Produktiviti Seorang Penjawat Awam
Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 03-05-2010
8
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Kerja selalunya dikaitkan dengan produktiviti. Produktiviti pula akan dikaitkan dengan kualiti. Skop kerja sebagai penjawat awam, bagaimanakah mengeluarkan produktiviti berkualiti? Apabila anda bekerja di sektor perkhidmatan awam sudah pasti produktiviti adalah berdasarkan hebatnya perkhidmatan yang diberikan. Cepat dan telus. Tetapi apa yang menjadi persoalan bagaimana perkhidmatan awam boleh meningkat jika birokrasi juga meningkat?
Saya banyak mendapat pengalaman dari orang awam, bahkan juga rakan taulan tentang pengalaman mereka ketika ke jabatan-jabatan kerajaan. Ada yang tiba di jabatan X (sebagai contoh) terpaksa turun naik lif hanya kerana nak selesaikan urusan mereka. Dan paling memeningkan bila pekerja yang lain tidak memberikan maklumat jelas tentang bagaimana untuk selesaikan masalah yang dihadapi. Turun naik lif yang tinggi, tapi urusan masih tak selesai.
Pernah juga seorang tua dari kampung naik bas dua jam ke satu jabatan untuk urusan tertentu. Apabila sampai kakitangan jabatan tersebut asyik suruh tunggu sahaja. Akhirnya berakhir waktu pejabat makcik ini masih lagi menunggu. Bayangkanlah seorang tua yang tidak tahu apa-apa tidak pula dilayan sebaik mungkin pastinya akan memberikan tanggapan buruk orang kepada sektor perkhidmatan awam.
Saya juga memahami setiap urusan akan melalui proses-proses tertentu sebagaimana dalam piagam pelanggan. Namun tidak semuanya dipatuhi sebaik mungkin. Birokrasi sedikit sebanyak melambatkan proses dalam pengurusan. Bayangkan jika anda berada di tempat makcik tua tadi. Bagaimana perasaan anda? Dalam akhbar Berita Harian semalam 2 Mei 2010, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa kumpulan sokongan akan diubah nama kepada kumpulan pelaksana, sebagai cara bertindak lebih kreatif dan inovatif. Seharusnya juga perubahan mind setting turut berubah. Jika tidak perubahan hanya dari sudut nama tapi kualiti pengurusan masih di tahap sama.




