Metodologi Menangani Stres (4)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tekanan kerja sememangnya menjadi punca utama anda stres bukan? Bagaimana jika tahap stres anda ketika ini berada di tahap kemuncak? Bukan mudah untuk anda menghilangkan tekanan itu. Jika saya memberikan sehelai kertas putih untuk anda menghilangkan tekanan anda ketika itu, agak-agaknya apa yang anda lakukan?
Berkemungkinan tindakan berikut mungkin berlaku kepada:
- Jika anda tertekan kerana dimarahi bos, saya pasti kertas putih itu anda gunakan untuk melukis wajah orang yang anda benci kemudian membuat tanda pangkah pada wajahnya.
- Mungkin juga anda akan menggumpal sahaja kertas itu dengan menganggap itu adalah beban berat yang anda pikul dan kemudian membuang kertas itu bersama masalah yang anda hadapi.
- Atau mungkin anda membakar kertas itu, kerana itulah api kemarahan anda yang sedang meluap-luap.
- Anda mengoyakkan kertas itu dengan kasar dengan membayangkan protes anda terhadap bebanan kerja yang anda terima.
- Berkemungkinan juga anda akan mengambil pensil, kemudian menikam kertas putih dengan agresif.
Saya bertanya kepada anda, bagaimana anda rasa selepas itu? Adakah semua tekanan anda berkurangan dan masalah kerja anda berkurangan? Anda ada jawapannya. Sebenarnya sehelai kertas putih memberikan banyak makna kepada anda ketika anda stres. Kebarangkalian di atas adalah amat tinggi untuk anda lakukan ketika sedang stres. Terutamanya hyperstress.
Sebenarnya kertas putih itu anda perlu gunakan ia untuk anda menulis apa punca kepada stres anda dan senaraikan seberapa banyak cara untuk menangani masalah anda. Tidak ramai yang mampu melakukannya. Menyenaraikan punca stres dan masalah sampingan yang menekan keadaan anda. Bukankah itu lebih baik? Tekanan kerja perlu dihadapi dan ditangani dengan cara berdepan bukan cara melarikan diri dari masalah kerja anda kerana ianya akan lebih memburukkan situasi tersebut. Berhadapan masalah akan mematangkan usia pekerjaan yang anda ceburi. Bahkan anda akan lebih bersedia menerima cabaran dan hakikat bahawa dalam dunia pekerjaan banyak yang perlu anda terokai dan fahami. Jadi jangan takut pada stres. Selamat mencuba!
Mengalami Stres Di Tempat Kerja
Emel dari Norsuwaidah
Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Motivasi Kerja kerana beri peluang untuk saya ingin mendapatkan motivasi dan pandangan dari pihak tuan.
Saya mengalami stres di tempat kerja sejak akhir-akhir ini sehingga membawa saya untuk berhenti kerja. Untuk pengetahuan pihak tuan saya adalah seorg balu yg hampir setahun kematian suami. Jadi saya pulang ke kampung dan bekerja di badan berkanun. Di sini kerja terlalu banyak sehingga saya tidak bijak untuk membahagi masa utk membuat kerja saya. Dengan tekanan yang ada ditambah pula stres kerja, saya hampir tidak bersemangat untuk bekerja. Saya menjadi benci dengan kerja-kerja yang saya lakukan. Saya jadi tidak sabar.
Apabila saya ceritakan pada ibu saya, dia bersedia sahaja untuk saya berhenti kerja. Saya bercadang ingin belajar menjahit dn mengambil tempahan di rumah sahaja. Lagipun saya ingin memberi tumpuan kepada anak saya yang masih kecil. Untuk pengetahuan tuan, saya mengalami stres sehingga tidak lalu makan dan sukar untuk tidur. Berat badan saya kian menurun. Saya tidak mampu lagi menanggung semua ini. Saya ada membuat sembahyang istikharah utk diberi petunjuk tapi masih kabur.
