Kerja Yang Hebat Bermula Dari Rumah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Wah! Mesti anda agak terkejut bagaimana kerja yang hebat boleh bermula dari rumah? Peratus kajian menunjukkan memang ramai yang bermotivasi di tempat kerja, bertitik tolak dari pengaruh positif dari rumah. Ini bermakna keluarga menjadi pendorong utama kejayaan anda selain pendorong-pendorong yang lain.
Cuba bayangkan, pada pagi ini anda bangun agak lewat untuk ke tempat kerja. Lihat jam di tangan pukul 6.30 pagi. Sedangkan kebiasaannya anda bangun pukul 5.45 pagi. Dengan baju yang masih tidak digosok oleh isteri, sarapan yang tidak disiapkan lagi, kemudian anda terpaksa pula menghantar anak anda ke sekolah yang jauh dari rumah anda, kemudian ke tempat kerja yang sememangnya sesak lebih-lebih lagi apabila anda terlewat seumpama ini. Bagaimana perasaan anda? Saya dapat rasakan sejak dari anda terkejut sehinggalah anda sampai di tempat kerja, anda tidak habis-habis marah pada orang lain. Marah kepada isteri kerana tidak gosokkan baju dan tak siapkan sarapan, marah pada anak kerana lewat bersiap, marah pada pemandu lain kerana menghimpit kenderaan anda dalam kesesakan. Apabila sampai di pejabat pastinya emosi anda akan terus dibaluti rasa marah dan tertekan. Akibatnya anda tidak dapat melakukan kerja anda dengan 100% komitmen yang anda selalu berikan.
Begitulah juga jika anda seorang wanita. Terlewat bangun sudah pasti anda tertekan kerana tidak dapat siapkan sarapan untuk suami dan anak-anak, rasa bersalah kerana tidak gosokkan baju suami, marah pada diri kerana terpaksa minta suami hantarkan anak-anak ke sekolah kerana anda tidak sempat bersiap. Saya pasti situasi kerja hari itu membuatkan anda hanya diselubungi rasa bersalah dan tidak dapat fokus kepada kerja anda dengan sepenuh hati.
Sebaliknya jika anda dapat bertenang ketika bangun dari tidur, dapat bersarapan bersama keluarga, dapat cium isteri dan anak-anak sebelum pergi kerja pastinya komitmen anda hari itu jauh bezanya dengan hari-hari biasa.











