampu mengajar anda dan anak-anak anda memahami makna Al-Quran secara harfiah atau satu persatu.
Mengapa anda perlu memiliki produk ini?
Merupakan produk pertama seumpamanya.
Mempunyai kaedah ‘Faham Al-Quran’
Enam siri muqaddam yang berwarna dan menarik
Dilengkapi makna perkata yang sesuai untuk pembelajaran
Bimbingan hafazan yang praktikal
Perbendaharaan kata Bahasa Arab dari Juz Amma
Intisari surah
Bimbingan semakan untuk guru
Tulisan Resam Uthmani
Tahukah Anda?
- Jika anda memahami Juz Amma dengan baik bermakna anda telah memahami 33% daripada Al-Quran Al-Karim. Dengan 37 surah di dalamnya akan mampu menarik minat anda untuk terus mendalami Al-Quran dengan cara yang mudah.
- Antara faktor pelajar-pelajar lemah dalam Bahasa Arab adalah kerana mereka tidak dapat menguasai perbendaharaan kata dengan baik. Dengan Muqaddam Amanina ini saya membantu anak-anak anda menguasai sebanyak mungkin perbendaharaan kata hanya melalui Juz Amma.
- Senario hari ini semua ibu bapa mahu anak-anak mereka celik Al-Quran tetapi mengapa tidak untuk memahaminya?
Terkini!
- Bengkel Faham Al-Quran melalui Muqaddam Amanina di Bandar Baru Bangi. Anak anda bila lagi?
- Muqaddam Amanina telah memasuki Johor, Melaka dan Terengganu.
- Saya mencipta kerjaya untuk anda.Bagi anda yang berminat mempelajari Muqaddam ini dan mahu mengajarkannya kepada orang lain Bengkel Tenaga Pengajar sedang menanti anda.
Hanya RM50/set (6 buah buku)
Untuk tempahan dan maklum balas hubungi saya:
013-6775764 / us.asrul@gmail.com
Pengalaman Menghadapi Temuduga [4]
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Minggu lepas saya menghadiri temuduga Pegawai Pendidikan Tinggi Siswazah bagi sesi kedua selepas saya berjaya sesi micro teaching tempoh hari. Andai dapat belum pasti saya akan pergi atau tidak. Tetapi temuduga kelmarin memang memenatkan memandangkan saya menunggu giliran saya hampir 5 jam 30 minit.
Saya menerima panggilan untuk temuduga tersebut sehari sebelum temuduga. Bayangkanlah! Nasib baik masa dihubungi saya berada di sekitar Selangor. Kalau di luar kawasan tak pastilah dapat pergi atau tidak. Dalam hati tetap terdetik juga, alhamdulillah lulus juga micro teaching hari tu. Maklumlah saya bukan guru yang pandai mengajar.
Dimaklumkan bahawa saya perlu menghadiri temuduga tersebut pada pukul 11.oo pagi. Dalam pukul 10 saya pun bertolak memandangkan tempat temuduga di ibu pejabat MARA. Tetapi malangnya masa saya tiba baru peserta yang ketiga. Rupa-rupanya temuduga bermula pukul 8.30 pagi. Dalam hati bertanya juga, “Mengapalah pihak MARA telefon semalam beritahu mula pukul 11 pagi. Kalau tak aku sanggup je datang awal dari dapat giliran yang kedua akhir.”
Sepanjang hari saya belajar erti sabar dan juga mendiamkan diri sebab menunggu. Bagus juga. Tapi seorang demi seorang nampak mengeluh juga. Kata diorang panel tanya soalan susah-susah juga. Bahasa Arab ada Bahasa Inggeris pun ada. Puratanya soalan ditanya mengikut bidang akademik yang diambil sewaktu belajar.
Tepat pada pukul 4.25 petang sampailah juga giliran saya. Panel sendiri yang jemput saya masuk. Saya berikan fail sijil dan resume saya kepada panel. Duduk saja saya dipersilakan untuk perkenalkan diri. Kemudian minta saya ceritakan pengalaman kerja. Hati saya mula lega sedikit. Mungkin sesi petang ni panel dah lemau nak tanya banyak soalan. Akhirnya panel tanyalah satu soalan dalam Bahasa Arab minta saya terangkan apa hikmah berpuasa. Dan soalan Bahasa Inggeris pula apa pengalaman menarik sepanjang menjadi motivator. Soalan pertama boleh jawab sebab bolehlah cakap Arab sikit-sikit. Tapi soalan kedua tu tergagap juga menjawapnya. Inilah kelemahan ketara yang perlu dimantapkan. Alhamdulillah panel juga banyak bertanya tentang kerjaya saya berbanding soalan-soalan lain. Lebih kurang 20 minit selepas itu saya pun selesai. Lihat jam di tangan pukul 4.45 petang. :)
Pengalaman Temuduga [1]
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Isnin yang lepas (19 Oktober 2009) saya menghadiri satu temuduga kerja di Institut Al-Quran Negeri Terengganu di Padang Midin, Marang. Temuduga yang saya hadiri ini adalah untuk jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah DC41. Ada beberapa perkara yang menarik hati saya untuk menghadiri temuduga.
