Posts tagged "profesion guru"

Guru Sepanjang Hayat

Bila hidup niat untuk berbakti pada manusia tidak perlu bertanya pada diri bilakah waktu akan menamatkan kerja tersebut kerana berbakti tidak ada had umur dan tidak ada waktu persaraan. Selagi hidup berbuat baiklah dan berbaktilah kepada sesiapa sahaja yang anda inginkan. Profesion guru adalah antara kerjaya yang mulia. Bila anda menjadi guru walaupun telah bersara namun masyarakat tetap mengiktiraf anda sebagai guru. Rata-ratanya akan tetap menyebut panggilan nama anda dengan nama ‘cikgu’.

Fakta menarik yang ingin saya kongsikan tentang seorang wanita yang berumur 92 tahun di Amerika Syarikat, Bernice Bates merupakan guru yoga yang tertua di dunia. Walaupun menceburi aktiviti yoga ketika berusia 50 tahun, namun Bates tetap berusaha sehingga mampu menjadi seorang nenek dan juga guru yoga di usia emasnya.

Beliau mengajar yoga di Pusat Komuniti Pesara yang tahap usia mereka 20-30 tahun lebih muda daripadanya. Bates percaya bahawa yoga adalah senaman yang sangat baik ketika di akhir usia kerana ianya membantu mengimbangkan tubuh badan dan mengelakkan diri dari mudah terjatuh.

Bates contoh yang baik untuk kita fikirkan. Jika seorang yang mengajar yoga pun diiktiraf dalam Guinness Book of Records, apatah lagi anda yang menjadi guru dan menyampaikan ilmu-ilmu dunia dan akhirat pastinya Allah akan memberikan pengiktirafan yang lebih tinggi.

Be the first to comment - What do you think?

Profesion Sebagai Guru

profesion guru

Saya memetik satu petikan dari Harian Metro:

“BAGI memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.”

Dan juga satu petikan dari Utusan Malaysia:

“Profesion perguruan pilihan utama kepada golongan remaja di Malaysia. Contohnya pada tahun lepas, 80,000 permohonan untuk menjadi guru. Itu satu jumlah yang besar sedangkan tempat yang ada lebih kurang 6,000 sahaja.”

Profesion guru boleh dikatakan menjadi pilihan utama berbanding profesion yang lain. Ramai juga yang sudah bekerja, bertukar kepada profesion perguruan. Mengapa? Adakah gajinya besar? Sudah tentu tidak. Memilih kerjaya sebagai seorang guru bukanlah mengejar kepada jumlah gaji yang besar. Bukan juga kerana jumlah cuti yang banyak.

Memang tidak dinafikan ramai yang memilih profesion guru kerana nampak lebih banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga. Waktu kerja bermula 7.45 pagi hingga 1.00 petang sudah tentu banyak masa diluangkan di rumah. Namun pada hakikatnya itu adalah waktu kerja rasmi yang kita tahu bagi seorang guru. Tetapi bukan semudah itu menjadi guru. Waktu kerja tidak rasmi seorang guru seperti kelas tambahan, aktiviti ko-kurikulum, membuat soalan peperiksaan, memeriksa kertas jawapan peperiksaan dan membuat perancangan pengajaran sebenarnya mengambil lebih dari 8 jam waktu kerja. Itu belum lagi termasuk waktu berfikir untuk mencari pendekatan-pendekatan yang sesuai bagi memberikan pemahaman kepada para pelajar.

Karisma sebagai seorang guru bukan sembarangan. Hanya jika anda benar-benar mempunyai niat untuk membangunkan anak bangsa barulah anda akan tahan untuk memegang jawatan sebagai guru. Guru bukan sekadar pengajar. Guru adalah pendidik. Atau mungkin ‘murabbi’ adalah perkataan yang sesuai untuk seorang guru.

Jangan anda memilih untuk menjadi guru jika anda hanya berniat untuk mengambil keuntungan yang diberikan kerajaan kepada profesion ini kerana jika dalaman anda tidak bersih bagaimana anda nak memberikan didikan kepada anak bangsa?

Be the first to comment - What do you think?

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline