Energi Bertambah Bila Berinteraksi Dengan Orang Lain
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Apa khabar anda semua? Panjang sedikit tajuk entri hari ini. Sejak Sabtu yang lepas sehingga semalam boleh dikatakan setiap hari saya berjumpa klien serta menghadiri meeting berkaitan bisnes dan juga hal-hal yang lain. Dan hari ini saya mula merasakan energi saya semakin bertambah.
Saya kini memahami mengapa orang yang mempunyai hubungan sosial yang baik lebih sihat, lebih berenergi untuk melakukan sesuatu. Mereka sebenarnya mendapat banyak energi dari interaksi dan komunikasi dengan individu yang mereka jumpa. Walaupun hanya sekadar bertemu untuk pamerkan senyuman atau hanya berborak kosong sebenarnya interaksi tersebut adalah proses pemindahan energi.
Lebih-lebih lagi jika anda bertemu dengan mereka yang mempunyai kredibiliti tertentu, kemahiran tertentu, jawatan tinggi dan dihormati pastinya anda akan dapat merasakan energi positif berpindah masuk dalam diri anda. Rangsangan positif berlaku kerana anda mula berfikir untuk menjadi seperti mereka. Melihat perwatakan mereka yang senang berbicara, personaliti yang segak dan anggun, idea yang bernas, cara penyampaian yang meyakinkan pastinya sedikit sebanyak akan membantu anda untuk menjadi seperti mereka.
Jadi jika hari ini anda rasa lemah dan tidak bermaya, atau malas nak berfikir jangan terus laksanakan kerja anda. Ambil sedikit masa untuk jumpa rakan sekeliling atau orang yang anda hormati untuk mendapatkan energi mereka supaya masuk ke dalam diri anda.
Dunia Kerjaya Anda!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Adakah anda selesa dengan dunia kerjaya anda? Adakah anda passion dengan kerjaya anda? Setiap bentuk kerjaya mempunyai dunianya tersendiri. Di dalam dunia ini, anda berkemungkinan mendapat pengalaman yang pelbagai atau sekadar menikmati pengalaman kerja yang sama setiap hari.
Bagi saya dunia kerjaya adalah sesuatu yang menarik apabila anda mendapat banyak perkara baru di dalamnya seperti peningkatan kemahiran kerja, bertemu ramai pelanggan dan tidak bekerja hanya pada satu tempat. Tetapi kerjaya statik anda hanya akan mendapat pengalaman kemahiran kerja berbanding hal-hal yang lain.
Satu perkara penting yang perlu anda teliti dalam dunia kerjaya anda, adakah anda mampu menyusun segala bentuk kerja anda atau kerja yang mengawal pergerakkan anda? Pernah saya melihat seseorang bekerja sehingga tidak mempunyai masa untuk perkara-perkara lain. Bermula dari masuk pukul 8.30 pagi sehingga berakhir waktu pejabat masih belum mencukupi, dan akhirnya terpaksa mengambil masa rehat pada waktu malam. Bila pulang ke rumah, tidak dapat melakukan perkara lain melainkan terus tidur kerana terlalu.
Jika sekali sekala dunia kerjaya anda menuntut anda untuk bekerja lebih masa adalah perkara biasa. Tetapi jika setiap hari dalam sebulan maknanya anda bermasalah dengan kerjaya anda. Sama ada masalah itu berkaitan dengan pengurusan organisasi atau masalah penyusunan tugasan yang tidak kemas dan terancang.
Jangan terus menerus biarkan anda lemas dalam kerjaya anda. Anda perlu jadi master supaya anda dapat menikmati hebatnya dunia kerjaya. Apabila berada di paras bahaya serta tidak mampu lagi menghadapi dunia tersebut, jangan takut belajar bertukar kerjaya kerana anda bakal mendapat pengalaman baru dan dunia baru.
