Posts tagged "Surah Al-Baqarah"

Amalan Perubahan Diri (9)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berikan kata-kata yang baik

Mengubah diri bukan perkara mudah untuk dilaksanakan. Perubahan diri perlukan istiqamah pada perkara-perkara yang mudah terlebih dahulu sebelum melakukan perubahan yang lebih besar. Antaranya menuturkan kata-kata yang baik kepada orang lain. Seringkali kita mengabaikan perkara yang mudah untuk kita lakukan ini. Anda juga mampu melakukannya.

Mengucapkan kata-kata yang baik seperti memberikan nasihat, memberikan tazkirah, mendoakan insan lain sebenarnya memberikan perubahan besar pada diri anda. Hanya dari kata-kata yang baik menjadikan anda seorang yang disenangi dan dikasihi oleh orang lain.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah 263 yang bermaksud:

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Dan Allah itu Maha Kaya, Maha Penyantun.”

Dari memberikan celaan yang diiringi dosa lebih baik memberikan kata-kata yang baik yang diiringi pahala. Bahkan kata-kata yang baik juga adalah sedekah. Semoga saya dan anda semua dapat amalkan bersama.

4 comments - What do you think?

Motivasi Dari Doa (1)

“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum kafir.” [Surah Al-Baqarah: 250]

war

Ujian hidup terlalu besar untuk kita harungi di dunia ini. Jika ujian di dunia kita sudah tewas bagaimanalah keadaan kita di akhirat nanti. Penerimaan setiap insan terhadap ujian sangat berbeza. Ada yang boleh berlapang dada menerimanya, namun tidak kurang juga yang berprasangka terhadap Allah dengan ujian yang diterimanya.

Apabila diuji dengan kesukaran itulah yang menjadi kesabaran pada kita. Kesabaran yang bukan hanya terbit di lisan untuk dituturkan, tetapi kesabaran yang membuku di hati tanda sebagai seorang mukmin yang sejati. Di sinilah kadang-kadang gelaran seorang muslim belum memadai. Bahkan perlukan seorang mukmin barulah dapat memahami erti kesabaran terhadap ujian.

Hati yang sifatnya berbolak balik sudah pasti akan menimbang adakah akan terus pasrah pada ketentuan Allah atau mula menyimpang dari jalan yang lurus. Begitulah kelemahan manusia. Ujian menjadi kayu ukur adakah pendirian terhadap Allah masih menebal atau pun perlahan-lahan mula menipis. Sebagai insan yang kerdil ketika ini perlu sentiasa memohon dari Allah agar diberikan kekuatan untuk terus berada di atas jalan yang diredhai.

Asal doa ini diucapkan oleh pengikut-pengikut Talut yang merupakan seorang pemimpin yang beriman di zaman Nabi Daud alaihis salam yang berperang melawan tentera Jalut. Sebelumnya mereka telah diuji supaya tidak meminum air dari sungai yang mereka temui melainkan sekadar satu cedukan dengan tangan sahaja. Tujuannya adalah untuk memantapkan ketabahan mereka dalam menghadapi peperangan yang akan berlaku. Tetapi sebahagiannya ada yang engkar. Mereka yang minum sedikit dari sungai itu tetap berjuang berhabis-habisan ketika bertemu dengan musuh dalam peperangan itu. Dan mereka yang engkar mula hilang semangat serta enggan untuk turut sama berjuang menentang musuh.

3 comments - What do you think?

Content Protected Using Blog Protector By: PcDrome.
SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline