8 Tanda-Tanda Anda Seronok Bekerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bagaimana dengan kerja anda hari ni? Adakah anda seronok dan menikmatinya? Mari kita sama-sama lihat tanda-tanda yang menunjukkan anda enjoy dengan kerja anda.
1. Datang awal ke tempat kerja
Anda tidak kisah untuk datang awal ke tempat kerja. Bahkan anda sememangnya menantikan esok hari dengan bersemangat untuk melakukan kerja-kerja yang baru. Anda tiba awal di tempat kerja dan tidak kisah untuk menunggu pejabat dibuka. Ini memang jelas anda memang seronok bekerja.
2. Tidak kisah kerja lebih masa
Bukan mudah untuk kita bekerja lebih masa. Sekalipun dibayar tetapi rasa berat hati tetap ada. Tetapi berbeza bagi mereka yang seronok bekerja. Kerja lebih masa ibarat kerja baru sahaja bermula.
3. Air muka berseri-seri
Memang sangat jelas tentang ini. Jika anda terlalu seronok dengan kerja anda sekarang, setiap kali anda ke tempat kerja air muka anda menampakkan keceriaan dan tersenyum. Kalau air muka anda asyik mencuka, itu tanda awal anda perlu bertukar kerjaya yang anda sukai.
4. Kerja disiapkan segera
Inilah kehebatan bekerja dengan rasa seronok. Kerja disiapkan tanpa disedari. Dan yang paling bagusnya anda menyiapkan kerja sebelum ‘due date’ yang sepatutnya. Anda asyik dengan kerja anda sehinggakan anda telahpun menyiapkannya. Anda sudah bersedia untuk kerja yang baru.
5. Anda bangga menceritakan tentang kerja anda
Bukan senang nak capai tahap ni. Memang begitulah selayaknya. Anda tidak kisah andai di mata orang lain mungkin kerja yang anda lakukan itu tidak hebat. Yang penting setiap kali ditanya anda akan menceritakan kelebihan-kelebihan tempat kerja anda pada orang lain. Anda bangga untuk menuturkan pada orang lain di mana dan apa kerja anda lakukan.
6. Personaliti kemas
Anda seronok bekerja. Jadi anda akan menunjukkan penampilan terbaik untuk diri anda. Pakaian anda menonjolkan siapa anda. Anda memberikan penampilan terbaik sebagai siapa diri anda sebenarnya. Anda selesa berpakaian kemas setiap masa supaya orang lain kenal siapa anda.
7. Anda akan membantu menyiapkan kerja orang lain
Saya rasa ini adalah jarang-jarang yang dilakukan oleh pekerja. Bagaimana anda nak membantu orang lain jika kerja anda sendiri masih belum siap. Namun bagi mereka yang seronok bekerja, bukan sahaja dia mampu menyiapkan kerja sebelum waktunya, tetapi sanggup menawarkan tangan untuk membantu menyiapkan kerja orang lain.
8. Mendapat gelaran workaholic
Mungkin sebahagian dari rakan-rakan anda akan menggelarkan anda dengan gelaran ini. Tetapi jangan risau. Mereka mungkin tidak dapat menghayati keseronokkan kerja seperti anda. Ingat selama mana anda tidak termasuk dalam tanda-tanda menjadi workaholic anda masih boleh enjoy dengan kerja anda.
Bolehkah Bekerja Tanpa Motivasi?
Saya menulis kebanyakkannya adalah berkaitan dengan motivasi kerjaya. Adakah perkara-perkara yang menyuntik motivasi ini sangat diperlukan dalam kerjaya? Atau mungkin memadai anda menjawap, “Ala..saya memang dah bermotivasi tinggi. Tak perlu lagi sesuatu yang dapat membangkitkan motivasi saya.”
Tapi bolehkah anda bekerja tanpa motivasi? Jika saya jawapnya tentulah boleh. Tapi akan banyak kekurangan yang akan bersama anda. Anda mungkin bekerja, tetapi kerja yang anda laksanakan hasilnya tidak sebaik orang yang bermotivasi. Anda mungkin bekerja tetapi anda hilang rasa keseronokkan bekerja. Bekerja semata-mata kerana memerlukan gaji. Anda akan hilang semangat. Langkah anda ke tempat kerja akan longlai. Wajah anda akan berkerut memikirkan untuk melihat wajah bos anda yang selalu memarahi anda.
Apa yang terlintas di fikiran anda, anda ingin menjauhkan diri dari tempat kerja. Kalau boleh ingin terus berhenti dan mencari kerja lain. Teguran yang sedikit pun akan dianggap besar impaknya pada anda. Perasaan tidak puas hati akan terus bersarang di hati anda. Betul atau tidak? Tanyalah hati anda!
Itulah perbezaan ketara bekerja dalam keadaan bermotivasi dan sebaliknya. Produktiviti pekerja akan menurun kualiti dan kuantitinya. Dan perkhidmatan yang dihasilkan pula memberikan peratusan yang berbeza. Persoalan yang sering timbul ialah bagaimana untuk terus menjadi pekerja yang bermotivasi? Sebagaimana yang disebut oleh Matthew Stasior “You must motivate yourself Everyday?”
