Posts tagged "Isu Kerjaya"

Amah Lari Dari Rumah

Salah siapa?

Inilah pertanyaan pertama yang singgah di minda saya apabila membaca isu utama bulan ini banyak berkaitan dengan kerjaya sebagai pembantu rumah yang kebanyakannya didominasi oleh warga Indonesia. Isu ini bukan isu baru tetapi dalam bulan ini sahaja berapa kali akhbar menyatakan tentang isu ini. Cyberita Online Luar Negara dan mStar Online juga turut menyiarkan berita ini.

Satu pihak menyalahkan majikan yang banyak mendera pembantu rumah warga asing yang tidak bayar gaji mereka, mencederakan fizikal dan emosi mereka. Bahkan satu pihak yang lain pula menyalahkan pembantu rumah yang tidak pandai menjalankan kerja sebagai pembantu rumah. Ada juga pembantu rumah yang bertindak sama zalim dengan majikan. Sudahlah proses untuk mengambil pembantu rumah warga asing  melalui ejen memerlukan harga yang tinggi, bila dapat pula mereka tidak berkemahiran untuk bekerja.

Sebenarnya isu ini akan berterusan jika hanya mengharapkan pembantu rumah warga asing. Pada pendapat saya sudah tiba masanya kerajaan mula mengkomersialkan bidang kerjaya pembantu rumah yang sangat mendapat permintaan tinggi di kalangan warga bandar kerana tidak dapat menguruskan kediaman secara sepenuh masa. Namun jika negara kita masih mengharapkan warga asing untuk memenuhi bidang kerjaya ini,maka sudah pasti senario ini akan berterusan, dan akan mencetuskan konflik lain pula.

1 comment - What do you think?

Hargailah Pekerja Anda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bagaimana anda sebagai majikan perlu menghargai pekerja anda? Banyak berlaku pada hari ini majikan hanya mengaut keuntungan berganda-ganda tetapi kebajikan dan hak pekerja tidak diendahkan. Mengapa begitu? Sedarilah bahawa keberkatan anda sebagai majikan terletak bagaimana anda menjaga dan menghargai pekerja anda.

Membayar gaji tepat pada masa

Saya memetik satu hadis: “Berikanlah kepada pekerja upahnya sebelum kering keringatnya.” (HR Ibnu Majah)

Jelas sekali bahawa memberikan gaji sebelum keringatnya kering sebagai satu perumpamaan dan kiasan bahawa membayar gaji kepada pekerja tidak boleh dilewat-lewatkan. Bahkan jika prestasi kerja meningkat majikan wajar memberikan bonus atau bayaran tambahan yang setimpal dengan apa yang diusahakan oleh pekerjanya.

Sebagai majikan perlu menyedari hakikat ini sedalam-dalamnya agar anda tidak menganiayai orang lain yang berusaha dengan penuh ikhlas dan komitmen. Berjanji untuk memberikan ganjaran tertentu juga mesti dilaksanakan kerana itu semua dianggap satu perkara yang besar di dalam hati seorang pekerja.

Namun jika anda sebagai majikan mungkin mengalami situasi yang tidak terjangka dalam bisnes atau organisasi, budi bicara sebagai majikan ialah perlu berbincang dengan pekerja tentang masalah kewangan syarikat serta masalah yang melibatkan gaji mereka. Menipu dan berjanji itu dan ini tidak akan membantu pekerja memberikan sangkaan baik pada anda. Percayalah! Berkomunikasilah dengan baik agar pekerja anda memahami bersama masalah yang dihadapi.

Be the first to comment - What do you think?

Kurangkan Pekerja Warga Asing

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam akhbar Berita Harian hari ini saya melihat kerajaan mengambil tindakan mengurangkan pekerja asing untuk menguatkan sektor awam di negara ini. Saya pernah memberikan respon tentang isu ini dalam posting Dilema Pekerja Asing yang lalu untuk membayangkan bahawa sepatutnya sudah lama kerajaan Malaysia memikirkan penyelesaian ini.

