Lakukan Lebih Dari Kemampuan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Jika anda menginginkan sesuatu yang belum pernah anda miliki, anda harus bersedia melakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan - Thomas Jefferson
Besar maknanya jika anda memegang kata-kata ini dan aplikasikan dalam kehidupan anda. Baru semalam Malaysia meraikan kemenangan sulong untuk Piala AFF Suzuki selepas menanti 14 tahun. Apa yang paling menggembirakan ialah membenam kembali musuh tradisi Indonesia dalam dua perlawanan akhir.
Tiada yang mustahil sebenarnya untuk mencapai perkara di luar jangkauan sekiranya menggandakan usaha lebih dari biasa. Kemenangan manis semalam adalah usaha yang dilakukan lebih dari kemampuan. Mana mungkin Malaysia dapat menjulang Piala AFF Suzuki jika hanya berusaha pada kadar biasa.
Usaha tangga kejayaan. Itu adalah kata-kata yang bernas untuk diri. Tetapi yang tersiratnya jika anda berusaha untuk 50% kejayaan maka Allah SWT akan memberikan apa yang anda usahakan sahaja. Apabila mengharapkan sesuatu yang gempak berlaku dalam kehidupan anda maka berusahalah dengan cara yang di luar kebiasaan diri.