Cari Kerja Atau Cipta Kerja
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Anda pilih yang mana? Saya pasti ramai di antara kita memilih yang pertama kerana yang pertama lebih mudah berbanding yang kedua. Peluang pekerjaan dah ada, cuma hanya perlu mohon sahaja. Tetapi risikonya belum tentu dapat kerana permintaan tinggi. Ramai penganggur yang sedang berhempas pulas untuk mengisi ruang kosong dalam sektor pekerjaan. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak stabil, orang yang dah bekerja pun silap hari bulan boleh dibuang kerja.
Jadi anda rasa bagaimana?
Masih memilih yang pertama? Sebenarnya di negara kita kerjaya ditentukan dahulu kemudian Kementerian Pelajaran menyediakan pembelajaran dalam bidang tersebut. Tetapi alangkah baiknya jika negara kita mencipta ruang kerjaya berdasarkan bakat dan potensi masyarakat setempat. Barulah kadar pekerja asing dapat dikurangkan. Realiti yang berlaku ramai graduan terpaksa menganggur kerana mereka ternanti-nanti bidang kerja yang setaraf dengan kelayakan akademik mereka.
Sebenarnya mencipta pekerjaan lebih mudah berbanding mencari kerja kerana selalu yang berlaku ijazah atau diploma yang anda dapat tidak memberikan jaminan untuk anda mendapat pekerjaan dalam bidang yang sama. Jadi bukankah ianya satu kerugian jika ditilik kepada kerjaya. Memang berisiko. Bahkan semua perkara pun berisiko. Hanya perlukan sedikit kreativiti dan inovasi anda akan jadi lebih hebat dengan membina kerjaya melalui kelebihan dan bakat dalam diri.
Pendek kata, jangan terlalu berharap pada kelayakan akademik anda jika ingin berjaya. Dalam dunia hari ini, pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan sebagainya memerlukan kewangan segera. Jadi jika anda menanti dan menanti agak sukar kerana permohonan di bidang kerajaan terlalu tinggi. Lebih baik mencari peluang kerjaya yang rendah tetapi momentum untuk berjaya juga tinggi.
Musuh Dalam Organisasi (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Antara musuh dalam organisasi yang paling tidak disukai oleh pekerja ialah kaki bodek. Kaki bodek selalunya akan menerima cemuhan paling teruk kerana dia melibatkan bos. Selalunya kaki bodek melibatkan pekerja dan bos. Berlagak baik di hadapan bos, menunjuk-nunjuk rajin dan bertanggungjawab di hadapan bos sering dilakukan untuk mendapat perhatian.
Pada saya kaki bodek tidaklah berbahaya sangat berbanding dengan mereka yang berwatak gunting dalam lipatan dan langau, kerana kaki bodek jika untuk kepentingan bersama di tempat kerja rasa anda semua akan sama-sama mendapat kebaikan dan kebajikan. Tetapi yang selalunya berlaku apabila pembodek berusaha untuk naik jawatan kemudian dalam masa yang sama melabelkan orang lain tidak bekerja atau malas bekerja.
Musuh seumpama ini dapat dibendung jika bos mengambil sikap melihat sendiri hasil dan penat lelah setiap individu dan bukannya mendengar dari mulut orang lain. Penilain kerja perlu dilakukan dengan baik supaya setiap pekerja memandang baik kredibiliti seorang bos dalam memimpin organisasi.
Situasi Stres (4)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Di dalam tandas awam memang tidak boleh merokok. Tetapi kalau di negara kita memang ramai yang tak beretika sekalipun larangan tersebut berada di depan mata. Bila masuk tandas, asap berkepul-kepul sehingga tak boleh bernafas langsung. Inilah yang menyebabkan stres bagi sesetengah individu yang mengamalkan disiplin yang tinggi serta menghormati nilai kemanusiaan.
Mungkin anda boleh nasihatkan si perokok untuk mengelakkan tindakan seumpama ini. Namun bukan semua orang boleh mengendalikan stres lebih-lebih lagi yang menghadapi situasi ini adalah anti perokok atau alahan dengan asap rokok. Jika anda seorang perokok janganlah mencabar emosi orang lain dengan merokok di dalam tandas. Baunya sangat busuk dan tidak menyenangkan.
