Beban Profesion Guru
Salam sejahtera untuk anda semua.
Baru beberapa hari yang lepas kita menyambut Hari Guru dengan tema tahun ni Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara. Melihat kepada tema ini saya berpendapat guru mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk acuan pendidikan negara yang cemerlang untuk generasi sekarang dan akan datang.
Beban yang saya maksudkan ialah tanggungjawab dan peranan guru yang perlu diperkemaskan sebaik mungkin memandang realiti yang berlaku hari ini, pelajar tidak matang dalam berdepan hakikat kehidupan lebih-lebih lagi dalam dunia kerjaya. Pelajar hari ini bukan tidak pandai bahkan mereka cemerlang dalam akademik tetapi mereka kekurangan nilai diri yang menjadi tunjang untuk kematangan berhadapan masalah.
Kekurangan nilai meletakkan mereka gagal menyerlah dalam bidang yang diceburi. Tak dinafikan mungkin guru yang di sekolah menengah dan rendah hanya mampu memberikan pelajaran kerana mereka baru di peringkat awal, namun jangan biarkan pelajar terus haus dengan nilai diri kerana ilmu dan pendidikan adalah sesuai yang perlu bergerak selari.
Bagi guru yang berstatus pensyarah, andalah yang menjadi tonggak dalam membina penjelajahan terhadap siswa-siswa untuk lebih bersedia berdepan masalah globalisasi. Jika masyarakat mempertikaikan kualiti siswa maka pensyarah dan universiti perlu bertanggungjawab tetapi jika pelajar sekolah yang bermasalah pastinya guru, pengetua dan sekolah yang perlu bertindak.
Insentif Untuk Guru
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dua hari lepas semua mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik kerana usaha, tanggungjawab dan juga komitmen yang tinggi dalam kerjaya mereka. Sempena Hari Guru juga kerajaan Malaysia mengumumkan ganjaran sebanyak RM900 hingga RM7500 akan diberikan kepada pengetua, guru besar, guru sekolah rendah dan menengah yang mencatat keputusan cemerlang melalui Indeks Petunjuk Prestasi. Imbuhan yang tinggi ini telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dan diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Pada pandangan peribadi saya, imbuhan adalah sebagai satu tekanan kepada warga pendidik untuk bekerja keras dalam memberikan pendidikan bukan sekadar pengajaran dalam kelas semata-mata. Hari ini saya melihat kerjaya guru adalah kerjaya pilihan di Malaysia kerana statistik menunjukkan peratusan pengganggur yang memohon jawatan ini meningkat setiap tahun.
Sebagai warga pendidik ini adalah cabaran, kerana di sebalik imbuhan adakah kecemerlangan prestasi yang dimaksudkan hanya kecemerlangan akademik, peranan pendidik besar sebenarnya. Tetapi kesedaran guru untuk memberikan pendidikan akhlak, spiritual dan akademik akan lebih memantapkan pelajar untuk cabaran globalisasi akan datang. Selamat berjuang untuk GURU!
Gambar: Credit to iluvislam.com











