Try And Error

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda pasti pernah mendengar perkataan ini bukan? Sejak saya bekerja sendiri, saya merasakan istilah ini amat dekat dengan diri saya. Bekerja dengan syarikat sendiri sememangnya memberikan saya waktu penuh untuk mempelajari selok belok dalam perniagaan sama ada membina sistem pengurusan sendiri, kaedah memasarkan produk, membentuk jaringan perniagaan dan juga perkara-perkara yang lain.

Apabila menempuh dunia baru pastinya anda akan berdepan dengan masalah baru dan juga persekitaran kerja yang baru. Anda akan mencuba untuk menyelesaikannya dengan kemampuan anda sendiri. Seronoknya anda mula mendapat pengalaman baru sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak tepat atau tersasar jauh. Namun dari kesilapan akan membentuk pengalaman berharga dalam diri.

Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang anda rasakan betul kerana di situ anda akan menggunakan sepenuhnya kreativiti dan inovasi yang anda ada. Tetapi sekiranya anda tidak berjaya dalam percubaan tersebut anda bersedia menerima risiko dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Sebenarnya jika anda teliti mereka yang berjaya dalam dunia perniagaan semuanya menggunakan kaedah try and error, walaupun gagal untuk banyak kali akhirnya mereka akan menemui cara untuk membina jalan yang berjaya dan unik.