Respon saya
Salam sejahtera untuk puan yang sudi menghantarkan emel kepada saya. Daripada masalah yang puan berikan ini jelas sekali puan berada dalam keadaan stres yang tinggi. Memang apabila puan mengalami stres yang tinggi puan akan mendapat tanda-tanda berikut:
- kemurungan
- tidak lena tidur
- tidak dapat mengawal emosi
- sukar menyelesaikan masalah
- prestasi kerja merosot
- selera makan bertambah atau berkurang
- kurang idea
- berubah kelakuan
- tidak fokus
Langkah pertama puan perlu berhadapan dengan masalah ini. Lari dari masalah akan membuatkan puan akan terus tidak dapat menangani tekanan. Perlu difahami bahawa semua kerja mempunyai kesibukan dan kerja yang banyak. Cuma yang penting bagaimana puan mengurus kesibukan itu.
Langkah seterusnya puan perlu membuat analisa yang manakah terbaik untuk puan. Puan menyatakan bahawa puan sudah tidak sanggup untuk meneruskan kerja di situ dan ingin membuka perniagaan jahitan. Puan perlu senaraikan apakah pulangan masa terdekat dan masa panjang sebelum puan memberikan keputusan tersebut. Senaraikan keuntungan dari pelbagai aspek termasuk sara hidup, masa dengan keluarga, masa depan puan dan juga peluang dan risiko yang bakal puan hadapi.
Sekiranya puan sudah mendapat keputusan tersebut:
Jika puan memilih meneruskan kerja, puan sebenarnya boleh mengurus kerja dengan baik. Apa yang dapat saya huraikan berkemungkinan penyusunan keutamaan kerja yang tidak tepat membuatkan puan menghadapi masalah apabila tugasan tersebut diperlukan. Tanyalah pada mereka yang berpengalaman di tempat kerja puan bagaimana untuk menguruskan kerja tersebut. Jangan malu kerana malu akan mengheret puan terus dalam tekanan. Dan jika berpeluang, hadiri kursus-kursus untuk tingkatkan kemahiran diri.
Dan jika puan memilih berhenti kerja, puan perlu fikirkan strategi untuk dapatkan wang sara hidup puan bagi menjaga keluarga. Buat sedikit homework tentang bagaimana puan nak memulakan perniagaan tersebut dan ingin mempelajari kemahiran jahitan. Puan juga perlu membina pelan pemasaran secepat mungkin untuk membantu puan dapat memulakan kehidupan baru dengan jahitan.
Berkenaan dengan solat istikharah, puan tidak boleh sekadar melakukannya sekali atau dua kali kemudian mengharapkan mendapat petunjuk. Teruskan solat tersebut. Kurang fokus juga menjadikan solat puan tidak kusyuk dan sedikit sebanyak mempengaruhi untuk mendapat petunjuk dari Allah. Tenangkan hati dan banyakkan istighfar. Andai ada ruang ambillah masa rehat untuk pulihkan kesihatan fizikal puan. Waallahu a’lam.
Metodologi Menangani Stres (3)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Carilah masa untuk bercuti
Setiap hari anda pasti menahan tekanan kerja yang kadangkala tidak dapat dihadapi. Bebanan kerja yang berterusan pastinya akan memberikan reputasi buruk terhadap kerja anda. Adakalanya minda tepu dengan kerja sehingga tidak mampu untuk memikirkan jalan penyelesaian.
Pada waktu inilah anda memerlukan masa rehat untuk mengembalikan siapa diri anda sebenarnya. Bagi anda yang bekerja di organisasi kerajaan, anda mempunyai cuti tahunan yang banyak. Jadi ketika anda mempunyai masalah berkenaan kerja jangan teruskan masalah ini menghantui anda. Tiada salahnya mengambil cuti rehat untuk mengembalikan potensi diri anda sebenar dalam bekerja kerana selepas rehat dan bercuti pasti anda lebih proaktif dan dinamik untuk menghadapi masalah kerja.
Anda boleh memilih lokasi percutian yang sesuai dengan diri anda. Jika anda meminati suasana pantai anda boleh pergi ke pulau-pulau untuk lebih menikmati suasana ini. Jika anda inginkan aktiviti lasak anda boleh memilih untuk kawasan hutan rekreasi yang kaya dengan kicauan burung, warna-warni rimba yang pasti memberikan ketenangan.
Carrot And Stick Management
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Anda pernah membaca tentang carrot and stick management? Mungkin ianya sesuatu yang baru dalam minda anda. Saya berikan bayangan kepada anda. Anda pernah melihat satu pertunjukkan sarkas bukan? Di kaca tv atau di funfair selalunya ada rancangan sarkas. Anda pasti lihat aksi badut dan juga seekor monyet. Selalunya badut akan menggunakan satu cemeti untuk memberikan arahan. Di sinilah ‘stick’ memainkan peranan agar monyet tersebut mengikut arahan yang diberikan. Selepas monyet itu melakukan aksi-aksi tertentu maka badot sarkas akan memberikan pisang sebagai upah kepada monyet tersebut.
Dalam sudut organisasi adakalanya anda bekerja keras setiap masa. Anda menerima pelbagai arahan untuk siapkan tugasan. Sehinggakan anda dapat rasakan bebanan kerja yang anda hadapi setiap hari. Tekanan kerja, tekanan perasaan semuanya dirasakan memenuhi diri anda. Anda perlu melakukan tugasan tersebut kerana anda akan diberikan hukuman terhadap kegagalan anda.
Namun jika anda berjaya menyelesaikannya anda diberikan upah atau ganjaran yang yang berpatutan. Anda diiktiraf dari sudut kerjaya anda. Penghargaan akan diberikan kepada anda di atas kesukaran dan pengorbanan yang telah anda lakukan. Sekali dilihat mungkin takut apabila terpaksa berdepan dengan hukuman jika tidak dapat menyelesaikannya. Tetapi ganjaran besar menanti anda jika anda mencabar diri untuk melakukannya. Carrot and stick management ini sebenarnya adalah satu sistem pengurusan yang dilaksanakan di negara-negara maju. Bahkan sebahagian organisasi di negara kita pun turut melaksanakannya sebagai satu bentuk pengurusan dalam organisasi.
Saya merujuk definisi kepada sistem ini di http://en.wikipedia.org/wiki/Carrot_and_stick
“Carrot and stick (also “carrot or stick”) is an idiom that refers to a policy of offering a combination of rewards and punishment to induce behavior. Some claim that this usage of phrase is erroneous, and that in fact comes from the figure of a carrot on a stick. In this case, the driver would tie a carrot on a string to a long stick and dangle it in front of the donkey, just out of its reach. As the donkey moved forward to get the carrot, it pulled the cart and the driver so that the carrot would always remain out of reach.”
Metodologi Menangani Stres (2)
Assalamualaikum Warahmatllahi Wabarakatuh
Rancang kerja anda
Saya pasti semua orang mengalami situasi tekanan di tempat kerja. Sama ada banyak ataupun sedikit itu semua terpulang kepada situasi kerja yang dihadapi. Tekanan kerja akan melemahkan pemikiran dan juga melembapkan tindakan kerana minda tidak lagi mampu berfikir untuk menyelesaikan masalah.
Selalunya masalah yang sering dialami ialah kegagalan menyusun kerja yang diterima. Gagal menyusun keutamaan kerja akan meletakkan anda dalam keadaan stres dan tertekan. Setiap tugasan atau kerja pasti ada due date yang telah ditetapkan. Berdasarkan due date anda sudah boleh melihat keutamaan kerja anda. Yang penting dan yang segera perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding yang penting tidak segera.
Merancang kerja akan melatih anda tentang disiplin masa yang perlu diperbetulkan. Barulah masa tidak terbuang begitu saja. Anda juga boleh lakukan sendiri dengan membuat jadual jangka panjang seperti dalam tempoh tiga bulan apa yang ingin anda siapkan. Kemudian kecilkan lagi dengan melakukan perancangan kerja untuk satu bulan. Maka kerja anda akan disusun dengan baik dan anda tidak pening lagi untuk melakukannya. Selamat mencuba!
Masalah Antara Organisasi Dan Kakitangan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekadar ingin berkongsi dengan anda semua, atas pengalaman saya yang sedikit ini mengendalikan lebih dari 100 kursus-kursus motivasi diri, pengurusan organisasi dan pembangunan spiritual yang melibatkan organisasi kerajaan dan swasta. Selalunya masalah-masalah yang dikongsikan kepada saya adalah masalah antara golongan pengurusan tertinggi dan juga kakitangan sokongan adalah seperti berikut:
Sistem pengurusan yang sering berubah
Sistem pengurusan perlu dikuasai oleh setiap pekerja bagi mendapatkan pengurusan yang efisien dan produktif. Andai sistem pengurusan bagi organisasi tersebut sering mengalami perubahan, kakitangan akan mengalami tekanan kerja kerana tidak memahami konsep dan bidang kuasa kerja dengan tepat dan jelas. Sudah pasti kerja akan dilakukan dalam keadaan bercelaru dan tidak tahu kepada siapa untuk dirujuk.
Komunikasi ‘break down’
Ini adalah antara ranking tertinggi masalah yang sering berlaku di organisasi. Ada beberapa sebab berlaku masalah ini. Antaranya pihak atasan terlalu ‘bossy’ dengan kakitangan mereka. Mereka tidak mengendahkan masalah yang berlaku di peringkat bawahan, tidak ‘briefing tugasan’ dengan baik, dan banyak memberikan arahan. Peratus tertinggi ialah pihak atasan hanya memberikan arahan kepada pekerja bawahan. Bayangkan apabila komunikasi tidak berkesan bagaimana pengurusan di organisasi tersebut? Anda sendiri tentu dapat bayangkan.
Posisi kerja dan kelayakan jauh berbeza
Antara rungutan yang sering diajukan kepada saya ramai staf yang tidak dapat menguasai bidang kerja mereka dengan baik. Cuba bayangkan anda berpotensi dalam bidang IT tetapi diletakkan dalam pengurusan kewangan. Bagaimana anda ingin menjalankan kerja anda? Saya tidak mengatakan itu adalah mustahil untuk dilakukan. Cuma jika tidak ada penerangan bidang kerja dengan jelas pasti akan memberikan tekanan pada staf tersebut.
Kurang mendapat pendedahan dan kursus
Kerja adalah satu cara menuntut output dari anda. Tetapi jika bertahun-tahun output dituntut dari seorang pekerja sedangkan dia kurang mendapat input, bagaimana situasi kerjanya? Pasti anda akan stres, kurang mahir dan juga hilang motivasi untuk melakukan kerja setiap hari. Ramai yang mengadukan hal ini kepada saya. Ada organisasi yang tidak dapat menguruskan latihan untutk staf mereka dengan baik sehinggakan ada yang bekerja 10 tahun belum pernah menghadiri kursus-kursus kemahiran kerja dan motivasi pembangunan diri.
Metodologi Menangani Stres (1)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Adakah anda stres ketika ini? Untuk mengenali tanda-tanda stres dalam diri anda, pertama kalinya anda perlu membacanya di sini. Jika anda telah mengenali masalah yang membawa kepada tekanan kerja atau tekanan hidup anda, maka anda perlu menangani tekanan tersebut seberapa segera.
Kaji situasi tekanan anda!
Ini adalah langkah pertama yang perlu anda lakukan untuk ke langkah yang seterusnya. Tekanan berlaku pasti ada puncanya. Maka kaji secara terperinci untuk mengenal pasti keseluruhan apakah punca tekanan anda. Adakah disebabkan faktor persekitaran di tempat kerja, atau faktor kelemahan diri, atau masalah keluarga. Semua ini perlu dianalisis agar anda mampu melakukan pelan tindakan seterusnya untuk menangani stres dalam diri anda.
Jika stres berpunca dari kerja anda, maka anda perlu berjumpa dengan bos anda atau mengatur kembali jadual kerja anda agar wujud keseimbangan mengikut keutamaan kerja anda.
Jika ianya bukan berpunca dari kerja, maka berkemungkinan berlaku kerana kendiri anda yang lemah dan tidak bersemangat. Jangan biarkan ia terus berlaku. Carilah ketenangan segera atau sesuatu yang boleh meningkatkan kembali motivasi kerja anda.
Namun jika ianya adalah masalah keluarga yang telah dicampur adukkan dengan masalah kerja maka tidak dapat tidak anda perlu berbincang dengan keluarga anda bahawa tekanan kerja anda semakin bertambah kerana apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Tanganinya seberapa segera.












