Tiada Kepuasan Dalam Bekerja

Emel dari Balqis Shafey

Saya mempunyai masalah dalam kerjaya saya. Saya baru graduate pada tahun 2008. Saya adalah seorang dietitian yang baru sahaja bekerja tidak sampai setahun di dalam bidang ini. sebelum itu, saya pernah bekerja sebagai Nutritionist di sebuah syarikat swasta di KL.

Sekarang, saya merasakan kerjaya ini seperti tidak sesuai dengan saya. Sebenarnya saya berasa amat bersalah kerana sepanjang bekerja ini, saya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya. Mungkin kerana tiada minat yang luhur di dalam hati saya. Saya telah cuba berusaha bersungguh-sungguh, tetapi saya tidak dapat mencari kepuasan bekerja tersebut.

Bagaimanakah harus saya atasi masalah ini? Harap penulis dapat membantu saya. Saya juga tidak mahu terus-terusan berperasaan begini. Bagaimanakah ingin kita ketahui kerjaya yang paling sesuai dengan kita? Apakah yang patut saya buat dalam keadaan sekarang agar saya bermotivasi untuk memberi sepenuh kesungguhan dan minat?

Terima kasih.

Respon saya

Terima kasih kepada Balqis kerana ingin berkongsi masalah anda di sini. Sesungguhnya saya pasti masih ramai yang mempunyai masalah sebagaimana yang dihadapi Balqis. Saya juga turut bersimpati dengan masalah yang dihadapi Balqis. Tidak minat bekerja sebenarnya ada beberapa punca. Seeloknya Balqis perlu menyenaraikan apakah yang menyebabkan Balqis kurang bersemangat untuk meneruskan kerja di situ. Saya cuba menyenaraikannya tetapi untuk lebih tetapi mungkin Balqis perlu menyenaraikannya sendiri kerana Balqis lebih memahami situasi yang dialami.

Tidak minat bekerja mempunyai banyak faktor, antaranya:

  • Pengalaman dan kemahiran kerja yang kurang
  • Berlaku konflik dengan rakan sekerja
  • Potensi anda tidak kena pada tempat
  • Suasana persekitaran yang tidak merangsang
  • Kesukaran untuk pergi dan balik ke tempat kerja

Balqis perlu memahami situasi kerja dengan sebaik mungkin. Di usia baru masuk alam pekerjaan pastinya Balqis akan mengalami situasi-situasi di atas kerana masih belum mempunyai pengalaman yang cukup. Alam pekerjaan perlu ditempuh dengan berani kerana pengalaman kerja amat berguna untuk Balqis terus membina kerjaya di tempat lain. Jika Balqis merasakan sudah tidak sesuai meneruskan kerjaya di tempat sekarang, Balqis boleh berusaha membina kerjaya di tempat lain. Cuma perlu diingatkan bahawa kerja di tempat baru juga belum tentu situasinya sesuai dengan jiwa Balqis. Persediaan diri dari pelbagai aspek amat perlu untuk memahami tempat kerja yang baru.

Kepuasan bekerja hanya akan dapat dikecapi apabila Balqis dapat menggunakan sepenuh potensi yang ada dalam diri. Sentiasa melakukan yang terbaik. Namun di sini masalahnya ialah Balqis kurang bermotivasi. Seeloknya cari ruang waktu untuk rehatkan minda dan membina perancangan baru untuk lebih bersemangat di tempat kerja. Ingat kembali tujuan kenapa Balqis bekerja. Setiap kerja ada tujuan dan perkhidmatan untuk membantu orang lain. Balqis sebenarnya beruntung bekerja sebagai dietitian kerana berapa ramai mereka yang memerlukan nasihat untuk menjadikan kehidupan mereka sihat dan berkualiti.