Umur Adalah Jumlah Yang Tidak Akan Menurun

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sukar sekali tangan ini ingin menulis pada entri kali ini. Entah mengapa soal umur begitu menjadi topik pemikiran di minda ini. Entah mengapa hati terlalu berdetik dan memikir soal-soal yang sensitif dengan umur. Inilah sifat fitrah yang ada dalam diri manusia. Siapa pun anda, sebenarnya anda pasti bertanya pada diri anda ke manakah anda akan bawa kehidupan ini?

Mungkin kehidupan anda bermula dengan permulaan yang baik, penuh dengan kegembiraan dan kejayaan demi kejayaan yang anda kecapi. Pelbagai nikmat anda dapat sepanjang kehidupan anda. Tetapi bagaimana pula dengan pengakhiran? Adakah ianya juga konfem akan berakhir dengan baik? Sukar untuk dijawap. Hanya hati dan iman yang mampu menjawapnya.

Umur adalah jumlah yang tidak akan pernah berkurang. Setiap tahun umur akan meningkat. Kulit semakin lama akan hilang tegangnya. Wajah yang cantik akan hilang seringnya. Sihat akan bertukar menjadi uzur. Namun bagaimana dengan amal pula? Adakah ianya matang seiring usia yang meningkat? Aduh! Sukarnya menjawap persoalan ini.

Hari ini adalah hari lahir saya yang ke-28. 7 Januari menjadi nombor bertuah untuk saya. Namun tuah sebenarnya bukan dilihat pada nombor tarikh lahir. Entah mengapa hati kecil terlalu memikirkan diri yang tidak tahu berakhirnya macam mana. Mungkin anda seronok menyambut hari lahir. Saya juga begitu. Tetapi jangan berpura-pura bahawa hati kecil anda tetap memikirkan soal ini, tapi selalunya nafsu menepis bahawa umur masih muda.

“Ya Allah panjangkanlah umurku dalam melakukan kebaikan kepada Mu. Amin”