Pengalaman Adalah Ilmu Baru Dalam Hidup
Salam sejahtera buat anda semua.
Sepanjang kehidupan anda agak-agaknya berapa tahun pengalaman hidup yang anda perolehi? Seorang pekerja kilang mungkin berkata “Saya dah 20 tahun kerja kilang.” Agak-agak adakah 20 tahun benar-benar pengalaman yang diperolehinya? Pada saya tidak semestinya. Pengalaman adalah sesuatu perkara baru yang anda pelajari. Semakin banyak perkara baru yang anda alami dalam hidup bermakna pengalaman juga turut bertambah.
Dalam bidang pekerjaan juga dinilai seumpama itu. Apapun jua kerjaya anda, asalkan anda tidak melakukan perkara statik dalam kerja anda pastinya anda mampu pengalaman demi pengalaman dalam kerjaya tersebut. Setiap perkara baru yang anda pelajari akan membantu anda dalam menyelesaikan pelbagai masalah kerja dan juga konflik yang melibatkan persahabatan, rakan sekerja, hubungan dengan majikan atau mungkin juga ahli keluarga.
Motivasi Kehidupan Dari Orang Tua-Tua
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya tanya pada anda apa beza orang-orang tua dan orang tua-tua? Apa yang ingin saya tonjolkan ialah orang tua-tua bermaksud mereka yang lebih berumur dan mempunyai banyak pengalaman hidup. Saya sejak dari kecil memang suka bersama dengan orang tua-tua. Mendengar celoteh dan pengalaman hidup mereka memberikan semangat bahawa hidup ini sangat sukar untuk ditempuhi.
Satu perkara yang suka saya kongsikan di sini, orang tua-tua tahu bagaimana mendapat nilai dari kehidupan seharian mereka. Contoh paling dekat peribahasa yang kita gunakan sehingga hari ini menunjukkan bahawa orang tua-tua lebih menghargai kehidupan mereka. Mereka mencari nilai dalam kehidupan yang mereka lalui. Kemudian nilai tersebut dikongsikan sebagai nasihat untuk kita di zaman ini dalam bentuk peribahasa.
Hari ini kita jangankan nak membentuk peribahasa, mencari makna peribahasa pun kita tak mampu. Jadi fikirkanlah di mana aras kita sekarang nak dibandingkan dengan orang tua-tua.
Peluang Akan Sentiasa Wujud
“Ketika satu pintu tertutup, pintu lain terbuka. Namun terkadang kita melihat dan menyesali pintu tertutup tersebut terlalu lama sehingga kita tidak melihat pintu lain yang telah terbuka.” – Alexander Graham Bell
Indah sekali susunan maksudnya. Setiap kali anda menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan masalah, sebenarnya anda boleh keluar dari situ. Cuma kadang-kadang kesusahan dan kesukaran menghalang pemikiran anda untuk mencari penyelesaian masalah. Akhirnya anda terperangkap dalam situasi yang semakin kusut dan membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang terlintas ketika itu.
Percayalah bahawa peluang menyelesaikannya sentiasa terbuka. Apa yang perlu anda lakukan anda cuma memerlukan sedikit kesabaran untuk berfikir di luar kotak pemikiran agar jalan penyelesaiannya lebih baik dan terbuka. Kelemahan kita, mungkin kita tidak perasan sebenarnya masalah kita sudah mampu diselesaikan dengan mudah. Mungkin kerana pengalaman hidup yang beronak duri menjadikan kehidupan lebih sukar untuk difikirkan bagaimana menyelesaikannya. Apabila setiap hari membuat keputusan dalam acuan yang sama sudah semestinya corak pemikiran dan cara menyelesaikan masalah bukan yang terbaik.
Jangan kalah dalam berfikir. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Peluang kedua pasti akan sentiasa ada jika anda terus memikirkannya dan berdoa kepada Allah agar diberikan peluang tersebut. Jangan fikir putus asa jika anda belum mula berfikir untuk menyelesaikan masalah anda.