Panduan Menulis Resume
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sudah masuk penghujung tahun 2010, anda pasti sibuk menghadiri temuduga dan juga menghantar resume untuk memohon jawatan yang berkelayakan. Saya berikan anda sedikit panduan dalam menulis resume efektif. Resume yang baik adalah sebagaimana berikut:
- Memenuhi keperluan majikan
Majikan biasanya akan mengambil pekerja yang memenuhi kriteria tertentu yang diperlukan untuk jawatan tersebut. Jadi resume anda mestilah menggambarkan bahawa andalah orang yang paling layak. Tulis segalanya tentang diri anda untuk memberikan gambaran kepada syarikat bahawa anda benar-benar mampu memenuhi kekosongan jawatan yang diminta.
- Pamirkan anda sebagai aset
Menekankan pencapaian anda di bidang yang berkaitan dan menunjukkan bahawa anda adalah adalah prospek terbaik dengan kebolehan yang ada pada anda. Membekalkan data yang membuktikan anda telah menjalankan tanggungjawab yang lepas dengan jayanya dan telah menyumbang secara konsisten kepada perkembangan syarikat. Buktikan pengalaman anda jika anda pernah bekerja atau bertugas di mana-mana organisasi. Pengalaman dalam bidang yang dipohon akan menguatkan profil diri anda.
- Data yang terang yang jelas
Ingat! Majikan biasanya akan menerima ratusan permohonan untuk jawatan kosong setiap hari. Semasa proses menyaring resume – resume tersebut, purata masa yang diambil untuk untuk membaca satu resume adalah 15 saat atau kurang. Jadi, pastikan maklumat dalam resume anda adalah terang, jelas dan mudah dibaca. Jangan guna tulisan yang cantik tetapi sukar untuk membacanya. Jangan sesekali menghiasi resume anda dengan pelbagai corak. Biarkan resume dalam keadaan yang bersih. Guna font Times New Roman dengan saiz 12.
- Menyiapkan anda untuk proses temuduga
Kandungan resume yang baik akan membantu anda untuk fokus kepada pencapaian serta kerjaya impian anda. Ia juga menolong pemprosesan data minda untuk menjawab soalan – soalan yang mungkin dikemukakan semasa temuduga. Apabila anda mengenali diri anda sendiri (dari segi apa yang telah capai setakat ini dan apa yang anda boleh sumbangkan di tempat baru), anda akan lebih yakin untuk mengharungi temuduga.
5S Aplikasi Kepimpinan Diri
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Konsep kerja 5S yang diaplikasikan di kebanyakan jabatan kerajaan dan kementerian di negara ini adalah satu pendekatan yang baik dalam memajukan diri terutama dari aspek kepimpinan diri. Kita mencedok 5S dari Jepun dan merasakan betapa Jepun boleh maju kerana berjaya mendisiplinkan konsep ini.
Namun kita menutup pandangan mata kita bahawa 5S adalah konsep asas yang Islam tentang kebersihan diri. Kita meniru 5S kerana Jepun telah rebranding konsep kebersihan dalam bentuk yang lebih catchy dan menarik, sedangkan Islam hanya menceritakan tentang kebersihan.
Persoalan penting mengapa Jepun boleh berjaya dengan 5S?
- Bangsa Jepun mempunyai disiplin dan kepimpinan diri yang tinggi
- Pekerja sangat sayangkan organisasi
- Komitmen tinggi
- Sanggup berubah untuk berjaya
Banyak lagi sebab mengapa Jepun boleh berjaya. Apa yang saya ingin tekankan bahawa anda boleh berjaya apabila anda boleh mendisiplinkan diri pada perkara-perkara yang kecil insya Allah perubahan juga boleh berlaku pada perkara besar. Apabila wujud disiplin dalam diri maka kredibiliti kepimpinan juga akan terbina dengan sendirinya.



