Kerja Adalah Kombinasi Minat Dan Kesungguhan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekian lama anda membina kerjaya, adakah anda memahami bagaimana anda boleh bertahan di tempat kerja anda sehingga ke hari ini? Kerja yang anda lakukan memerlukan dua komponen penting yang membolehkan anda melakukan kerja dengan penuh komited dan dedikasi. Kerja adalah gabungan antara minta dan kesungguhan. Tanpa dua komponen ini agak sukar untuk anda menonjolkan potensi diri anda sebagai seorang yang professional dalam kerja.
Tanpa minat tiada gunanya anda bekerja. Hasil dari kerja anda tidak akan menunjukkan bahawa anda komited dan efisien. Minat membantu anda mengerahkan sepenuh idea, masa dan tenaga bagi membuktikan kerja yang anda lakukan adalah dari hati anda. Ramai yang tidak menyedari apa tujuan mereka bekerja, dan paling menyedihkan apabila anda menghabiskan usia anda dengan bekerja tanpa minat. Mengapa begitu? Pada saya anda telah menghabiskan sebahagian kerja anda dengan tidak menggunakan potensi hingga ke peringkat maksimum.
Kesungguhan pula ibarat turbo kepada kerja anda. Anda sudah memiliki minat, ditambah pula dengan kuasa kesungguhan pastinya produktiviti atau perkhidmatan yang anda jana adalah yang terbaik. Ingat! Kerja tanpa kesungguhan sudah cukup untuk berjaya. Namun minat dan kesungguhan membuatkan anda enjoy dengan kerja anda. Inilah yang sukar dicari. Enjoy dengan kerja bermakna anda memberikan yang terbaik untuk kerja anda.
Anda tidak kisah lagi dengan cabaran dan risiko kepada kerja anda. Itulah kuasa minat dan kesungguhan yang mampu memberikan anda kepuasan sebenar dalam melaksanakan kerja sekalipun ianya sukar dan teruk di pandangan mata insan lain.
Mengenali Potensi Diri (4)
“Jika seseorang mempunyai bakat tetapi tidak menggunakannya, ia gagal. Jika ia mempunyai bakat tetapi menggunakan sebahagiannya sahaja, ia gagal pada bahagian yang lain. Jika dia mempunyai bakat dan belajar menggunakan sepenuhnya maka ia mendapat kemenangan dan kebahagiaan yang hanya dilihat oleh mereka yang sedikit.” – Thomas Wolfe
Sebelum anda membaca entri ini, seeloknya anda membaca entri saya tajuk yang sama siri ketiga. Bakat dan potensi yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala secara istimewa sejak dilahirkan tidak diperolehi oleh semua insan. Tetapi bakat dan potensi tetap dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua. Sama anda menyedari atau tidak sahaja bagaimana potensi itu berada dalam diri anda.
Sejauh mana kejayaan anda boleh dinilai dari sejauh mana anda menggunakan sepenuhnya potensi dalam diri anda. Jika 50% yang anda gunakan pastinya 50% jualah yang anda kecapi. Jika anda cuba mencari sepenuhnya cara menggunakan bakat anda maka sudah pasti itulah kejayaan yang bakal anda kecapi.
Percayalah tidak ramai yang berusaha untuk mengenali potensi mereka. Oleh kerana itu banyak kursus-kursus pengembangan bakat, rancangan realiti TV berkenaan bakat bahkan universiti-universiti untuk mengeluarkan dan menguruskan potensi turut ada di dunia ini. Sekarang cuba anda ambil sehelai kertas A4, apa yang saya kehendaki anda cuba senaraikan 20 potensi dan bakat dalam diri anda!
Lakukan aktiviti ini dan anda tunggu artikel saya akan datang! Saya akan huraikan cara seterusnya. :)
Mengenali Potensi Diri (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sesuatu yang perlu kita fahami bahawa Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan bakat dan potensi kepada kita. Salah satu caranya potensi yang diberikan secara anugerah.
Ini adalah sesuatu yang merupakan kuasa Allah Yang Maha Berkuasa. Potensi ini tidak memerlukan anda untuk melatihnya setiap hari. Kecenderungan ini telah wujud dalam diri anda sejak anda dilahirkan. Dan anda tahu kecenderungan ini berada di dalam diri anda. Pernah anda lihat seorang yang buta tetapi dapat melukis dengan menggunakan mulut? Atau mungkin seorang kanak-kanak kecil berusia 5 tahun tetapi sudah pandai berceramah sehinggakan orang lain mula memujanya? Inilah yang saya maksudkan sebagai potensi yang tidak perlu anda latih lagi. Bersyukurlah bahawa Allah menganugerahkannya kepada anda. Potensi diri yang hanya diperolehi oleh anda.
Cuba anda lihat video ini dan anda akan lebih memahami,
Lihat sendiri bagaimana setiap kata-kata motivasi dan kekurangan dirinya. Tetapi potensi dirinya ini adalah anugerah. Tidak ramai orang biasa mampu melakukan seperti itu.
Mengenali Potensi Diri (2)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Satu topik yang sangat menarik untuk saya kongsikan bersama anda. Setiap insan yang dijadikan Allah Subhanahu Wataala mempunyai anugerah potensi dan bakat yang sangat bererti pada dirinya. Itu menunjukkan bahawa Allah Maha Adil kerana menjadikan manusia mempunyai kelebihan dan dalam masa yang sama ada juga kelemahan pada dirinya. Persoalannya mengapa anda tidak dapat membongkar potensi anda? Sedangkan anda tahu Allah menganugerahkan bakat kelebihan pada setiap manusia.
