Insentif Untuk Guru
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dua hari lepas semua mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik kerana usaha, tanggungjawab dan juga komitmen yang tinggi dalam kerjaya mereka. Sempena Hari Guru juga kerajaan Malaysia mengumumkan ganjaran sebanyak RM900 hingga RM7500 akan diberikan kepada pengetua, guru besar, guru sekolah rendah dan menengah yang mencatat keputusan cemerlang melalui Indeks Petunjuk Prestasi. Imbuhan yang tinggi ini telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dan diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Pada pandangan peribadi saya, imbuhan adalah sebagai satu tekanan kepada warga pendidik untuk bekerja keras dalam memberikan pendidikan bukan sekadar pengajaran dalam kelas semata-mata. Hari ini saya melihat kerjaya guru adalah kerjaya pilihan di Malaysia kerana statistik menunjukkan peratusan pengganggur yang memohon jawatan ini meningkat setiap tahun.
Sebagai warga pendidik ini adalah cabaran, kerana di sebalik imbuhan adakah kecemerlangan prestasi yang dimaksudkan hanya kecemerlangan akademik, peranan pendidik besar sebenarnya. Tetapi kesedaran guru untuk memberikan pendidikan akhlak, spiritual dan akademik akan lebih memantapkan pelajar untuk cabaran globalisasi akan datang. Selamat berjuang untuk GURU!
Gambar: Credit to iluvislam.com
Selamat Hari Guru
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Hari bahagia buat mereka yang membina kerjaya sebagai warga pendidik pada hari ini kerana 16 Mei setiap tahun adalah hari untuk mengingati warga pendidik yang kita panggil guru. Tahniah kepada semua guru! Tidak semua insan di dunia ini cekal untuk memberikan ilmu kepada orang lain dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Bagi anda yang telah lama menjawat kawatan guru mungkin bahagianya pada hari ini anda menerima ucapan Selamat Hari Guru dari anak-anak murid yang telah pun berada di posisi yang berbeza dari dulu bahkan mungkin lebih berjaya dari karier seorang guru.
Teruskan perjuangan dalam mendidik anak bangsa dengan ikhlas. Panjatkan doa dalam setiap episod pengajaran kepada murid-murid, pelajar-pelajar, siswa-siswi agar mereka bukan sahaja menjadi pelajar celik minda tetapi celik akhlak dan juga celik spiritual kepada Allah SWT.
Di kesempatan ini saya ingin mengalungkan jutaan terima kasih kepada insan-insan ini kerana telah memberikan ilmu dan tunjuk ajar sepanjang hidup saya. Tanpa seorang guru mana mungkin saya boleh berada di tahap ini. Harapan saya jadilah seorang pendidik bukan hanya seorang pengajar di sekolah. Guru adalah ibu bapa kedua dan pada anda yang masih belajar hormatilah dan sayangilah guru kerana keberkatan ilmu hanya ada apabila anda menghormati mereka.
