Untukmu Wanita

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dua hari lepas sewaktu berada di kampung, saya telah habis membaca buku tulisan Zaharuddin Abdul Rahman berjudul Untukmu Wanita. Rasanya hampir sebulan lebih barulah sempat menghabiskannya. Tuntutan kerja sedikit sebanyak menghalang untuk menghabiskan karya baik ini.

Saya ingin kongsikan sedikit ulasan buku ini kepada anda yang mungkin tercari-cari buku apakah yang ingin dibeli. Ustaz Zaharuddin menulis satu himpunan soalan yang pernah ditanyakan kepada beliau tentang permasalahan berkenaan wanita berkaitan isu-isu kekeluargaan, isu aurat dan tudung dan masalah penceraian dan juga masalah-masalah yang lain.

Apa yang menarik di dalam buku ini permasalahan ini berkaitan dengan isu semasa yang sedikit sebanyak mencabar golongan agama untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Namun didalam buku ini, Ustaz Zaharuddin memberikan penjelasan terperinci pada setiap persoalan yang membolehkan anda semua lebih memahami martabat dan kedudukan wanita yang dipilih oleh Allah sebagai perhiasan dunia. Setiap olahan ayat yang disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin sangat santai dan mudah difahami.

Pastinya buku ini memberikan ilmu yang lebih jelas kepada anda (khususnya wanita) untuk lebih memahami permasalahan wanita di samping anda lebih mendalami kedudukan wanita dalam Islam.

Tajuk : Untukmu Wanita
Pengarang : Zaharuddin Abdul Rahman
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Mukasurat : 214 Halaman
Harga : RM21.00