Berhati-Hati Ketika Anda Makan (1)
Salam sejahtera buat anda semua.
Kenapa perlu berhati-hati ketika makan? Banyak rahsia yang menggambarkan siapa anda hanya dengan melihat bagaimana anda makan. Anda perasan tak apa yang orang tua lihat bila nak meminang anak dara? Antara yang dilihat ialah bagaimana anda makan dan kelakuan anda ketika makan. Hari ini saya kongsikan sedikit.
Makan jangan bersepah
Pernah tengok orang makan seperti ini? Selalu kita tengok yang makan bersepah ni adalah budak-budak. Tetapi orang dewasa pun ada yang makan seumpama ni. Makan bersepah dengan erti kata, makanan tertumpah, nasi bertaburan, susunan dalam pinggan yang tidak teratur.
Dan jika anda ada kawan-kawan seumpama ini cuba anda lihat bagaimana peribadi mereka? Selalunya orang yang makan bersepah ini kehidupan mereka juga tidak teratur. Masanya tidak teratur, kerjayanya kucar-kacir dan personaliti diri juga mungkin kabur dan keliru. Jika melakukan kerjanya pasti tidak sempurna, tidak ikut dateline, kualiti kerjanya juga pasti tidak cermat.
Jadi langkah yang boleh anda nasihatkan, minta rakan anda mulakan cara makan dengan teratur.Jika dia dapat ubah cara makannya, cuba pantau juga apa yang berlaku dalam kerjayanya, pelajarannya, dan juga kehidupan sehariannya.
Tip-Tip Pengurusan Diri (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Jika anda bimbang pada tugasan yang akan datang, lakukan tugasan anda sekarang supaya tiada gangguan.
Tip ringkas untuk anda yang bekerja. Selalunya kita risau dengan situasi kerja yang sememangnya menuntut tugasan yang banyak dan komitmen yang tinggi sehingga tidak dapat menstruktur masa dan kualiti kerja dengan baik. Tetapi tidak semua pekerja melaksanakan tugasan yang sedia ada sehingga siap. Mereka lebih rela memikirkan bebanan kerja yang menimbun tanpa berusaha untuk menyiapkannya. Rungutan dan mengomel setiap hari pastinya tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap kerja anda.
Lantas mengurus diri paling utama ialah apa yang perlu anda lakukan untuk menyiapkan tugasan kerja anda hari ini sebelum anda menerima tugasan baru pada esok hari. Elakkan dari terus menyalahkan organisasi yang memberikan tugasan jika anda tidak berjaya menguruskan diri dalam menyiapkan kerja yang diminta.
Bina diri anda yang sebenar sekarang. Utamakan kerja yang penting supaya anda lebih bersedia untuk menghadapi kerja yang baru. Jika tugasan penting anda tangguhkan pastinya esok akan menjadikan ruang kerjaya makin sempit hanya kerana tertekan dengan bebanan kerja, sedangkan pengurusan diri adalah masalah utama anda.
Kepuasan Kerja (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bila menulis sesuatu yang berkait dengan kepuasan kerja pastinya ia terpulang pada objektif individu dalam bekerja. Ada orang puas hati bekerja bila mendapat gaji yang tinggi, ada sebahagiannya pula rasa puas apabila diberikan penghargaan dalam kerja yang dilaksanakan dan pelbagai lagi kepuasan yang diterima.
Pada pandangan peribadi saya, gaji juga perlu sebagai hak kita sebagai pekerja. Tetapi sampai satu masa apabila anda sudah mendapat gaji yang berbaloi tetapi mengapa masih tidak ada kepuasan dalam bekerja? Apa yang anda inginkan lagi? Saya bekerja hampir empat tahun. Pada saya sekarang gaji dan elaun bukan lagi persoalan besar bagi saya. Namun dalam kualiti kerja, saya masih tidak berpuas hati. Mengapa?
Percayalah di samping upah kerja yang menjadi hak anda dalam bekerja, dalam bekerja kita mendambakan pembaharuan dalam kerjaya yang kita ceburi. Pembaharuan gaya kerja akan memberikan semangat dan motivasi kerja yang anda inginkan. Pembaharuan yang saya ingin sebutkan di sini melibatkan anjakan paradigma keseluruhan. Anda mungkin pernah mendengar ‘rebranding’. Pembaharuan adalah rebranding yang akan menaiktaraf segala sudut bidang kerja anda. Inilah yang akan memberikan kepuasan dalam bekerja.
Bayangkan anda bekerja di sesebuah organisasi selama 10 tahun, tetapi potensi anda hanya berkembang 20%. Kecekapan anda, kemahiran, idea-idea baru juga masih di takuk lama pastinya anda tidak akan teruja untuk ke pejabat melakukan tugas-tugas anda. Jadi binalah kerjaya yang mampu memberikan kepuasan kepada anda pada tahap yang maksima. Jangan biarkan potensi diri anda berkembang pada tahap yang rendah!
Cuti Rehatkan Minda
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Cuti sekolah dah bermula untuk satu sesi yang panjang. Bila teringatkan cuti sekolah saya pun terfikir juga. Kerja juga perlukan cuti. Sudah berapa kali anda bercuti pada tahun ini? Selalunya kita panggil cuti rehat. Bagi kakitangan sektor kerajaan selalunya ada sedikit perbezaan cuti bagi pegawai, kakitangan sokongan dan kumpulan pengurusan tertinggi. Mengapa begitu?
Manusia umpama mesin yang bekerja. Jika selalu bekerja tanpa penyelenggaraan diri yang sempurna maka manusia akan mengalami masalah. Tiada bezanya dengan mesin atau jentera sebenar. Tenaga fizikal jika digunakan berterusan sudah pasti kuasanya akan berkurangan. Dalam konteks kerja pula bekerja berterusan seperti workaholic juga akan menyebabkan tahap kualiti menurun. Kualiti menurun bukan kerana sesuatu yang negatif. Sebaliknya kerana anda perlu memahami keupayaan kita sebagai makhluk ada tahap-tahap tertentu mengikut keupayaan diri masing-masing.
Jadi ada masanya anda perlukan rehat untuk cas kembali tenaga-tenaga ini. Andai sudah lama tidak bercuti, tidak salah anda berbuat demikian sekarang. Cuti akan memberikan kesegaran kepada anda untuk mendapatkan input-input luar yang baru dan ‘fresh’. Cuti akan mengurangkan sedikit tekanan kerja yang berlegar dalam fikiran anda. Lupakan sejenak tentang kerja. Manjakan diri anda dengan bercuti bersama keluarga, atau mungkin memadai berehat di rumah sahaja. Itu semua terpulang pada pilihan hati anda. Apa yang mustahak anda juga perlu fikir soal cuti di saat kualiti kerja anda mula menurun, produktiviti menurun, kecekapan anda menurun dan kerja anda mula tidak dapat disiapkan mengikut perancangan.
Ingat! bercuti memang bagus. Tapi sebelum bercuti pastikan anda selesaikan tugasan anda sebaik mungkin supaya di waktu cuti anda tidak ada masalah dan juga gangguan berlaku pada anda. Maka anda dapat bercuti dengan tenang dan menghayati percutian anda sebaik mungkin.
Konsep Kualiti Dalam Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Hari ini kita sama-sama memahami apa konsep kualiti kerja. Kualiti ialah:
- Memenuhi keperluan pelanggan setiap masa
- Menghalang kecacatan daripada berlaku
- Melakukan sesuatu dengan betul pada kali pertama
- Memberi tumpuan kepada penglibatan menyeluruh pekerja
- Didorong oleh pelanggan (pelanggan dalaman dan luaran)
- Menggalakkan kerja berpasukan
- Mengamalkan komunikasi terbuka dan jujur
- Memimpin melalui
- Membuat keputusan berdasarkan fakta
- Kemajuan berterusan atau sasaran bergerak
Kualiti bukan:
- Memenuhi keperluan teknikal
- Mengancam atau membetulkan kesilapan
- Bertoleran terhadap kesilapan
- Memberi tumpuan kepada Jabatan Kawalan Kualiti atau pekerja barisan hadapan
- Didiorong oleh proses
- Memberi tumpuan kepada usaha individu
- Menyorokkan masalah
- Menugaskan para subordinat
- Membuat keputusan berasaskan khabar angin atau gerak hati
- Suatu tahap prestasi yang terbaik atau sasaran