Saya ingin mengubah sedikit corak pemikiran kita semua tentang potensi. Selalunya bila menyebut tentang potensi anda akan bertanya pada diri anda, apa dia potensi saya? Dan dalam minda anda berlegar bahawa potensi adalah kemahiran fizikal yang ada pada seseorang individu.
Sebenarnya potensi bukan hanya sekadar kemahiran fizikal. Itulaha sebahagian daripada cabang potensi diri anda. Potensi adalah sesuatu yang positif dalam diri anda. Sama ada dalaman atau luaran itu semua dikira sebagai potensi diri. Jika anda berkemahiran dalam bidang tertentu seperti bersukan, kraftangan, memasak, menyulam dan sebagainya itu sememangnya adalah potensi fizikal anda. Tetapi perlu diingat juga bahawa jika anda seorang yang rasional, penyayang, penyabar, gigih, kreatif, bersemangat, tahu cara menghargai orang lain itu juga dikira potensi diri anda yang perlu anda serlahkan.
Seorang yang berjaya tidak hanya bergantung pada kemahiran fizikalnya semata-mata. Tanpa bantuan potensi dalaman kejayaan yang anda impikan tidak akan ke mana. Seorang motivator tidak akan berjaya jika hanya mempunyai kepakaran dalam ‘public speaking’. Motivator yang berjaya memerlukan kreativiti, semangat, menghargai orang lain, komunikasi yang baik serta beberapa lagi potensi dalaman yang perlu dikuasai. Barulah boleh digelar seorang motivator yang berjaya.
Begitulah juga dengan seorang pekerja seperti anda. Kedudukan anda sekarang tidak dinilai dari kepandaian anda mengendalikan kerja anda sahaja. Untuk lebih berjaya anda perlu mencari lagi potensi-potensi dalaman anda untuk anda serlahkan dan menyokong kemahiran fizikal yang anda ada sekarang. Anda seorang pakar IT yang hebat, tetapi percayalah anda tidak akan dapat naik setingkat lebih tinggi jika anda hanya menguasai kemahiran itu. Anda perlu menyokongnya dengan potensi komunikasi yang baik, sedikit kreativiti, dan jika perlu adunkannya dengan kemahiran-kemahiran yang lain barulah anda boleh berjaya.
Mengenali Potensi Diri
“Sesiapa yang mempunyai kebolehan akan berjumpa landasan yang tepat.” – Charles Cahier

Hebatnya mereka yang mempunyai kelebihan. Begitulah momentum seorang yang mempunyai kelebihan dalam diri mereka. Mengetahui potensi diri akan meletakkan anda di laluan yang betul untuk anda mencapai apa yang anda inginkan. Anda tahu bagaimana menggunakan segala kelebihan diri untuk mencapai apa yang anda inginkan. Nampak mudah bukan?
Mudah jika anda tahu bagaimana menggunakan potensi anda. Selalu yang berlaku anda tidak kenal diri anda. Anda gagal menyelami bakat diri anda.
Potensi diri amat penting untuk membantu anda merealisasikan impian anda. Skop potensi diri tidak hanya terikat kepada kemahiran-kemahiran fizikal yang tertentu sahaja. Umumnya segala yang positif tentang diri anda sebenarnya dalah potensi yang Allah anugerahkan kepada anda. Skill luaran semata-mata tidak akan membawa erti jika anda seorang yang tidak konsisten dan bermatlamat. Begitu juga jika anda seorang yang berbakat dalam penulisan juga belum tentu menyerlahkan siapa diri anda jika anda tidak mempunyai kesabaran. Potensi perlu menggabungkan kesemua sesuatu yang positif dalam diri anda. Itulah nilai potensi diri anda sebenar.
Tulisan Cerminan Personaliti Diri
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sesuatu yang menarik untuk saya kongsikan bersama walaupun mungkin perkongsian ini menguntungkan pengarang buku ini. :) Anda pernah membaca buku ini? Bagi mereka yang meminati penulisan Khadijah Ibrahim, buku ini sangat sesuai untuk dibaca. Sebuah buku untuk bacaan santai yang memberikan kemahiran mengenali personaliti diri melalui tulisan.
Alhamdulillah saya sendiri mudah memahami corak personaliti yang ditulis di dalam buku ini. Buku motivasi dengan memberikan anda kemahiran memahami bentuk tulisan dan rahsia di sebalik tulisan anda begitu mengujakan anda.
Buku ini juga disertakan kata-kata motivasi dan contoh-contoh tulisan dari tangan-tangan mereka yang mencipta kejayaan di dunia ini dan menjadi sejarah hebat sehingga kini. Bagi saya ini adalah buku yang harus anda beli untuk meransang diri anda dan potensi diri anda.
Daftar Isi Kandungan
- Panduan 1: Mengenali tulisan anda dan pengaruhnya
- Panduan 2: Ciri-ciri positif untuk berjaya dalam hidup
- Panduan 3: Ciri-ciri negatif yang perlu diperbaiki untuk berjaya
- Panduan 4: Rahsia sudah terbongkar
Tajuk: Tulisan Cerminan Personaliti Diri
Pengarang: Khadijah Ibrahim
Terbitan: Al-Ameen Serve Holdings, 2007
Halaman: 184 muka surat
Subjek: Grafologi
Harga: RM23
Anda Juga Boleh Jadi Hebat!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua potensi seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang berasal dari Romania yang telah diiktiraf sebagai kanak-kanak terkuat di dunia. Giuliano Stroe telah masuk Guiness Book of World Records kerana berjaya berjalan dengan pantas sejauh 10 meter dengan membawa pemberat. Stroe berjaya mencipta rekod ini pada awal tahun ini. Kegigihan Stroe berlatih sejak dari kecil lagi patut kita ambil motivasi diri bahawa anda juga berhak jadi hebat jika anda memanfaatkan potensi diri pada tempat yang betul.