Jumlah pekerja warga asing yang berdaftar di negara ini menjangkau 1.8 juta, bukanlah satu angka yang kecil jika kerajaan memikirkan masa hadapan negara. Membina transformasi dalam sektor awam seharusnya membina perancangan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti pekerja di sektor awam, supaya kualitinya bukan sekadar dilihat pada perancangan kertas sahaja. Walau bagaimanapun langkah awal untuk mengurangkan pekerja warga asing adalah permulaan yang baik.

Pekerja warga asing sebenarnya juga memberikan kesan positif kepada sektor perkhidmatan dan produktiviti negara, namun dominasi mereka dalam semua lapangan kerjaya pastinya membantutkan potensi tenaga kerja di negara ini. Tenaga pakar dari luar masih diperlukan untuk mencetuskan inspirasi dan inovasi warga kerja Malaysia dalam aspek-aspek tertentu.

5 comments - What do you think?

Anda Tidak Boleh Bekerja Dengan Selesa Apabila..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Adakah anda boleh bekerja dengan selesa apabila..

  • Semua staf tempat anda bekerja buat kerja sendiri-sendiri. Jangankan nak bercakap, jeling kita pun tidak. Suasana di pejabat terasa macam berada di rumah tak berpenghuni. Menakutkan!
  • Lampu dekat pejabat punyalah suram. Nak buat macam mana majikan terlalu berjimat cermat!
  • Bos selalu panggil anda masuk kerana rupa anda yang manis. Hati-hati jangan sampai masuk perangkap bos.
  • Gaji selalu masuk lambat, tetapi kerja pula selalu kena balik lambat.
  • Rumah dengan pejabat punyalah jauh. Kena hadapi jem setiap hari.
  • Kerja yang anda buat sepanjang malam akhirnya bos hanya melihat hasil kerja anda dengan hujung mata.
  • Tiada mentor dari kalangan staf senior yang ingin memberi tunjuk ajar kepada anda.
  • Bertahun-tahun anda bekerja tidak ada satu pun kursus-kursus motivasi dan kemahiran kerja yang anda ikuti. Bagaimana tahap kecekapan nak bertambah?
  • Bos mengarah pandai, tetapi nak ambil hati kita jauh sekali.

1 comment - What do you think?

Pengalaman Seorang Jurutol

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya kongsikan pengalaman seorang jurutol. Semoga kita contohi bersama.

Salam. Saya memang ada pengalaman sebagai jurutol. Walhal saya ada graduan dari IPTA terkemuka. Sebab tak ada kerja, saya setuju jadi jurutol dengan gaji permulaan RM600. Saya setuju bahawa kerja sebagai jurutol memang mudah. Tapi tekanan dari user kadang-kadang menyakitkan hati. Kalau tol mahal, dimarahnya jurutol. Sedangkan bukan jurutol yang tetapkan kadar tol.

Kadang-kadang datang user dalam keadaan marah bertanya “Kenapa tol mahal sangat???” Ikutkan hati nak je jawab, “Dah tahu mahal, kenapa lalu sini??? Cari la jalan tak ada tol”.

Tapi saya tak boleh jawab macam tu sebab kerjaya sebagai jurutol ibarat cerminan kepada syarikat. Nak tak nak terpaksa senyum atau diam saja. Kerja jurutol mental kena selalu bersedia. Pernah ada user membaling duit,  terpaksa kutip macam peminta sedekah. Teringat saya ada user bertanya “Hari-hari mintak duit. Tak ada kerja ker???”. Aduhhh! Sakitnya hati. Tapi terus terang saya tak setuju kalau ada jurutol menggunakan alasan penat yang menyebabkan untuk tidak memberikan ucapan terima kasih mahupun senyuman.

Saya bukanlah seorang bekas jurutol yang baik. Adakala mental saya terusik juga bila user datang memaki hamun dengan bahasa kesat, membaling duit. Tapi saya masih mampu mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih tanpa henti. Sampai terasa kering tekak. Namun ada juga terlepas ucapan dan senyuman pada 3 atau 4 orang user. Bukannya apa, saya cuma fikir hasil dari duit kutipan tol itu lah yang digunakan untuk bayar gaji jurutol. Jadi paling tidak, bersyukurlah dengan ucapan terima kasih.

