Posting Ke-100 Motivasi-Kerja

Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri, Umum | Posted on 13-12-2009

10

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

entry 100Pertamanya saya merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana Dia memberikan saya ruang untuk saya menulis di blog Motivasi Kerja ini. Saya menulis hari adalah untuk menggambarkan perasaan gembira saya kerana ini adalah satu pencapaian pada diri saya. Tetapi bukan saya nak menunjuk-nunjuk kepada anda semua.

Perjalanan sebagai penulis blog bukan sesuatu yang mudah pada saya. Mudah jika hanya ingin menulis tanpa berfikir. Mudah jika kita menulis sesuatu hanya kita boleh berbicara tentang itu. Namun jika anda menulis untuk memenuhi sesuatu yang diingini orang lain pasti anda juga perlu berfikir dan berfikir. Blog ini menjadi inspirasi hati saya. Biarlah hari ini saya berkongsi sedikit sebanyak tentang pengalaman saya menulis di sini.

Sahabat, setiap hari saya berfikir untuk menulis di sini. Berfikir untuk suatu kelainan yang dapat saya kongsikan pada sahabat semua. Saya suka berdakwah dan memberikan motivasi diri melalui cara ini. Saya menulis dan sahabat membacanya. Suatu perasaan yang sukar saya gambarkan apabila anda membaca dan berkongsi idea di sini. Teruslah menyokong saya jika ada sesuatu yang baik saya kongsikan. Tegurlah saya jika ada kesalahan dalam penulisan saya. Itu adalah lumrah sebagai manusia.

Menulis memerlukan perasaan. Satu konsep yang saya percaya jika sahabat memberi dengan penuh penghayatan dan perasaan maka dengan izin Allah jua anda dapat merasai apa yang saya tulis ini bukan hanya sekadar tulisan. Terima kasih saya buat sahabat semua yang sudi ziarah ke sini, terima kasih juga kepada sahabat yang menyumbangkan kritikan membina dan idea berharga untuk saya menulis sesuatu yang sahabat inginkan.

Mungkin ramai ingin tahu mengapa saya menulis dan menggunakan niche motivasi kerja? Banyak sebab sebenarnya.

  • Saya bekerja sebagai motivator yang banyak terlibat dalam memberikan program-program motivasi Islam untuk staf di kementerian, syarikat, swasta dan organisasi-organisasi yang lain. Niche ini lebih dekat dengan diri saya dan saya mula memahami situasi ini.
  • Ramai di luar sana akan mencari pekerjaan dan akan bekerja. Jadi alam pekerjaan adalah baru bagi mereka yang bekerja. Banyak info yang mereka perlukan untuk membantu mereka.
  • Masa yang paling banyak anda habiskan di hidup ini adalah kerja. Kalau sekarang pencen di usia 58 tahun. Tempoh bekerja telah mengambil sebahagian dari tempoh hidup anda. Sudah tentu kerja perlukan motivasi.
  • Alam pekerjaan mempengaruhi kehidupan kita semua, makan minum, ibadah dalam kerja, motivasi diri dan juga kepimpinan dan kemahiran adalah sebahagiaan elemen yang memberikan impak kepada diri anda.

Akhir sekali dari saya, bagi anda yang ingin menjadi blogger satu disiplin yang perlu anda sematkan dalam diri anda ialah istiqamah dalam menulis. Ramai blogger di alam maya ini tetapi tidak ramai yang istiqamah menulis setiap hari. Dan paling sedikit ialah blogger yang menulis sesuatu yang baik untuk dikongsikan pada orang lain setiap hari. Bagi yang mengenali saya jutaan terima kasih kerana selalu menyokong saya. Bagi yang selalu memberikan komen, teruskan kerana komen anda sebenarnya adalah emas kepada saya. Akhir sekali bagi yang ingin mengenali saya selalulah ziarah saya di sini. Lama-lama nanti kenal la..:)

Anda Juga Boleh Jadi Hebat!

Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 02-11-2009

5

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua potensi seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang berasal dari Romania yang telah diiktiraf sebagai kanak-kanak terkuat di dunia. Giuliano Stroe telah masuk Guiness Book of World Records kerana berjaya berjalan dengan pantas sejauh 10 meter dengan membawa pemberat. Stroe berjaya mencipta rekod ini pada awal tahun ini. Kegigihan Stroe berlatih sejak dari kecil lagi patut kita ambil motivasi diri bahawa anda juga berhak jadi hebat jika anda memanfaatkan potensi diri pada tempat yang betul.

Kelebihan Bekerja

Posted by admin | Posted in Aspirasi Diri | Posted on 31-10-2009

3

bertani“Barang siapa merasa penat di waktu petang kerana bekerja, berkarya dengan tangannya sendiri maka pulang ia di waktu petang itu dengan diampuni dosanya. ” – [HR Thabrani & Muslim]

Allah SWT memberikan ganjaran kepada mereka yang melaksanakan kerja dengan cemerlang dan baik. Ganjaran yang diberikan Allah SWT tentunya bukan sedikit. Bahkan diberikan keampunan dosa sekiranya anda melakukan kerja dengan baik. Kepenatan dan kelelahan bekerja sudah tentu berasaskan kesukaran sewaktu melaksanakannya. Maka niat ikhlas diberikan pengiktirafan dengan pahala dan keampunan yang Allah berikan.

Hikmah dari hadis ini memberikan motivasi diri kepada kita agar menggunakan keupayaan semaksima mungkin untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua kerja yang dilakukan. Bukan sekadar untuk mendapat gaji dan pangkat sahaja. Kerana kerja di sisi Allah dinilai sebagai ibadah jua. Ibadah-ibadah dalam waktu kerja inilah yang kita harapkan dapat membantu kita sebagai bantuan kepada ibadah-ibadah khusus yang sedikit kita lakukan.

Pengalaman Temuduga [1]

Posted by admin | Posted in Umum | Posted on 23-10-2009

13

interviewAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Isnin yang lepas (19 Oktober 2009) saya menghadiri satu temuduga kerja di Institut Al-Quran Negeri Terengganu di Padang Midin, Marang. Temuduga yang saya hadiri ini adalah untuk jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah DC41. Ada beberapa perkara yang menarik hati saya untuk menghadiri temuduga.

Pertama: kerana saya ingin menimba pengalaman temuduga. Maklumlah sejak tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dulu, ini adalah temuduga kerja saya yang ketiga.Temuduga pertama di tempat kerja sekarang. Temuduga kedua boleh baca di sini.

Kedua: Kerana Institut Al-Quran Negeri Terengganu ni adalah tempat saya menuntut dahulu. Saja ingin mencuba nasib walaupun tahu peratusan untuk lulus temuduga ni amatlah tipis.

Ketiga: Kerana memenuhi kehendak keluarga. Famili saya tetap nak saya kerja di sektor kerajaan. Apa nak buat.

Pengalaman temuduga kali ni memang mencabar. Maklumlah surat tak sampai. Nasib baik saya telefon ke pejabat IQT sendiri dan minta faks ke pejabat Fitrah Power. Nak prepare lagi. Bukan mudah tu.

Pendekkan cerita, temuduga ni terbahagi kepada tiga bahagian utama. Ada ujian Bahasa Arab, kemudian ujian lisan Al-Quran dan akhir sekali bahagian pengetahuan am. Dalam hati ni berkata, insya Allah boleh tempuh ni. Cuma persaingan sengit memandangkan ramai peserta temuduga yang lain juga adalah mantan pelajar yang pernah menuntut di sini juga. Ada juga dua tiga orang peserta yang sudah ada Sarjana. Tapi persaingan positif lebih memberikan semangat.

Temuduga bermula pada jam 9.00 pagi. Berkat pengalaman temuduga yang ada saya sampai di lokasi temuduga pada pukul 8.40 pagi. Ingatkan dah lewat. Rupanya peserta pertama! Seronok sangat. Daftar nama, kemudian diberikan kertas ujian bertulis Bahasa Arab. Diberikan masa setengah jam untuk siapkan.

Siap ujian bertulis, saya tengok giliran saya yang ke-7. Aduhai ingatkan siapa cepat dia kena dulu. Rupanya dah ada giliran yang ditulis. Jadi kenalah tunggu sampai giliran saya.

Akhirnya sampai juga giliran temuduga. Tengok jam pukul 12.30 tengah hari. Fuh! Ni memang panel temuduga pun dah kurang excited nak tanya.

Di dalam bilik temuduga

“Assalamualaikum. Enta Asrulnizam?” Haa..kena cakap Arab tu. Panel minta saya perkenalkan diri dalam Bahasa Arab. Dah lama tak cakap Arab. Tergagap-gagaplah walaupun boleh bercakap. Lepas perkenalkan diri, saya ditanya beberapa soalan berkenaan Bahasa Arab. Alhamdulillah boleh jawab dengan baik.

Selesai sesi pertama, sesi kedua ujian lisan Al-Quran pulak. Saya diminta baca awal Surah Yunus dan Surah Luqman. Alhamdulillah boleh jawab dengan baik. Kemudian panel minta saya berikan konsep pendidikan dari Surah Luqman. Alhamdulillah Allah masih buka minda saya untuk jawab dengan baik.

Cuma apabila panel ketiga (Pengarah IQT) tanya saya berapakah jumlah wasiat Luqman Al-Hakim? Apa lagi peluh keluarlah. Dengan selambanya saya jawab ada tujuh (konfiden tapi tak betul). Bila tengok keadaan saya dah mula berpeluh panel ketiga minta saya berikan tafsir Surah Al-Asr. Saya jawab tapi tak tepat. Kebetulan panel ketiga ni memang bidang tafsir. Bila tengok jawapan saya tak tepat panel teruslah perbetulkan. Sempatlah jugak kena brainstorming.

Akhir sekali sebelum keluar panel tanya, apa janji jika diterima mengajar di sini. Saya jawap ” Insya Allah dengan ilmu dan pengalaman yang sedikit saya akan melakukan kerja dengan sebaik mungkin dan berkualiti.”

Keluar bilik temuduga tengok jam dah 1.00 petang. Setengah jam yang mendebarkan dah berakhir rupanya.

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.