Layakkah Jadi Pengawal Keselamatan?
Posted by admin | Posted in Isu Kerjaya | Posted on 06-10-2009
17
Tiga hari lepas saya menuju ke Bank Islam Cawangan Bandar Baru Bangi untuk withdraw sedikit duit. Apabila melangkah masuk ke bahagian ATM saya lihat seorang pengawal keselamatan sedang bertugas, sambil menunggu dan melihat kelibat pelanggan-pelanggan yang berurusan di situ.
Sambil beratur untuk menunggu giliran saya di ATM, saya terfikirkan pengawal keselamatan yang sedang berdiri tersebut. Dengan keadaannya saya kira sudah pun melepas umur pencen, dengan wajahnya yang redup, badannya yang tidak lagi tegap bagaimana BIMB ini boleh mengambilnya sebagai pengawal keselamatan di situ. Dengan keadaan fizikalnya yang saya kira tidak memenuhi kriteria sebagai seorang pengawal keselamatan yang cergas, dengan tugasnya yang berat untuk mengawal dan menjaga keselamatan bank tersebut.
Memadai ke risiko yang bakal dialaminya? Andai berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Apalah salahnya seorang pengawal keselamatan diletakkan seorang cergas, dan mempunyai ciri-ciri fizikal yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya kalau ada yang nak melakukan rompakan atau kekacauan, mereka akan fikir dua kali untuk itu. Kalau dilihat keadaan sekarang ini pengawal keselamatan yang berbadan tegap pun boleh mati ditembak perompak, bayangkanlah kalau pengawal keselamatan tersebut dah berumur dan lemah? Anda pun boleh fikir sendiri.
Apa yang menjadi perhatian saya, pengawal keselamatan ini bekerja di bawah syarikat mereka sendiri. Cuma bagi pihak pengurusan syarikat tersebut seharusnya lebih tahu untuk menempatkan pengawal keselamatan mengikut risiko yang bakal diterima. Saya rasa kalau pengawal keselamatan yang sudah berumur tidak hairanlah jika ditugaskan untuk mengawal di sekolah-sekolah atau di kawasan perumahan memandangkan risikonya lebih rendah berbanding di bank-bank.



