Situasi Stres (1)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tempat kerja adalah lokasi yang sering mencetuskan stres. Urusan kerja pastinya melibatkan pengurusan masa dan kerja mengikut due date sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada kerja. Itu belum lagi masuk masalah dengan bos dan rakan sekerja. Kalau dicampur tentu masalah dan tekanan akan menjadi lebih teruk.
Salah satu punca stres di tempat kerja melibatkan kerosakan peralatan yang digunakan di pejabat sebagaimana yang anda lihat dalam video ini. Apa yang perlu anda lakukan jika situasi seumpama ini? Masih ada cara jika anda berfikir secara rasional. Paling penting jika situasi ini berlaku tenangkan fikiran seketika sambil menarik nafas dalam-dalam. Semakin anda fikirkan ketika itu akan terus mengusutkan keadaan. Agak tenang sedikit barulah fikirkan untuk selesaikan masalah anda.
Peringatan juga kepada pihak majikan jika peralatan sudah tidak dapat digunakan pada tahap 100%, fikirkanlah cara untuk menyelesaikannya supaya pekerja dapat memberikan komitmen pada tahap maksimum.
Jangan Cakap Sebarangan Dengan Bos (1)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ramai yang tidak tahu bahawa ada kata-kata yang tidak patut anda tuturkan kepada bos sekalipun hati anda tidak berpuas hati dengan bos anda. Jika anda ingin menjadi cemerlang perlu sembunyikan dari terkeluar seumpama ini kerana reputasi sebagai pekerja cemerlang yang direspek akan mula luntur dan menggambarkan anda tidak professional dalam kerjaya anda.
“Ini bukan tugas saya.”
Jangan berkata seperti ini apabila bos memberikan tugas kepada anda walaupun hakikatnya tugasan itu di luar bidang kerja anda. Sebaliknya cuba selidik terlebih dahulu mengapa anda disuruh untuk melakukan tugasan itu. Mungkin juga bos anda menilai anda adalah orang yang mampu melakukannya.
Tetapi jika anda merasakan tugasan itu membuatkan anda bercelaru dan tidak menang tangan untuk menguruskannya maka terangkanlah dengan jelas supaya tugasan tersebut dapat diberikan kepada orang lain. Ingat bidang kerja anda lebih penting untuk diselesaikan. Tetapi anda anda menerima tugasan tersebut mungkin juga bos anda menilai anda lain dari yang lain dan anda layak mendapat jawatan yang lebih baik.
Penampilan Pakaian Cerminkan Personaliti Anda (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dalam posting terdahulu anda telah meilhat bagaimana warna putih membentuk personaliti diri anda. Bagi anda yang sukakan warna merah, anda sebenarnya adalah seorang agresif, sentiasa bersemangat, ghairah, seorang sentimental, bertenaga bahkan mungkin juga seorang pemarah.
Pakaian berwarna ini sesuai dipakai apabila ingin menampilkan diri dalam sesuatu masa ataupun tempat. Jangan kenakan warna ini apabila anda dalam keadaan penat kerana ianya akan memberi kesan negatif dalam membina perhubungan. Warna ini sesuai dikenakan dalam majlis ataupun tempat supaya anda dapat dikenali dengan mudah. Tetapi elakkan memakai warna merah dari kepala hingga ke kaki. Anda nampak seperti penari hindustan pula.
Bagi wanita warna ini sesuai bagi mereka yang mempunyai kulit cerah. Sesuai bagi baju, seluar dan kain, jaket, blaus ataupun skaf. Aksesori tambahan berwarna merah perlu disesuaikan dengan pakaian. Bagi lelaki ianya sesuai bagi kemeja-T ataupun tali leher. Cantik juga bagi sut pakaian kebangsaan seperti baju Melayu.
Metodologi Menangani Stres (7)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Stres yang teruk boleh menyebabkan anda dalam kemurungan. Bahaya stres ia boleh menyembunyikan keupayaan diri anda sebenar terutama dalam menjalankan kerja. Sebelum terlambat anda perlu berusaha untuk menghilangkan stres.
Salah satu yang anda boleh lakukan ialah dengan menggunakan terapi bunyi. Apabila anda menghadapi tekanan sememangnya anda inginkan sesuatu yang boleh mendamaikan hati. Apa perasaan anda apabila mendengar bunyi hujan? Apa pula anda rasakan bila mendengar bunyi kicauan burung, bunyi air terjun dan bunyi ombak laut? Bukankah ianya mendamaikan?
Saya pasti anda menjawab ya. Namun dalam kesibukan seharian sudah pasti memerlukan masa juga untuk bercuti dan menikmati kehidupan fitrah seumpama itu. Jangan risau anda boleh menghilangkan rasa tertekan dengan mendengarnya dari CD. Selain dari itu anda juga boleh mendengar muzik instrument yang relaks dan mampu mengurangkan ketegangan dalam diri anda.
Menurut kajian juga terapi bunyi mampu menghilangkan kemurungan, fobia kepada gelap, ketinggian dan manusia. Bahkan ia juga sesuai untuk kanak-kanak yang inginkan perhatian dan juga tidak fokus dalam pembelajaran. Anda boleh cuba sendiri dengan lagu-lagu di bawah ini.
Relaxing Music With The Sound Of Nature – Klik sini untuk download.
Tip-Tip Pengurusan Diri (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Selesaikan apa yang telah bermula
Suka saya memetik pepatah Inggeris yang berbunyi ‘get into the habit to finish up what you start’. Analogi yang lebih mudah difahami jika anda makan sepinggan nasi, habiskan apa yang anda sedang makan. Jangan tinggalkan sisa. Jika anda memahaminya pasti anda mula memikirkan mengapa pengurusan diri anda sering tidak berjalan seperti yang dirancang.
Kerja yang anda telah mulakan, jangan tinggalkannya sehingga anda berjaya siapkannya. Maklumlah apabila ditinggalkan esok belum pasti anda dapat selesaikannya memandangkan berkemungkinan anda akan menerima tugasan kerja yang baru pula. Apabila yang semalam tertangguh, yang hari pula menambah alamat anda mengalami konflik diri dan kerja untuk memastikan kedua-duanya siap dengan sempurna.
Kemahiran Konseptual
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Adakah anda pernah mendengar tentang kemahiran ini? Tidak ramai yang biasa mendengarnya tetapi kemahiran ini sangat penting bagi anda memahami apakah visi dan misi organisasi anda. Kemahiran konseptual akan memberikan gambaran kepada anda dengan jelas tentang apakah cita-cita yang ingin dicapai oleh organisasi anda. Bekerja bukan hanya pergi ke pejabat untuk melakukan tugasan kerja anda, tetapi anda memahami tugasan yang dilakukan adalah selari hasrat organisasi.
Jika anda sebagai penyelia atau pegawai apa yang perlu anda lakukan kepada orang bawahan anda ialah memberi faham kepada mereka mengapa organisasi tersebut ditubuhkan? Apakah objektifnya? Apakah fungsinya terhadap dunia globalisasi? Pemahaman tentang perkara asas ini akan memberikan ruang mereka bekerja dengan efisien dan fokus.
Begitu juga dengan anda yang menjadi ketua kepada organisasi atau syarikat anda. Lakarkan apa visi dan misi syarikat sebelum anda melangkah lebih jauh dalam bidang yang anda ceburi. Kemahiran konseptual akan memacu syarikat anda berada di atas landasan visi yang tepat dan tersusun.