Tapi itu bukan bermakna user boleh besar kepala bahawa kalau dia orang tak bayar tol maka jurutol tak ada gaji. Sebabnya mereka sudah menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak swasta. Pihak swasta sediakan kemudahan, beli barang bukan dengan daun kering tapi dengan duit. So, kalau dah guna tu, pandai la bayar. Masuk tandas pun kena duit. Lagipun kemudahan lebuhraya ni untuk cepat sampai, jimat masa, jimat minyak. Cuma bayar tol je. Tapi kalau ada tol yang selalu sesak tu, saya no komen la. Mungkin pihak konsesi perlu lakukan sesuatu supaya apa yang user bayar tu berbaloi nilainya.

Kalau nak cerita pasal pengalaman jadi jurutol, sehari semalam pun tak habis. Cuma ini saja yang boleh saya kongsikan. Kini saya tidak lagi bergelar jurutol. Tetapi masih lagi terlibat dalam konsesi lebuhraya di Lembah Klang.

Apa perasaan anda bagi mereka yang memaki hamun dan melemparkan duit kepada jurutol? Berikan komen anda jika anda seorang yang berperikemanusiaan!

14 comments - What do you think?

Facebook Dan Kerja

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Laman sosial paling berpengaruh di Malaysia Facebook seakan menjadi sindrom baru kepada rakyat di negara ini. Nak makan tulis di FB, nak jalan-jalan tulis di FB, nak tidur pun tulis di FB. Menggambarkan Facebook umpama fenomena baru untuk membina hubungan dengan orang lain. Satu perkembangan yang sangat baik sebenarnya kepada yang memanfaatnya sebaik mungkin.

Namun sindrom ini akan bertukar menjadi negatif apabila anda merupakan antara mereka yang ekstrim kerana anda tetap melayari laman Facebook sekalipun bekerja. Dan lebih memburukkan apabila masa yang anda gunakan di laman ini melebihi waktu kerja anda. Sudah pasti kerja banyak tidak disiapkan dengan sempurna. Kualiti kerja anda juga akan merosot kerana anda mula fokus pada laman FB.

Mungkin ramai mengatakan itu terpulang pada individu. Jika dapat mengurusnya dengan baik maka tiada sebab kualiti kerja merosot. Tetapi jika anda buka FB pada waktu kerja anda akan dapati ramai sekali mereka yang online. Jika ianya atas urusan kerja pada saya itu satu perkembangan yang baik. Tetapi jika sebaliknya akan memberikan kesan tidak baik juga pada diri, kerjaya dan organisasi.

10 comments - What do you think?

‘Kabel’ Jejaskan Visi Kerajaan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya tertarik dengan satu tajuk akhbar kelmarin tentang bidang perguruan. Dalam situasi hari ini makin ramai para guru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak tidak mahu melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik di sana. Ramai juga di antara mereka menggunakan ‘kabel’ dalaman atau pengaruh golongan tertentu untuk menukarkan mereka dan memastikan mereka tidak ditugaskan ke sana. Apa pendapat anda?

Sebenarnya saya rasa terpanggil juga kerana dalam hati saya, kerjaya sebagai guru bukan untuk mencari populariti dan nama. Bukan hanya kerana nak dapat cuti yang panjang. Jika anda telah memilih sebagai kerjaya sebagai seorang guru tidak dapat tidak anda perlu fahami bahawa anda membawa tugas besar untuk bangunkan minda masyarakat. Andalah yang akan memberikan ilmu dan pendidikan kepada mereka.

Sebenarnya visi seorang guru ada persamaan juga dengan visi para Rasul di mana anda membangunkan minda anak-anak bangsa dari kejahilan. Bayangkan berapa ramai anak-anak di pedalaman Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan bantuan anda. Bahkan anda terpilih untuk melakukannya. Namun hati saya juga menyuarakan kesedihan jika fenomena ini berterusan maknanya kredibiliti para guru akan datang akan mula dipandang rendah oleh masyarakat.

Kerjaya guru bukan mudah. Saya tidak pelik bahawa setiap orang inginkan keselesaan di tempat kerja. Jika anda ingin bertukar sekalipun, alangkah baiknya ambil pengalaman terlebih dahulu supaya anda lebih matang dalam bidang kerjaya anda.

7 comments - What do you think?

Next Page »

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline