Rasulullah s.a.w Tidak Memilih Kerja
Junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w amat kita sanjungi baik dari sudut akhlaknya, zuhudnya, imannya dan pelbagai aspek kehidupannya yang sememangnya mulia. Satu aspek dari sudut kerjaya yang dapat kita ambil dari baginda, baginda tidak memilih dalam bekerja.
Kita tahu bahawa di awal usia baginda, Rasulullah s.a.w mula mengenal alam pekerjaan dengan hanya bekerja sebagai pengembala kambing. Sememangnya bekerja mengembala kambing hanyalah mendapat upah yang sedikit. Sekadar cukup untuk diri sendiri. Namun apa jua kerja yang diceburi, sebenarnya apa yang mahal adalah pengalaman kerja. Terlalu memilih kerja akan menghilangkan peluang anda untuk mengutip pengalaman-pengalaman berharga dalam profesion. Bayangkan mengurus haiwan seperti kambing sebenarnya memberikan hikmah bahawa mengenali kesusahan dan juga mengenali erti sara hidup.
Rasulullah berjaya dalam hidupnya sebagai seorang yang pakar dalam perniagaan. Walaupun awalnya hanya membantu Abu Talib dalam perniagaannya, namun berkat kesabaran dan kejujuran baginda telah ditawarkan Siti Khadijah untuk menguruskan perniagaannya pula. Bukan mudah mendapat kepercayaan dalam mengurus perniagaan. Lebih-lebih lagi dari seorang yang telah diiktiraf seperti Siti Khadijah.
Moral dari sejarah kehidupan Rasulullah sangat besar. Baginda mengajar kita memulakan sesuatu perkara biarlah bermula dari bawah. Jangan terburu-buru menggapai jawatan yang tinggi. Ijazah dan master belum cukup untuk menjadikan kita seorang pekerja yang baik. Terjun dalam arena sebagai seorang pekerja memerlukan banyak kemahiran yang tidak dipelajari secara formal di dalam kuliah.
Dan apa yang paling penting jangan rasa rendah diri jika sekarang anda hanya memegang jawatan yang rendah dengan gaji yang rendah. Jadilah seperti Rasulullah yang tidak terburu-buru untuk berjaya.












