Memerintah Hanya 852 Hari
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz begitu masyhur kerana cara kepimpinan beliau yang begitu memberikan kesan dan telah berjaya membina anjakan paradigma baru. Memerintah hanya selama 852 hari sebagai Khalifah ke6 Bani Umayyah sudah pasti menjadi lagenda dalam dunia Islam. Cucu kepada Umar Bin Al-Khattab ini mewarisi sedikit sebanyak sifat-sifat keperibadian dan kepimpinan Umar. Yang paling nampak ialah cara beliau yang begitu berhati-hati dalam penjagaan harta yang melibatkan harta rakyat.
Ketelitian Umar Abdul Aziz dalam menjaga harta negara begitu disanjung tinggi oleh masyarakat ketika beliau menjadi Gabenor Madinah. Segala barang kemas isterinya dimasukkan ke Baitulmal. Perbelanjaan negara juga diuruskan dengan jimat cermat. Beliau sendiri memecatpegawai-pegawai yang boros. Perbelanjaan untuk jamuan-jamuan negara juga tidak dibenarkan menggunakan duit kerajaan.
Umar dilantik menjadi khalifah apabila sepupunya Khalifah Sulaiman meninggal dunia. Atas wasiat Sulaiman, Umar memegang tampuk pemerintahan Bani Umayyah. Antara perubahan yang dilakukan oleh beliau sewaktu memerintah Bani Umayyah:
- Menghapuskan cacian dan penghinaan kepada Saidina Ali Bin Abi Talib di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan potongan-potongan ayat Al-Quran.
- Merampas dan mengembalikan harta-harta khalifah yang disalahguna ke Baitulmal.
- Memecat pegawai-pegawai yang tidak bertanggungjawab, penyalahgunaan kuasa dan pegawai yang dilantik atas nama kroni keluarga khalifah.
- Menghapuskan sistem pegawai-pegawai peribadi khalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Sulaiman untuk lebih memudahkan beliau berurusan dan mendengar aduan daripada rakyat.
Antara pendekatan-pendekatan lain yang dilakukan oleh Umar kepada rakyat dalam pemerintahannya:
- Memberikan penghayatan agama kepada rakyat yang lalai dengan kemewahan.
- Memerintahkan rakyat supaya solat berjemaah dan menjadikan masjid-masjid sebagai kuliah untuk mempelajari ilmu-ilmu dan hukum-hukum Allah.
- Menterjemahkan buku-buku kedoktoran dari Bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab.
- Menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai
- Menghapuskan bayaran jizyah (bayaran yang dikenakan kepada orang kafir yang hidup di negara Islam) dengan harapan mereka mula mencintai Islam.
- Menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara untuk menyampaikan dakwah.
