Posts tagged "labour room"

Kerjaya Sebagai Jururawat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pada fikiran saya antara kerjaya yang memerlukan kecekapan dan kesabaran yang tinggi adalah kerjaya sebagai jururawat. Jika anda pernah terlantar sakit di hospital kerajaan anda berpeluang bertemu jururawat-jururawat muda yang akan membantu dan menguruskan anda ketika terlantar sakit di hospital. Bila melihatkan jururawat pelatih yang muda-muda, pastinya anda tertarik dan rasa ingin tinggal lebih lama di hospital. Itulah pendapat salah seorang sahabat saya yang pernah terlantar di hospital.

Sekali imbas nampak mudah kerja sebagai jururawat. Namun hakikatnya tidak semudah itu. Kerja mengikut shif, komitmen yang tinggi dan kesabaran yang tinggi adalah tonggak utama bagi anda yang ingin menjadi jururawat. Pengalaman ketika isteri bersalin baru-baru ini, saya bersama dua jururawat di dalam labour room rasanya saya mula memahami tugas berat yang mereka hadapi. Berusaha menyelamatkan nyawa orang lain adalah amat mulia di sisi Allah. Setiap masa saya melihat jururawat sentiasa memberikan kata-kata semangat dan selawat kepada ibu yang sedang bersalin. Dalam masa yang sama mereka perlu menguruskan pesakit-pesakit di wad dan menghadapi kerenah dan memberikan rawatan kepada mereka.

Oleh kerana itu saya melihat jika anda tidak mempunyai kesabaran dan keikhlasan yang tinggi jangan mengambil risiko untuk bekerja sebagai jururawat. Antara tugas-tugas jururawat adalah sebagaimana berikut:

Tugas-tugas Jururawat Kesihatan

Perawatan Kesihatan Keluarga

  • Perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak.Perkhidmatan lawatan ke rumah.
  • Perkhidmatan kesihatan di sekolah.
  • Perkhidmatan perancang keluarga.
  • Pendidikan kesihatan.

Latihan

  • Membantu dalam mengajar pelbagai kategori pelatih separa perubatan semasa latihan mereka.

Menyelia

  • Menyelia pekerja-pekerja ‘Auxilliary’ dan kakitangan kesihatan lain dalam kawasan operasi.
  • Menyelia bidan kampung dan bidan swasta berdaftar.

Pentadbiran

  • Mentadbir klinik.
  • Merancang dan menjalankan lawatan ke rumah.
  • Menyimpan rekod-rekod dan reten perkhidmatan kesihatan keluarga di dalam kawasan operasi.
  • Membantu dalam penilaian kakitangan bawahan.

Tugas-tugas Jururawat di Hospital

Penjagaan Pesakit

  • Mengurus dan melayan makan minum pesakit.
  • Mengurus dan menjaga kebersihan pesakit.
  • Penjagaan dan merawat ibu selepas bersalin.
  • Penjagaan dan merawat bayi selepas kelahiran.

Membantu Doktor dalam menjalankan tugas-tugas perawatan.

Menyelia Penolong Jururawat, Bidan dan kakitangan bawahan.

Membantu Ketua Jururawat dalam pentadbiran wad dan penilaian pelatih-pelatih.

Rawatan-rawatan lain mengikut arahan

86 comments - What do you think?

Tercabarnya Kewibawaan Seorang Motivator

Assalalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bukan mudah bergelar seorang motivator. Seorang pakar motivasi mungkin lebih senang untuk memotivasikan orang lain. Tetapi bukan mudah untuk memotivasikan diri sendiri. Terutama dalam situasi yang melibatkan pengalaman pertama yang perlu dihadapi. Alhamdulillah berkat kesabaran dan pertolongan Allah SWT, saya menerima kehadiran insan baru yang menjadi tanda cinta kami. Seorang bayi perempuan selamat dilahirkan pada 16 Mac 2010 bersamaan 30 Rabiul Awal 1431H pada jam 11.30 pagi. Kami namakan sebagai Nur Irdhina.

Rasa bersyukur sangat kerana ketika isteri saya bersalin, saya berpeluang masuk ke labour room. Di sinilah kemuncak seorang suami dan bakal bapa memberikan motivasi kepada isteri dan juga bakal ibu. Melihat sendiri keadaan genting antara hidup dan mati seorang ibu berjuang untuk kelahiran insan baru. Terus terang saya katakan, bukan mudah melahirkan manusia. Kepada anda yang pernah melihat sendiri, rasanya memang layak Allah SWT menurunkan perintah supaya anak tidak boleh berkata ‘ah’ kepada seorang ibu. Perit melahirkan seorang anak.

Saya melihat sendiri perit wajah, air mata yang berjujuran kerana menahan kesakitan. Seorang motivator seperti saya juga tidak mampu melihat situasi seperti ini. Berada di labour room, saya mula berada di sisi isteri tercinta. Melihat kerutan wajah yang menahan kesakitan apa yang perlu anda lakukan? Itulah juga persoalan yang saya tanyakan pada diri saya sendiri sebelum masuk ke labour room. Dan inilah yang saya lakukan:

  1. Genggamlah tangannya kerana genggaman seorang suami ketika itu adalah kuasa tambahan pada isteri anda.
  2. Selawat banyak-banyak dan niat agar Allah bantu ringankan kesakitannya. Tidak henti-henti saya doakan pada isteri. Selawat dan doa bergilir dibacakan di telinga isteri.
  3. Bukan mudah untuk seorang bakal ibu yang sudah lemah untuk menerang bayi keluar, anda perlu tenangkan isteri. Proses ini sememangnya perlukan ketenangan. Dari pemerhatian saya ibu yang tiada pengalaman agak sukar untuk menerang bayi kerana mereka tergesa-gesa untuk push bayi keluar. Semakin panik nafas semakin pendek, proses ini semakin sukar bila nafas pendek.
  4. Kata-kata motivasi anda ketika ini amat mujarab. Sepatah dua kata-kata sudah memadai untuk berikan semangat pada isteri.
  5. Jangan berikan tekanan. Tertekan akan menyebabkan ibu sukar untuk push bayi.
  6. Tiada kegembiraan yang dapat diceritakan melainkan airmata yang mampu menceritakan ketika melihat bayi anda selamat dilahirkan. Begitulah juga isteri anda (Saya berharap Allah sentiasa beri saya peluang ini)
  7. Azan atau iqamah selepas selamat dilahirkan.

Pengalaman berharga ini saya kongsikan bersama anda yang merupakan sahabat saya di blog ini. Anak dan pengorbanan isteri adalah aspirasi yang perlu anda bawa bersama untuk terus berusaha menjadi ayah yang terbaik.

10 comments - What do you think?

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline