Emosi Dan Kejayaan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Hijrah untuk semua. Tahniah bagi mereka yang telah berhijrah dari kurang baik kepada lebih baik. Ini menunjukkan anda seorang yang berjaya. Ingin berjaya dalam hidup bukan satu jalan yang mudah. Hanya mereka yang mempunyai kuasa dalaman yang tinggi boleh memastikan kejayaan dalam diri mereka. Dengan erti kata lain, emosi adalah perangsang utama diri anda dalam mencapai kejayaan.
Thomas Edison telah gagal sebanyak 10000 kali sebelum berjaya menciptanya yang pertama. Apakah sebenarnya yang memberikannya kuasa untuk terus berusaha? Tentulah emosinya yang bermotivasi, gigih, berani mencuba membantunya agar terus mencuba dan mencuba.
Dalam tahun 1980-an dahulu kita semua ditanamkan dengan ideologi bahawa mereka yang ingin berjaya memerlukan elemen kecerdasan intelektual sahaja. Mungkin ada kebenarannya namun tidak semua mereka yang cerdas mindanya berjaya. Sehinggalah akhirnya Barat sendiri kembali membuat kajian bahawa kecerdasan inteletual perlu disokong dengan elemen kecerdasan emosi barulah mampu menjadi seorang yang berjaya.
Begitulah pentingnya keseimbangan antara dua elemen ini. Dalam Islam satu rumus yang ringkas. Kita dianugerahkan akal dan nafsu. Akal mewakili kecerdasan intelektual dan nafsu mewakili kecerdasan emosi. Jika dua elemen ini dapat diuruskan dengan baik maka sudah pasti ianya menjadi satu kuasa hebat dalam merangsang jiwa menjadi orang yang berjaya.
Indahnya Mempunyai Impian
“Saya berada di sini dengan satu tujuan. Dan tujuan tersebut sepatutnya membesar menjadi gunung bukannya mengecut menjadi pasir. Mulai sekarang dan seterusnya saya akan menggunakan segala daya dan upaya saya untuk menjadi gunung yang tertinggi dan saya akan menegangkan potensi saya sehingga ia menangis meminta belas kasihan.” – Og Mandino
Sungguh indah apabila berdiri di hadapan kita seseorang yang menyebutkan tentang impiannya yang hebat.
Lebih-lebih lagi apabila melihat orang yang mungkin tiada keupayaan untuk melakukannya, tetapi mempunyai impian yang besar untuk diperlihatkan oleh orang lain. Ada sebahagian mungkin berkata, itu sekadar kata-kata sedangkan diri memang tidak mampu untuk melakukannya. Namun pada mata hati saya lebih baik mempunyai impian walaupun diri mungkin tidak mampu melaksanakannya. Sekalipun tidak mampu melakukannya bersendirian, tetapi orang lain pasti akan membantu.
Alangkah teruknya seseorang apabila langsung tidak mempunyai impian untk menjadi yang terhebat. Jauh sekali melihat tindakannya untuk ke arah itu! Tidak mempunyai impian umpama diri yang tiada rasa hormat pada diri. Bahkan anda mula melangkah ke arah kegagalan. Setiap langkah anda mula sumbang kerana anda tidak memikirkan siapa anda di masa hadapan.
Apa yang penting untuk ke alam impian anda, pastikan anda menggunakan sepenuhnya potensi yang ada dalam diri anda. Gunakan semaksimum mungkin. Keluarkan segalanya yang terdaya. Kerana atas usaha itu nescaya Allah SWT akan memberikan anda ruang untuk mengecapi alam impian anda.
Tidak sukar mengenali potensi diri anda jika anda benar-benar mahu. Tetapi sukar apabila anda sering memberikan alasan pada setiap peluang yang hadir di hadapan anda. Thomas Edison mencuba 10000 kali pada lampu ciptaannya sebelum berjaya. Jadi mengapa anda mengaku kalah di saat belum pun mencuba? Fikirkanlah!