Insya Allah saya akan jawap persoalan ini.
8 Tips Berjaya Dan Bahagia
Untuk kebanyakan manusia, agak sukar untuk mendapat kejayaan dan kebahagiaan sekaligus. Ada orang bahagia sekalipun mungkin kehidupannya sederhana, dan ada orang berjaya dalam hidup dari sudut karier tapi tidak bahagia. Tetapi tak mustahil untuk dapatkan kedua-duanya sekali. Mungkin sedikit pengorbanan yang ikhlas akan membuahkan kejayaan dan kebahagiaan yang indah untuk anda.
Tip 1: Mula kembali
Andai berusaha tetapi tidak berjaya, jangan berhenti di situ. Mula kembali. Kalau orang Barat cakap “When things are not going right or you get knocked down, bounce right back again.” Selidik punca kegagalan. Dan kemudiannya mulakan langkah baru. Lekuk yang berlaku kerana disebabkan air, bukanĀ kerana setitik air yang meniti itu terus membentuk lekukan tersebut. Malahan titisan tersebut jatuh berulang dan berulang sehingga membentuk lekuk tersebut. Anda juga boleh!
Tip 2: Komitmen 100%
Bagaikan tidak ada rasanya dalam kisah kejayaan mereka yang berusaha dan berkomitmen 60% tetapi mendapat hasil 100%. Mustahil melainkan tuah yang Allah SWT berikan. Bermakna nak berjaya dan bahagia anda perlu setiap hari memberikan komitmen kepada misi dan visi hidup anda. Berikan sepenuh tumpuan untuk mencapai apa yang anda inginkan. Bukan melepaskan batuk di tangga atau hangat-hangat tahi ayam. Tetapi buat betul-betul.
Tip 3: Cari penyelesaian bukan alasan
Semestinya dalam karier dan kehidupan akan hadapi banyak sekali cabaran dan masalah. Tetapi kita kadang-kadang terkeliru adakah apa yang kita lakukan itu adalah jalan penyelesaian atau alasan yang akan memburukkan lagi keadaan tersebut. Orang yang dilanda masalah dengan negatif akan mencari alasan. Dan orang yang menghadapi masalah dengan positif akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin walau apa pun caranya.
Tip 4: Bina hubungan dengan orang lain
Nak berjaya dalam karier memang kena banyak kenalan. Lagi ramai lagi bagus. Bak kata pepatah Melayu “Berkawan biar seribu”. Tak kiralah apa jua pekerjaan yang anda ceburi. Part-time atau profesional semuanya memerlukan ramai hubungan untuk berjaya. Begitulah juga jika ingin bahagia. Bina hubungan dengan orang lain sekurang-kurangnya kita dapat mempelajari kehidupan orang lain untuk memperbaiki perhubungan dalam keluarga kita. Ataupun jika kita dilanda masalah kita mempunyai ramai sahabat untuk kita minta doakan kita agar berjaya dan bahagia.
Tip 5: Jaga diri anda
Paling penting sebelum kita jaga orang lain, jaga diri sendiri. Jaga diri anda melalui tiga cara: kesihatan anda, perhubungan anda dengan orang lain dan kerjaya anda. Hilang imbangan ketiga-tiga perkara ini akan memberikan anda tekanan-tekanan yang lain pula. Jangan lupa jaga DIRI ANDA! Apabila kesihatan terganggu anda akan tidak dapat melakukan kerja dan juga tidak dapat membina hubungan dengan orang lain. Begitulah apabila anda hilang kerjaya, sudah pasti tidak ada sesiapa yang ingin membina hubungan dengan anda.
Tip 6: Keluarlah dari kegelapan
Wah! Keluar dari kegelapan bermakna anda mencari cahaya bukan? Memang benar. Nak berjaya, nak bahagia jangan terlalu terikat dengan pemikiran yang lama. Cubalah sesuatu yang baru, lebih kreatif dan dapat meransang diri untuk terus membina kejayaan diri, keluarga dan kerjaya.
Tip 7: Jadilah tangan yang di atas
Jadilah insan pemurah. Mereka yang pemurah akan diberkati Allah. Allah SWT akan mempermudahkan urusannya kerana banyak membantu orang lain dan manusia pula akan terus mendoakannya agar berada dalam kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bayangkan bila semua orang doakan kita. Perasaan tenang dan bahagia mula hadir dalam diri kita.
Menjadi insan pemurah bukan mengharapkan anda memberi derma beribu-ribu baru dianggap pemurah. Memadailah anda seorang yang suka membantu orang lain.
Tip 8: Cari di mana keseronokkan bekerja
Andai sudah hilang rasa seronok untuk bekerja sekarang, jangan terus dalam keadaan demikian. Pastikan apa yang anda perlukan untuk mengembalikan susasana keseronokkan tersebut. Jika anda memerlukan cabaran yang baru, suasana baru dan rakan kerja yang baru tiada salahnya jika itu semua menuntut anda untuk berhijrah ke tempat kerja yang baru.