Pertama: kerana saya ingin menimba pengalaman temuduga. Maklumlah sejak tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dulu, ini adalah temuduga kerja saya yang ketiga.Temuduga pertama di tempat kerja sekarang. Temuduga kedua boleh baca di sini.
Kedua: Kerana Institut Al-Quran Negeri Terengganu ni adalah tempat saya menuntut dahulu. Saja ingin mencuba nasib walaupun tahu peratusan untuk lulus temuduga ni amatlah tipis.
Ketiga: Kerana memenuhi kehendak keluarga. Famili saya tetap nak saya kerja di sektor kerajaan. Apa nak buat.
Pengalaman temuduga kali ni memang mencabar. Maklumlah surat tak sampai. Nasib baik saya telefon ke pejabat IQT sendiri dan minta faks ke pejabat Fitrah Power. Nak prepare lagi. Bukan mudah tu.
Pendekkan cerita, temuduga ni terbahagi kepada tiga bahagian utama. Ada ujian Bahasa Arab, kemudian ujian lisan Al-Quran dan akhir sekali bahagian pengetahuan am. Dalam hati ni berkata, insya Allah boleh tempuh ni. Cuma persaingan sengit memandangkan ramai peserta temuduga yang lain juga adalah mantan pelajar yang pernah menuntut di sini juga. Ada juga dua tiga orang peserta yang sudah ada Sarjana. Tapi persaingan positif lebih memberikan semangat.
Temuduga bermula pada jam 9.00 pagi. Berkat pengalaman temuduga yang ada saya sampai di lokasi temuduga pada pukul 8.40 pagi. Ingatkan dah lewat. Rupanya peserta pertama! Seronok sangat. Daftar nama, kemudian diberikan kertas ujian bertulis Bahasa Arab. Diberikan masa setengah jam untuk siapkan.
Siap ujian bertulis, saya tengok giliran saya yang ke-7. Aduhai ingatkan siapa cepat dia kena dulu. Rupanya dah ada giliran yang ditulis. Jadi kenalah tunggu sampai giliran saya.
Akhirnya sampai juga giliran temuduga. Tengok jam pukul 12.30 tengah hari. Fuh! Ni memang panel temuduga pun dah kurang excited nak tanya.
Di dalam bilik temuduga
“Assalamualaikum. Enta Asrulnizam?” Haa..kena cakap Arab tu. Panel minta saya perkenalkan diri dalam Bahasa Arab. Dah lama tak cakap Arab. Tergagap-gagaplah walaupun boleh bercakap. Lepas perkenalkan diri, saya ditanya beberapa soalan berkenaan Bahasa Arab. Alhamdulillah boleh jawab dengan baik.
Selesai sesi pertama, sesi kedua ujian lisan Al-Quran pulak. Saya diminta baca awal Surah Yunus dan Surah Luqman. Alhamdulillah boleh jawab dengan baik. Kemudian panel minta saya berikan konsep pendidikan dari Surah Luqman. Alhamdulillah Allah masih buka minda saya untuk jawab dengan baik.
Cuma apabila panel ketiga (Pengarah IQT) tanya saya berapakah jumlah wasiat Luqman Al-Hakim? Apa lagi peluh keluarlah. Dengan selambanya saya jawab ada tujuh (konfiden tapi tak betul). Bila tengok keadaan saya dah mula berpeluh panel ketiga minta saya berikan tafsir Surah Al-Asr. Saya jawab tapi tak tepat. Kebetulan panel ketiga ni memang bidang tafsir. Bila tengok jawapan saya tak tepat panel teruslah perbetulkan. Sempatlah jugak kena brainstorming.
Akhir sekali sebelum keluar panel tanya, apa janji jika diterima mengajar di sini. Saya jawap ” Insya Allah dengan ilmu dan pengalaman yang sedikit saya akan melakukan kerja dengan sebaik mungkin dan berkualiti.”
Keluar bilik temuduga tengok jam dah 1.00 petang. Setengah jam yang mendebarkan dah berakhir rupanya.


