Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 03-10-2009
1
Anda mungkin kenal dengan Billy Lim, pengarang buku best seller “Berani Gagal“. Kata-kata beliau yang menjadi perhatian saya;
“Pada saya ‘When you lose, don’t lose the lesson’. Maksudnya bila anda gagal, jangan lupakan pelajarannya. Setiap yang kita buat adalah pelajaran. Mungkin bukan hasil apa yang kita nak, tapi apa sahaja yang terjadi, anda akan belajar dari kesilapan dan tugas anda adalah tidak mengulangi kesilapan yang sama.”
Bermakna apabila kita gagal, kita tidak mahu berjalan di atas jalan kegagalan lagi. Apabila gagal sekali kita perlu berubah untuk tidak melakukan kegagalan lagi. Persoalannya adakah anda bersedia untuk berubah?
Memang pedih apabila menghadapi kegagalan. Tetapi lebih pedih apabila mengalami kegagalan yang kedua kerana tiada perubahan yang dilakukan. Berubah adalah membina jalan-jalan baru dalam kehidupan. Berubah bermakna kita mencipta peluang-peluang yang lain. Melupakan peluang-peluang yang gagal, serta mengambil kisah kegagalan tersebut sebagai salah satu panduan dan nota penting untuk kejayaan akan datang.
Perubahan jangan mengharapkan hasilnya dalam jangka yang terdekat, kerana dengan cara ini kita akan melakukan banyak perubahan yang drastik. Bolehkah anda mengubah cara hidup anda secara total dalam masa terdekat? Mungkin boleh tetapi terus terang saya katakan sukar untuk melakukannya. Kerana kita semua adalah manusia. Perubahan adalah sistem kehidupan yang perlu kita istiqamah setiap hari. Maka jangan tergesa-gesa untuk melakukannya.
Perhatikan kembali di mana punca kegagalan yang perlu diubah terlebih dahulu. Adakah sikap kita? Adakah kerana perancangan kita? Atau pun adakah kerana tindakan kita yang terburu-buru? Semuanya perlu diteliti dengan baik agar kita dapat membina sistem perubahan yang tepat dan efisien.
Kemudian barulah perlahan-lahan melakukannya. Insya Allah kita sama-sama boleh melakukannya. Cuma perlu tanya pada diri adakah kita berani atau tidak untuk berubah!

Saya ingin memetik kata-kata seorang penulis buku best seller Change! dan Re-Code Your Change DNA, Rhenal Kasali:
“Insiden krisis yang datang terus menerus juga menunjukan tidak siapnya bangsa Indonesia menghadapi perubahan. Perubahan dipandang lebih sebagai sebuah ancaman yang harus dilawan dan dihindari, bukan untuk dihadapi.”
Sekalipun saya memetik kata-kata yang pendek ini, namun sangat memberikan makna yang besar. Menunjukkan bahawa kita semua mempunyai pilihan atas apa yang kita kehendaki. Mengubah kehidupan dari susah kepada senang, malas kepada rajin, dungu kepada bijak sudah tentu atas pilihan sendiri.
Memilih untuk berubah sememangnya bakal menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang tersendiri. Keadaan sukar atau tingginya risiko dalam melakukan perubahan bergantung kepada siapa anda, bagaimana kedudukan anda dan apa yang anda ingin lakukan perubahan. Semakin hebat perubahan yang anda ingin lakukan sudah tentu tinggi risiko yang bakal dihadapi.
Tetapi Allah SWT akan membantu hambaNya yang ingin melakukan perubahan kepada kebaikan kerana Allah SWt yang telah memberikan amaran bahawa tidak akan ada perubahan melainkan diri sendiri yang memilih untuk berubah. Sebagaimana firmannya:
“..Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (Ar-Ra’d – 11).
Tanyalah diri anda. Mengapa masih ingin berada dalam kepompong yang gelap dan usang. Cepatlah keluar menjadi rama-rama yang cantik dan dapat terbang tinggi. Telitilah apa yang saya tulis ini dari sudut siapa diri anda? Jika anda melihat siapa diri anda, anda tahu apa yang perlu diperbaiki dan apa yang perlu anda kekalkan. Jangan terus menjadi seperti sekarang. Anda ketinggalan berbanding orang lain, sedangkan anda berhak memilih untuk menjadi seorang yang hebat dan cemerlang.