Musuh Dalam Organisasi (1)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Berhati-hati di tempat kerja anda pasti ada musuh yang akan memporak-porandakan keharmonian sesebuah organisasi. Paling bahaya apabila musuh berwatak di luar lain, di dalam lain. Mudah-mudah anda bersedia menghadapi watak-watak ini di organisasi.
Langau
Perhatikan di organisasi anda ada atau tidak watak pekerja yang bersifat langau ini? Mereka sangat suka membawa cerita-cerita buruk tentang orang lain di dalam organisasi. Berita palsu boleh menjadi benar, bahkan berita benar boleh dipalsukan. Hebatnya pekerja seperti ini mereka dapat menyebarkan berita dengan cepat tetapi kurang tepat. Mereka sangat suka menyebarkan fitnah kepada orang lain.
Anda boleh benci membenci dengan rakan baik anda hanya kerana sifat hasad oleh pekerja seumpama ini. Tanpa anda sedari anda mula percaya pada setiap kata-kata mereka yang akhirnya menjadi perangkap kepada hubungan baik anda dengan rakan sekerja yang lain.
Pekerja seumpama ini selalunya mempunyai rakan-rakan yang juga mempunyai sifat yang sama seperti mereka. Kerja sedikit tetapi banyak bercakap tentang orang lain di pejabat. Berhati-hatilah kerana agenda mereka sangat bahaya.











