Mencari Keredhaan Allah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Hari ini saya ingin memetik hadis Rasulullah s.a.w sebagai kata-kata motivasi yang amat bermakna untuk kita renungi bersama.
“Harta yang ada di tangan manusia ibarat sebuah peti besi. Dan setiap peti besi itu ada kuncinya. Nyata bahagia bagi setiap manusia yang diberikan kunci untuk melakukan kebajikan dan ditutupi pintu kejahatan. Nyata celaka bagi manusia yang diberikan kunci untuk melakukan kejahatan.”
Begitulah melimpahnya nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Pelbagai nikmat besar yang telah diberikan untuk manusia lebih selesa menikmat kehidupan di dunia walaupun sementara. Namun di sebalik anugerah nikmat ini, Allah SWT juga menunjukkan jalan sebagai pilihan kepada manusia. Jika pilihannya baik maka ia akan mendapat keredhaan Allah, tetapi jika pilihannya tidak baik maka ia akan mendapat kemurkaan Allah.
Apabila mendapat nikmat berupa pangkat dan jawatan, kenaikan gaji, keuntungan dalam perniagaan, syarikat anda mula dikenali, anda juga mula mendapat nama pastinya hati adakalanya berbisik untuk lalai dari amanah Allah SWT. Lantas apabila kelalaian ini mengheret kita jauh dari jalan Allah maka, pangkat kita menurun, peniagaan pula rugi, gaji tidak dinaikkan kita mula menyalahkan orang lain sedangkan hati kita sebenarnya lalai dan leka dengan kehidupan ujian ini. Mudah-mudahan saya dan anda semua sama-sama mendapat pengajaran menarik dari kata-kata motivasi ini.
Betulkan Niat Anda Bekerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mengejar dunia dengan tujuan mengelak daripada meminta-minta dan menjaga dunia anak isterinya daripada memakan harta curi, harta samun dan sebagainya, dan dengan tujuan menjaga hubungan jiran tetangga, dia akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan keadaan wajah yang berseri-seri umpama bulan purnama…”
Setiap hari paling kurang lima kali kita memperbaharui dan mengingatkan niat kita kepada Allah Subhanahu Wataala dalam doa iftitah. Dalam doa ini kita memperingati diri kita bahawa tujuan utama kita di dunia ini adalah untuk Allah Yang Maha Esa.
Dalam bekerja juga kita perlu lakukan tajdid niat agar kita tidak bekerja kerana sesuatu yang tidak baik. Niat kita semasa bekerja harus suci dan bersih bagi mendapat keberkatan dalam setiap gerak geri, idea, tenaga dan masa yang dicurahkan untuk organisasi. Hadis ini antara intisari utamanya menggalakkan kita berusaha untuk memajukan diri sendiri dan elakkan diri dari meminta-minta dari orang lain selagi anda mampu berusaha. Allah tidak suka pada mereka yang mengharap kasihan belas orang lain untuk menikmati kehidupan.
Sukarnya kehidupan hari ini tidaklah sukar sebagaimana zaman Rasulullah. Bahkan zaman penjajahan Jepun ke atas negara kita rasanya jauh lebih ngeri dan sukar untuk dibandingkan. Namun orang-orang tua di zaman itu mampu membesarkan kita tanpa kasihan belas orang lain, di mana pula maruah kita sehingga membiarkan diri kita tidak mahu berusaha langsung.
Perbaiki Kebolehan Diri
“Kejayaan itu sebenarnya adalah berkenaan diri kita sendiri bukan apa yang kita miliki. Mereka yang telah berjaya, bekerja untuk mengetahui apakah kebolehan mereka, kemudian memperbaiki kebolehan mereka dan akhirnya menggunakan kebolehan mereka untuk memberi manfaat kepada orang lain dan diri mereka sendiri.” – Tom Morris
Apa yang anda dapat dari kata-kata motivasi ini? Rupa-rupanya mereka yang sentiasa memperbaiki diri adalah mereka yang mendapat kejayaan yang mereka idamkan selama ini. Mengenali diri secara tidak langsung anda menyedari perlunya rasa kekurangan dalam diri. Lantas dari kekurangan itu anda memulakan perubahan dan menambah baik kemahiran yang tidak dapat dikuasai sepenuh sehinggalah anda mampu menguasainya. Memperbaiki diri akan meletakkan diri anda dalam proses penyempurnaan diri. Walaupun hakikat manusia tidak ada yang sempurna, namun sebagai hamba Allah kita perlu berusaha untuk memastikan diri kita sebaik mungkin berada di atas landasan Allah Subhananu Wataala.
Peluang Akan Sentiasa Wujud
“Ketika satu pintu tertutup, pintu lain terbuka. Namun terkadang kita melihat dan menyesali pintu tertutup tersebut terlalu lama sehingga kita tidak melihat pintu lain yang telah terbuka.” – Alexander Graham Bell
Indah sekali susunan maksudnya. Setiap kali anda menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan masalah, sebenarnya anda boleh keluar dari situ. Cuma kadang-kadang kesusahan dan kesukaran menghalang pemikiran anda untuk mencari penyelesaian masalah. Akhirnya anda terperangkap dalam situasi yang semakin kusut dan membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang terlintas ketika itu.
Percayalah bahawa peluang menyelesaikannya sentiasa terbuka. Apa yang perlu anda lakukan anda cuma memerlukan sedikit kesabaran untuk berfikir di luar kotak pemikiran agar jalan penyelesaiannya lebih baik dan terbuka. Kelemahan kita, mungkin kita tidak perasan sebenarnya masalah kita sudah mampu diselesaikan dengan mudah. Mungkin kerana pengalaman hidup yang beronak duri menjadikan kehidupan lebih sukar untuk difikirkan bagaimana menyelesaikannya. Apabila setiap hari membuat keputusan dalam acuan yang sama sudah semestinya corak pemikiran dan cara menyelesaikan masalah bukan yang terbaik.
Jangan kalah dalam berfikir. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Peluang kedua pasti akan sentiasa ada jika anda terus memikirkannya dan berdoa kepada Allah agar diberikan peluang tersebut. Jangan fikir putus asa jika anda belum mula berfikir untuk menyelesaikan masalah anda.
Mengenali Potensi Diri (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sesuatu yang perlu kita fahami bahawa Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan bakat dan potensi kepada kita. Salah satu caranya potensi yang diberikan secara anugerah.
Ini adalah sesuatu yang merupakan kuasa Allah Yang Maha Berkuasa. Potensi ini tidak memerlukan anda untuk melatihnya setiap hari. Kecenderungan ini telah wujud dalam diri anda sejak anda dilahirkan. Dan anda tahu kecenderungan ini berada di dalam diri anda. Pernah anda lihat seorang yang buta tetapi dapat melukis dengan menggunakan mulut? Atau mungkin seorang kanak-kanak kecil berusia 5 tahun tetapi sudah pandai berceramah sehinggakan orang lain mula memujanya? Inilah yang saya maksudkan sebagai potensi yang tidak perlu anda latih lagi. Bersyukurlah bahawa Allah menganugerahkannya kepada anda. Potensi diri yang hanya diperolehi oleh anda.
Cuba anda lihat video ini dan anda akan lebih memahami,
Lihat sendiri bagaimana setiap kata-kata motivasi dan kekurangan dirinya. Tetapi potensi dirinya ini adalah anugerah. Tidak ramai orang biasa mampu melakukan seperti itu.
Rahsia Kejayaan
“Rahsia kejayaan adalah ketekalan matlamat.” – Benjamin Disraeli

Mungkin dari kata-kata motivasi ini membuatkan anda masih teringatkan pepatah melayu juga yang berbunyi ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Tiada kejayaan yang tidak boleh dicapai jika anda benar-benar mahukannya. Bagaimanakah caranya bukanlah alasan yang perlu dijadikan penghalang untuk menuju ke pintu masuk alam kejayaan.
Apa yang perlu diingati selalu ialah matlamat kepada apa yang anda ingin capai. Bukan mudah untuk terus anda berada di atas matlamat itu. Matlamat menunjukkan anda seorang yang fokus. Matlamat juga menunjukkan anda seorang yang tidak berputus asa.
Kejayaan memerlukan matlamat kerana matlamat adalah kuncinya. Tanpa matlamat tidak akan ada usaha. Tanpa matlamat tidak akan wujud cabaran. Semuanya bersangkut paut kepada matlamat anda. Sesuai sekali kita sama-sama mengingati soal matlamat memandangkan kita sudah berada di ambang 2009 yang akan kita tinggalkan tidak lama lagi. Menuju ke tahun 2010 sudah pasti matlamat perlu diperkemaskan lagi, usaha perlu digandakan lagi dan cabaran perlu lebih banyak ditempuhi.
Mengenali Potensi Diri
“Sesiapa yang mempunyai kebolehan akan berjumpa landasan yang tepat.” – Charles Cahier

Hebatnya mereka yang mempunyai kelebihan. Begitulah momentum seorang yang mempunyai kelebihan dalam diri mereka. Mengetahui potensi diri akan meletakkan anda di laluan yang betul untuk anda mencapai apa yang anda inginkan. Anda tahu bagaimana menggunakan segala kelebihan diri untuk mencapai apa yang anda inginkan. Nampak mudah bukan?
Mudah jika anda tahu bagaimana menggunakan potensi anda. Selalu yang berlaku anda tidak kenal diri anda. Anda gagal menyelami bakat diri anda.
Potensi diri amat penting untuk membantu anda merealisasikan impian anda. Skop potensi diri tidak hanya terikat kepada kemahiran-kemahiran fizikal yang tertentu sahaja. Umumnya segala yang positif tentang diri anda sebenarnya dalah potensi yang Allah anugerahkan kepada anda. Skill luaran semata-mata tidak akan membawa erti jika anda seorang yang tidak konsisten dan bermatlamat. Begitu juga jika anda seorang yang berbakat dalam penulisan juga belum tentu menyerlahkan siapa diri anda jika anda tidak mempunyai kesabaran. Potensi perlu menggabungkan kesemua sesuatu yang positif dalam diri anda. Itulah nilai potensi diri anda sebenar.
